Sunday, 15 April 2012

Aku benci puji-pujian


Hari ini merupakan hari gementar untuk seluruh guru pelatih IPGM KDRI khusnya PPISPM PAI. Kenapa? Kerana, hari ini kami perlu melalui ujian lisan bahasa arab. Tepatnya مهارة القراءة .... Untuk semester ini, kami akan diuji kemahiran membaca dan kemahiran mencari makna di dalam kamus. Kedua-duanya adalah sukar jika tidak dilatih. Mencari makna bahasa di dalam kamus bahasa arab bukanlah sesenang mencari makna di dalam kamus bahasa inggeris. Jika kamus bahasa inggeris tidak perlu belajar cara menggunakannya. Tetapi, kamus bahasa arab perlu berguru kerana punya format yang tertentu. Kemahiran membaca pula kami akan diuji dengan membaca teks yang tidak ada baris. Senang? Tak semudah yang disangka. Cuba bayangkan, anda semua membaca al-Quran yang tidak ada baris. Boleh baca? Kalau tidak belajar ilmu nahu dan sorof sudah tentu lah sukar untuk membacanya.

Setiap kali tiba ujian-ujian terutamanya maddah bahasa arab, kawan-kawan sering berkata "Azimah tak apa la. terror bahasa arab. Ambil asasi bahasa arab dekat UIA dulu". "Azimah tak apa la, tak study pun boleh jawab".

Sungguh, aku sangat benci puji-pujian macam tu. Kerana puji-pujian itu akan membuatkan aku berada di zone yang selesa. Padahal, aku bukan siapa-siapa. Masih banyak lagi ilmu bahasa arab yang aku tidak tahu. Malah, yang dulu-dulu aku pernah belajar pun belum tentu aku ingat semuanya. Di dalam diari kehidupan aku, tak pernah ada sekelumit pun minatku ke arah mendalami bahasa arab. Minatku adalah mengira dan mengkaji. Subjek yang paling aku minat ti sekolah dahulu sudah tentu sains dan matematik. Sastera bukan bidangku. Begitu juga bahasa.

Entah mengapa, ketika ingin mengisi borang UPU, Allah memimpin tanganku untuk memilih Asasi Bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa sebagai pilihan pertama, dan aku mendapatnya. Aku berasa mudah belajar bahasa arab, mungkin kerana sejak dari sekolah rendah lagi, hampir kesemua subjek agama adalah di dalam bahasa arab. Sungguh, aku tidak pernah memahami. Selama ini aku bertahan pun kerana menghafal. Sekali lagi, menghafal bukan memahami. Dan hingga saat ini, aku bukan lagi orang yang berkecimpung di dalam ilmu kira-kira mahupun sains, siapa sangka sekarang aku berada di dalam bidang agama.

Berbalik kepada ujian kemahiran membaca. Kami diberi angka giliran dan diarahkan pergi ke bilik ujian mengikut nombor giliran masing-masing. Seperti biasa, memandangkan awalan abjad namaku adalah 'A', sudah tentu, akulah perempuan pertama yang akan memasuki kamar itu dan bakal disoal selidik tentang soalan-soalan oleh rakan-rakan perempuan yang lain. Apabila tiba giliranku, ustaz memberiku masa selama 3 minit untuk membaca teks secara diam.

"Azimah, kamu dapat teks nombor 2, baca dulu, nanti baca dekat ustaz".

Aku sibuk sekali mencari helaian di mana terkandungnya teks nombor 2. Tajuknya? Tiada. Aku beralih kepada teks. Perkataan pertama الأطفال. Ya, teks ini menceritakan tentang kanak-kanak. Selebihnya aku tidak tahu. Mana mungkin aku dapat berfikir tentang kandungan teks itu dalam waktu yang sangat singkat. Aku perhati satu persatu perkataan. Apakah baris yang selayaknya aku letak. Apakah sebutan yang selayaknya aku sebut. MasyaAllah. Hampir 60 peratus perkataannya, aku tak pernah jumpa selama 19 tahun aku hidup. Dan sudah tentu aku tidak mengetahui maknanya.

Beberapa minit kemudian, namaku dipanggil. Aku masuk dengan kepala tertunduk. Aku tahu, orang yang selalu digelar "bijak arab", akan selalu diperhati oleh orang lain prestasinya, dan sudah tentu ustaz dihadapanku merupakan salah seorang daripada mereka. Aku membaca. Tersekat-sekat. Tiada intonasi. Apabila aku rasa apa yang aku baca adalah salah, aku mengulanginya semula. Tiga perenggan, selesai aku baca. Ustaz menyuruhku memanggil orang berikutnya. Sebelum aku beredar, sempat ustaz berkata : "القراءة جيّدة"...... Aku hanya tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Aku tahu, ustaz mengatakan itu kepada semua orang.

Duhai teman-teman, aku merayu, jangalah berkata kepadaku seperti itu lagi. Jika kalian mengatakan aku ingat semuanya, bukan kerana aku memahami, tetapi aku menghafal. Aku pernah didenda berjalan itik ketika darjah 5 sebanyak 3 kali kerana gagal menghafal fi'il mudhori'. Justeru aku menghafal kerana takut di denda lagi. Seterusnya juga begitu. Aku menghafal kerana takut didenda. Bukan memahami.

Ustazku di sekolah pernah berpesan, dalam mendalami ilmu bahasa al-quran perlu banyak berdoa agar diberikan kefahaman. Ada orang dapat menguasainya kurang dari dua tahun. Ada orang perlu belajar bertahun-tahun. Kalian tahu, aku dihantar oleh mak untuk belajar bahasa arab sejak darjah 3 lagi. Gurunya bukan orang biasa-biasa. Seorang orang arab tulen. Orang mesir. Aku masih mengingat namanya, Ustazah Iman yang sinonim dengan gelaran 'ummi'. Lebih kurang 7 tahun aku belajar dengannya. Sekarang, lebih sedekad aku belajar bahasa arab. Sehingga saat ini, aku masih belum dapat bertutur dengan fasih. Malah vocabulary pun masih kurang. Kamus masih perlu dirujuk selalu. Jadi, kawan-kawan. Please, usah memuji aku lagi ya. ....

No comments:

Post a Comment