Wednesday, 15 February 2012

Berkawan biar seribu


Kita hidup di dunia ini tidak boleh seorang diri. Kita tidak akan mampu hidup sendirian tanpa seseorang di sisi. Kerana itulah Allah menciptakan kita dari pelbagai jenis,ragam, fi'il untuk saling kenal-mengenali, lengkap-melengkapi. Kerana itu jugalah keluarga sangat penting. Apa ertinya hidup jika hidup sebatang kara. Mesti tidak semeriah jika dibandingkan dengan orang yang mempunyai keluarga yang besar. Penuh dengan warna-warni. Jika kita berada di perantauan, jauh dari keluarga dan sanak-saudara, sudah tentulah insan yang bernama 'sahabat' akan memainkan peranan yang sangat penting dan bertindak sebagai 'keluarga' dalam diri kita.

Namun, tidak semua insan yang bergelar sahabat mahu berkawan dengan kita kerana keinginannya sendiri. Ada orang berkawan kerana inginkan sesuatu dari kita. Ada orang berkawan kerana kita kaya. Ada orang berkawan kerana kita cantik.Ada orang berkawan kerana kita pandai.Tak kurang juga ada yang berkawan kerana ingin populariti.

Jika mereka yang bergelar sahabat kurang senang dengan kehadiran kita, mungkin kerana kita tidak dapat memberi apa yang diinginkannya daripada kita atau kelemahan yang ada pada diri kita.

Duhai sahabat,
Tidak semua insan yang dilahirkan di dunia ini dalam keadaan yang sempurna. Kau dan aku dilahirkan di dalam keadaan yang serba kekurangan. Tidak pandai membaca, menulis mahupun mengira. Tetapi Allah mengurniakan kepada kita kelebihan yang tersendiri. Yang berbeza di antara hambanya. Supaya, insan yang bergelar sahabat akan melengkapi sahabatnya yang lain. Kita banyak mendengar ceramah dari pakar-pakar motivasi. Dalam perhubungan jangan terlalu mencari kesalahan. Kerana semua orang tidak lari dari melakukan kesalahan. Tetapi carilah kesempurnaan yang ada pada dirinya, agar kita mensyukuri apa yang kita miliki.

Ada juga sahabat yang tidak suka kepada kita kerana kelebihan yang kita ada. Mungkin si dia cantik dan ramai yang meminatinya. Mungkin si dia pandai dan peramah. Jadi, cikgu-cikgu menyukainya. Mungkin si dia petah dalam berbicara, jadi semua acara dibolotinya. Kerana kelebihan yang ada pada diri seseorang, jadi sesetengah orang berasa iri hati.

Duhai sahabat,
Janganlah engkau memusuhi orang yang mempunyai bakat lebih daripadamu. Sebaliknya engkau berusahalah untuk menjadi teman yang terbaik buatnya. Bertanyalah tentang rahsia kejayaannya. Yang mempunyai kelebihan itu janganlah engkau kedekut akan ilmu yang kau miliki. Apabila engkau mempunyai kelebihan yang tidak ada pada orang lain, itu bermakna engkau telah diamanahkan untuk menyampaikannya pada orang lain.

Duhai sahabat-sahabat yang disayangi.
Janganlah bermasam muka hanya kerana hal yang kecil. Janganlah perbesarkan salah-faham yang boleh dibawa berbincang. Sudah lupakah kalian pada hadis Rasulullah SAW:

"Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredhaan Allah"

.....akan mendapat naungan di hari akhirat. Kan indah bila persahabatan disulami dengan perasaan hormat menghormati. Ya, benar, kita tidak boleh memaksa diri untuk menyayangi diri seseorang kerana perasaan 'ar-Rahman' itu milik Allah. Tetapi, kita boleh memaksa diri kita untuk menghormati orang lain.

"Some people hurt by words, some people hurt by hearing, but the most hurt is when people ignoring is while we value them much"

No comments:

Post a Comment