Saturday, 21 April 2012

Hidayah itu manis

Assalamualaikum...

Pada beberapa hari yang lalu,  Kak Cik  sempat mencoretkan serba sedikit tentang Oki Setiana Dewi. Cerita tentang hidayahnya sangat terkesan di hati  Kak Cik . Cerita tentang hidayah itu manis. Membuatkan  Kak Cik  berfikir banyak kali. Membuatkan  Kak Cik  merenung diri. Membuatkan  Kak Cik  bermuhasabah diri.

Ya, benar kata kak Oki, hidayah itu manis. Hanya orang yang tertentu sahaja yang dapat merasai kemanisannya kerana Hidayah itu milik Allah sepenuhnya. Kak Oki benar, orang yang berusaha mendapat hidayah, dan dia mendapat hidayah tersebut, dia akan berusaha menjaganya. Takut-takut hidayah itu akan hilang semula. 

Misal ini boleh diibaratkan seperti orang yang berusaha mengumpul duit untuk membeli laptop. Apabila dia berjaya membelinya, dia akan menjaga dengan sepenuh hati. Berbeza dengan orang yang mendapat laptop tanpa usaha. Laptop datang didepan mata. 

Kak Cik takut jika  Kak Cik  tergolong dalam golongan yang mudah mendapatkan sesuatu tanpa usaha. Membuatkan kita leka, lalai, dan lena. Ya Allah, kaulah maha pemilik hidayah. Berikanlah kepada kami hidayahmu. Bimbinglah kami agar menjadi hambamu yang soleh dan solehah. Amin ya rabb.

"Selangkah kita mendekati Allah, Sedepa Allah mendekati kita"

"Hidayah tak akan datang tanpa kita sibuk-sibuk mencarinya"

Wednesday, 18 April 2012

Penangan Oki Setiana Dewi



Kali ni  Kak Cik  nak kongsi tentang penangan Oki Setiana Dewi. Tepatnya mbak Oki. Penangan di sini bukanlah bermaksud bertunang atau bakal berkahwin, tetapi membawa maksud ke'jatuh hati'an  Kak Cik  pada kak Oki ni. Siapa Oki Setiana Dewi ni,  Kak Cik  rasa tak perlu  Kak Cik  kenalkan lagi. Rasanya semua orang dah tahu. Heroin Ketika Cinta Bertasbih yang diadaptasi dari novel pembangun jiwa tulisan Habiburrahman El-Shirazy. Hush, tadi cakap tak nak introduce, dah terintroduce pulak.

Okay, berbalik kepada tajuk.  Kak Cik  bukanlah seorang yang up-to-date tentang filem-filem tempatan. Kalau movie hindustan tu  Kak Cik  memang akan selalu up date, kerana  Kak Cik  berkongsi minat yang sama dengan kakak yaitu meminati movie bollywood. Novel Ketika Cinta Bertasbih pun,  Kak Cik  tak pernah baca. Seingat Kak Cik , sewaktu  Kak Cik  tingkatan tiga,  Kak Cik  diperkenalkan novel ini oleh kawan . Dia seorang pembaca tegar novel.  Kak Cik ? Seperti biasa, semua orang tahu  Kak Cik  tidak suka membaca. Kawan tersebut dengan gembiranya bercerita tentang sinopsis cerita tersebut. Tapi  Kak Cik  buat endah tak endah ja. Malah, ketika  Kak Cik  masuk ke UIA, roomate  Kak Cik  pernah mengajak untuk menonton cerita ni. Tapi, ah, aku bukan peminat cerita indonesia. I'm a bollywoodmaniac and koreanmaniac. :-p.

Sampailah sekarang, apabila  Kak Cik  berada di maktab.  Kak Cik  terjumpa cerita ni di youtube. Full movie. Apa yang ditunggu lagi. Download lah. Untuk wayang hujung minggu dikala stress buat assigment. Bila tengok, subhanaAllah. Maha suci Allah. Seronok sangat. Pergaulan yang sangat dijaga. Walaupun berlakon sebagai abang-adik, suami-isteri, ayah-anak, adengan pegang-memegang memang tidak ada. Tapi masih dapat meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada penonton. Dan ketika tengok cerita itulah, cinta pandang pertama pun menjelma. Kepada pelakon yang berperanan sebagai Anna Althafunnisa iaitu kak Oki Setiana Dewi. Tapi  Kak Cik  masih ragu-ragu. Jika berlakon dengan memakai tudung itu biasa. Ramai pelakon yang memakai tudung di dalam filem, tetapi hakikatnya tidak di luar.  Kak Cik  pun apa lagi. Google lah tentang pelakon tersebut. MasyaAllah. Maaf ya kak Oki. Kak Cik  telah berburuk sangka pada kak Oki. Kak Oki tidak seperti aktres lain. Ya,  Kak Cik  mengakuinya. Cinta pandang pertama yang biasa-biasa terus menjadi luar biasa. Chewah! Lebih-lebih pula  Kak Cik  ni yer. Intro panjang lebar ni, sebenarnya  Kak Cik  nak cerita begitulah Kak Cik  kenal kak Oki. Jika orang lain dah mengenali beliau 4 tahun yang lepas,  Kak Cik  baru mengenali beliau 4 minggu yang lepas. Rentetan daripada itu, untuk memahami cerita Ketika Cinta bertasbih sepenuhnya,  Kak Cik  beli novelnya. Tenyata banyak perkara yang terdapat di dalam novel tetapi tidak ada di cerita.

Selepas itu,  Kak Cik  difahamkan, kak Oki berkunjung ke Kelantan awal bulan Mac yang lalu. Dan  Kak Cik  difahamkan kak Oki juga seorang penulis dan buku-bukunya akan dijual di kelantan. Beliau ke Kelantan adalah tak lain tak bukan kerana dijemput menjadi salah seorang ahli panel Bicara Selebriti (Tetamu VIP mungkin). Sebenarnya  Kak Cik  teringin sangat nak pi ke Kelantan. I wanna meet her in person, personally. Tapi apakan daya. Jadi hanya mendownload rancangan tersebut di internet. Tetapi  Kak Cik  sempat membeli kedua-dua buku beliau secara online. (Melukis Pelangi & Sejuta Pelangi). Buku tersebut terus dihantar ke rumah di Kedah.  Kak Cik  yang berada di Terengganu ni dah tak sabar-sabar nak balik, nak baca buku tu. Apa yang hebat? Sampai ramai orang yang memakai tudung selepas membaca buku tu?


Bila sampai je di rumah, perkara pertama yang  Kak Cik  tanya mak, " Mak, mana buku yang adik beli tu?". Mak jawab, " Ada atas almari tu, yang satu lagi tu mak tengah baca. Ada dalam bilik mak".  Kak Cik  pun berlari-lari ke arah almari yang dimaksudkan oleh mak. Dan mak berkata lagi,,"Adik beli tu, suruh dia sign sekali ka?". Ha? Terkejut  Kak Cik  bila mak cakap macam tu. Bila  Kak Cik  buka helaian yang pertama, ya, ada signiture. Tanda tangan yang pernah Kak Cik  tengok di internet. Ya, ini tanda tangan kak Oki Setiana Dewi yang manis tu. T_T. Terharu...Terharu....  Kak Cik  tak perlu bersesak-sesak dengan orang lain untuk mendapatkan signiture beliau.Isk...Isk...Collectable ni.^_^.

Bayangkan,  Kak Cik  yang memang terkenal dengan malas membaca ni, boleh habiskan buku dia selama seminggu! (Selalunya  Kak Cik  mengambil masa untuk habiskan sebuah novel yang berketebalan biasa selama 5 bulan). Dan, Isk...Isk... terasa malu dengan dia. Dia yang hanya memakai tudung kurang dari 10 tahun jauh lebih baik dari  Kak Cik  yang bersekolah agama sejak dari sekolah rendah lagi. Bagi  Kak Cik , kak Oki ni sudah boleh dianggap ikon muslimah masa kini. Nak bekerja apa pun, tak kisah, asalkan halal. Berbusana Muslimah bukanlah penghalang untuk sesorang itu tampil di khalayak ramai. Malah, lebih tampak anggun dan sopan.


Maniskan kak Oki ni?

Antara ayat-ayat yang  Kak Cik suka di dalam buku tulisannya:

"Berjilbab bukanlah penghalang untuk berprestasi"

Ayat tersebut sangat mendalam maksudnya. Hidayah itu sangat manis. "Ya Allah, jangalah Engkau bolak-balikan hati kami setelah engkau memberi hidayah kepada kami. Janganlah Engkau menarik balik hidayah yang telah Engkau kurniakan kepada kami.". Amin.

Bercerita tentang Oki Setiana Dewi di Kelantan, ni  Kak Cik  kongsikan satu gambar. Gambar ni adalah ketika beliau berada di dalam siaran langsung Bicara Selebriti. Cantik kan penampilannya?


dan.....tadaaaaa!!!  Kak Cik  pun apa lagi. Melukis lah kartun yang memakai baju ala-ala macam Oki Setiana Dewi. Sama tak? Yang pakai cermin mata tu bukan apa, bajet konon-kononnya  Kak Cik  la tu. Hehe.

" Semakin kita berjalan menuju Allah, semakin Allah berlari-lari ke arah kita"

Sunday, 15 April 2012

Aku benci puji-pujian


Hari ini merupakan hari gementar untuk seluruh guru pelatih IPGM KDRI khusnya PPISPM PAI. Kenapa? Kerana, hari ini kami perlu melalui ujian lisan bahasa arab. Tepatnya مهارة القراءة .... Untuk semester ini, kami akan diuji kemahiran membaca dan kemahiran mencari makna di dalam kamus. Kedua-duanya adalah sukar jika tidak dilatih. Mencari makna bahasa di dalam kamus bahasa arab bukanlah sesenang mencari makna di dalam kamus bahasa inggeris. Jika kamus bahasa inggeris tidak perlu belajar cara menggunakannya. Tetapi, kamus bahasa arab perlu berguru kerana punya format yang tertentu. Kemahiran membaca pula kami akan diuji dengan membaca teks yang tidak ada baris. Senang? Tak semudah yang disangka. Cuba bayangkan, anda semua membaca al-Quran yang tidak ada baris. Boleh baca? Kalau tidak belajar ilmu nahu dan sorof sudah tentu lah sukar untuk membacanya.

Setiap kali tiba ujian-ujian terutamanya maddah bahasa arab, kawan-kawan sering berkata "Azimah tak apa la. terror bahasa arab. Ambil asasi bahasa arab dekat UIA dulu". "Azimah tak apa la, tak study pun boleh jawab".

Sungguh, aku sangat benci puji-pujian macam tu. Kerana puji-pujian itu akan membuatkan aku berada di zone yang selesa. Padahal, aku bukan siapa-siapa. Masih banyak lagi ilmu bahasa arab yang aku tidak tahu. Malah, yang dulu-dulu aku pernah belajar pun belum tentu aku ingat semuanya. Di dalam diari kehidupan aku, tak pernah ada sekelumit pun minatku ke arah mendalami bahasa arab. Minatku adalah mengira dan mengkaji. Subjek yang paling aku minat ti sekolah dahulu sudah tentu sains dan matematik. Sastera bukan bidangku. Begitu juga bahasa.

Entah mengapa, ketika ingin mengisi borang UPU, Allah memimpin tanganku untuk memilih Asasi Bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa sebagai pilihan pertama, dan aku mendapatnya. Aku berasa mudah belajar bahasa arab, mungkin kerana sejak dari sekolah rendah lagi, hampir kesemua subjek agama adalah di dalam bahasa arab. Sungguh, aku tidak pernah memahami. Selama ini aku bertahan pun kerana menghafal. Sekali lagi, menghafal bukan memahami. Dan hingga saat ini, aku bukan lagi orang yang berkecimpung di dalam ilmu kira-kira mahupun sains, siapa sangka sekarang aku berada di dalam bidang agama.

Berbalik kepada ujian kemahiran membaca. Kami diberi angka giliran dan diarahkan pergi ke bilik ujian mengikut nombor giliran masing-masing. Seperti biasa, memandangkan awalan abjad namaku adalah 'A', sudah tentu, akulah perempuan pertama yang akan memasuki kamar itu dan bakal disoal selidik tentang soalan-soalan oleh rakan-rakan perempuan yang lain. Apabila tiba giliranku, ustaz memberiku masa selama 3 minit untuk membaca teks secara diam.

"Azimah, kamu dapat teks nombor 2, baca dulu, nanti baca dekat ustaz".

Aku sibuk sekali mencari helaian di mana terkandungnya teks nombor 2. Tajuknya? Tiada. Aku beralih kepada teks. Perkataan pertama الأطفال. Ya, teks ini menceritakan tentang kanak-kanak. Selebihnya aku tidak tahu. Mana mungkin aku dapat berfikir tentang kandungan teks itu dalam waktu yang sangat singkat. Aku perhati satu persatu perkataan. Apakah baris yang selayaknya aku letak. Apakah sebutan yang selayaknya aku sebut. MasyaAllah. Hampir 60 peratus perkataannya, aku tak pernah jumpa selama 19 tahun aku hidup. Dan sudah tentu aku tidak mengetahui maknanya.

Beberapa minit kemudian, namaku dipanggil. Aku masuk dengan kepala tertunduk. Aku tahu, orang yang selalu digelar "bijak arab", akan selalu diperhati oleh orang lain prestasinya, dan sudah tentu ustaz dihadapanku merupakan salah seorang daripada mereka. Aku membaca. Tersekat-sekat. Tiada intonasi. Apabila aku rasa apa yang aku baca adalah salah, aku mengulanginya semula. Tiga perenggan, selesai aku baca. Ustaz menyuruhku memanggil orang berikutnya. Sebelum aku beredar, sempat ustaz berkata : "القراءة جيّدة"...... Aku hanya tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Aku tahu, ustaz mengatakan itu kepada semua orang.

Duhai teman-teman, aku merayu, jangalah berkata kepadaku seperti itu lagi. Jika kalian mengatakan aku ingat semuanya, bukan kerana aku memahami, tetapi aku menghafal. Aku pernah didenda berjalan itik ketika darjah 5 sebanyak 3 kali kerana gagal menghafal fi'il mudhori'. Justeru aku menghafal kerana takut di denda lagi. Seterusnya juga begitu. Aku menghafal kerana takut didenda. Bukan memahami.

Ustazku di sekolah pernah berpesan, dalam mendalami ilmu bahasa al-quran perlu banyak berdoa agar diberikan kefahaman. Ada orang dapat menguasainya kurang dari dua tahun. Ada orang perlu belajar bertahun-tahun. Kalian tahu, aku dihantar oleh mak untuk belajar bahasa arab sejak darjah 3 lagi. Gurunya bukan orang biasa-biasa. Seorang orang arab tulen. Orang mesir. Aku masih mengingat namanya, Ustazah Iman yang sinonim dengan gelaran 'ummi'. Lebih kurang 7 tahun aku belajar dengannya. Sekarang, lebih sedekad aku belajar bahasa arab. Sehingga saat ini, aku masih belum dapat bertutur dengan fasih. Malah vocabulary pun masih kurang. Kamus masih perlu dirujuk selalu. Jadi, kawan-kawan. Please, usah memuji aku lagi ya. ....