Wednesday, 16 May 2012

Great teacher inpires!

- William Hart-

Manusia selalu tindak menghargai apa yang berada di depan mata. Hatta, Kak Cik sendiri pun macam tu. Apabila ia hilang, baru kita mencari-cari. Baru kita hargai. Baru kita sedar bahawa ia sangat bermakna untuk kita. Sama juga seperti guru. Jika di sekolah dulu, kita sangat membenci guru-guru. Kerana garangnya mereka, jika tidak siapkan kerja rumah, pasti dicubit di perut. Jika tidak dapat menghafal dengan lancar, pasti disuruh berdiri di atas kerusi. Rata-rata kita mendengar murid-murid mengeluh,

"Ah! Aku benci la cikgu A ni. Sikit-sikit sebut nama aku je dalam kelas. Macam aku sorang je dalam kelas tu"

"Aku tak suka la Ustaz B ni. Aku tak bawa buku latihan pun kena berdiri atas kerusi"

"Aku meluat dekat Ustazah C ni. Asyik suruh mengapai ja. Pastu kalau tak boleh hafal, mesti dia pulas perut aku, sakit beb!".

Ye kan? Betul tak? Mesti kita pernag berkata seperti ini. Jika tidak di mulut pasti terlintas juga di dalam hati. Jangan tipu.  Kak Cik  juga pernah melalui zaman persekolahan.  Kak Cik  juga secara jujur pernah terlintas kata-kata tak baik di atas ini dalam hati. Astaghfirullah.

Tapi kita jangan lupa. Kerana garangnya seseorang guru itu, jadilah kita seperti ini sekarang. Jika tidak kerana dia mencubit peha kita, sudah tentu kita akan berterusan tidak menyiapkan kerja sekolah. Jika tidak kerana dia menyuruh kita berdiri di atas kerusi, sudah tentu kita akan berterusan tidak membawa buku ke sekolah. Itulah yang dinamakan didikan atau tarbiyah. Sungguh, tarbiyah seorang guru bukan sahaja di atas kapur putih dan papan hitam, bukan sahaja untuk memastikan para pelajar berjaya di dalam akademik, tapi tarbiyah seorang guru itu adalah untuk memastikan anak muridnya turut berjaya dari segi adab dan sahsiah. Mulianya tugas seorang guru. Itulah yang dinamakan tarbiyah. Tidak ada nama tarbiyah jika tidak ada paksaan.

Di sini  Kak Cik  nak kongsikan kisah beberapa orang guru yang bagi  Kak Cik , mereka tergolong di kalangan 'the great teacher' yaitu guru yang telah memberi inspirasi kepada  Kak Cik .

Ustazah A, beliau sangat garang. Garangnya dia boleh diibaratkan ..jika hari tersebut terdapat matapelajaran yang dia ajar, pasti seluruh kelas tersebut tidak akan keluar rehat, malah sanggup berlapar. Dia pernah mengajar kami matapelajaran feqah dan usul fiqh. Sudah tentu kerja rumah yang diberi kepada kami ialah menghafal, menghafal, dan terus menghafal. Dari awal tahun hingga akhir tahun Kak Cik  tidak pernah suka pada Ustazah A ni. Benci setiap kali dia masuk ke kelas. Tapi,  Kak Cik  sedar, dia buat begitu kerana sebab-sebab tertentu. Sebabnya tak lain tak bukan sudah tentu untuk mentarbiyah murid-muridnya. Bukan setakat mendapat A+ dalam matapelajaran tersebut, tapi menjadi seorang yang berdisiplin dalam menuntut ilmu. Nak tahu bila  Kak Cik  sedar akan kesalahan  Kak Cik  kerana membenci Ustazah tersbut? Setiap kali tiba peperiksaan. Kami yang dipaksa oleh Ustazah untuk menghafal tiap-tiap hari sudah tentu dapat menjawab dengan mudah tanpa ada ragu-ragu. Dan sudah tentu keputusan kami juga turut cemerlang.Tika itu, terasa mahu berlari-lari keluar dari dewan periksa untuk jumpa dengan ustazah tersebut dan mengucapkan kepadanya " Terima kasih Ustazah!"

Berlainan dengan Ustazah F. Beliau seorang yang murah dengan senyuman, lembut bicara, dan yang penting tidak pernah sekali pun  Kak Cik  dengar dia meninggikan suara (marah). Sudah tentu  Kak Cik  suka ustazah seperti ini. Membuatkan kita tenang berada di dalam kelas. Tapi kenapa  Kak Cik  suka dia? Kenapa  Kak Cik  terinspirasi oleh beliau? Sebab  Kak Cik  suka cara dia bercakap. People not see what you talk about, but people see the way you talk. Am I right? Bercakapnya berhikmah. Malah ketika dalam keadaan marah pun, kata-katanya juga berhikmah. Mampu melembutkan hati orang yang mendengarnya. Sungguh,  Kak Cik  tak dapat gambarkan kat sini betapa berhikmahnya cara dia bercakap. Hanya orang yang pernah mengenalnya sahaja yang tahu.

Awas ye adik-adik. Jangan pernah membenci guru-guru tau. Tak sayang tak apa. Kerana sifat sayang tu milik Allah. Jika Allah tak campakkan perasaan kasih tu dalam hati kita, macam mana nak terbit rasa sayang kan. Tapi ingat, kita boleh paksa diri kita untuk hormat mereka. Hormat sebagai orang yang lebih tua dari kita. Yang penting sekali hormat sebagai orang yang memberi ilmu kepada kita. Ingatlah pesan Habib Umar,

"kamu tidak akan mendapat keberkatan ilmu sehinggalah kamu memuliakan si pemberi ilmu".

Dan yang terakhir sudah tentu la kedua ibu bapa  Kak Cik .

Jika orang bertanya kepada  Kak Cik  "eh, kenapa Azimah nak jadi cikgu?".  Kak Cik  akan jawab, kerana ibu bapa saya cikgu. Kerana saya dibesarkan dalam keluarga pendidik. Hampir semua ahli keluarga saya ialah pendidik. Dah tu, apa kena mengena pulak? Sudah tentu kerana saya terinpirasi oleh mereka!. 

Seawal umur 5 tahun dahulu, di tadika,  Kak Cik  dengan bangganya akan berkata kepada cikgu "saya nak jadi doktor cikgu! Doktor sakit puan!". Tapi kenapa cita-cita  Kak Cik  bertukar? Benarlah kata orang, persekitaran mendidik kita. Kita belajar dari alam.  Kak Cik  melihat bagaimana orang menghormati keluarga  Kak Cik  sebagai keluarga pendidik. Bukan berbangga. Tapi itu hakikatnya. Pendidik selalu dihormati oleh masyarakat. Malah, setiap kali  Kak Cik  ikut mak dan ayah keluar ke pekan, pasar malam dan sebagainya, pasti ada yang menyapa "Assalamualaikum cikgu!". Perkataan keramat 'cikgu' tidak pernah hilang walaupun ia sudah meninggal dunia. 

Bagi  Kak Cik  mak dan ayah adalah cikgu yang terhebat. Kak Cik  masih ingat kata-kata mak. Di dalam kubur nanti, antara yang nak tolong kita adalah dengan menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Dan jalan yang terbaik adalah dengan menjadi guru. 

Mak, selalu bawa  Kak Cik  ke sekolahnya. Di situ  Kak Cik  melihat tugas seorang guru. Seperti yang  Kak Cik  nyatakan di atas, tugas seorang guru bukan sahaja memastikan anak muridnya berjaya dalam akademik, tetapi juga sahsiah. Jika melihat sampah, diminta anak muridnya untuk mengutip. Jika ada yang memakai baju yang menjolok mata, dinasihatinya supaya berpakaian sopan. Malah, tugas seorang guru juga ialah memjaga kebajikan pelajarnya. Mak seorang yang suka memasak. Setiap hujung minggu mak akan memasak pelbagai makanan, dengan harapan untuk menarik perhatian anak muridnya datang ke kelas tambahan.

Ayah, seingat  Kak Cik , dari  Kak Cik  kecil sampai sekolah menengah ayah masih membawa moto honda bulat ke sekolah. Sempoi. Bila  Kak Cik  tingkatan 2, baru ayah membeli kereta dan membawanya ke sekolah. Ayah seorang yang tegas dalam senyap. Setiap pagi, ayah akan menyediakan sarapan air milo kepada kami 4 beradik. Malah ketika kami sekolah rendah ayahlah yang menggosok baju kami. Ayah juga menggosok telekung  Kak Cik  dan melipatnya kemas-kemas kemudian memasukkannya ke dalam beg sekolah. 

Sekarang ini, walaupun mak dan ayah sudah pencen, panggilan 'cikgu' tetapi meninit di bibir-bibir orang kampung. Ketika hari raya, rumah sentiasa dikunjungi oleh anak murid mereka. Ketika cuti sekolah, papan putih di rumah penuh dengan undangan-undangan perkahwinan anak murid mereka.

Selamat hari guru mak, selamat hari guru ayah.

Gambar di atas sangat bermakna bukan? Jika anda dapat membaca ini, bersyukurlah kerana Allah mengurniakan kepada anda seorang guru yang mengajar tulis, baca dan kira.  Kak Cik  juga bersyukur kerana Allah memilih Kak Cik  dan rakan-rakan sebagai generasi yang meneruskan legasi mulia ini. Allahuakbar.

Di kesempatan ini Kak Cik ingin mengucapkan selamat hari guru kepada pendidik yang pernah mendidik dan mentarbiyah diri ini sehingga saya menjadi diri saya yang sekarang ini. 

Kepada guru-guru di Pasti Teluk Bagan, Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, Sekolah Rendah Islam Darul Aman, Maktab Mahmud Alor Setar, Universiti Islam Antarabangsa, dan terkini Insititut Pendidikan Guru Kampus Dato Razali Ismail..... Terima kasih kerana tidak jemu-jemu mencurahkan ilmu kepada kami semua. Semoga Allah mengurniakan kepada kalian nikmat kesihatan supaya dapat memandu kereta ke sekolah dan menyebarkan ilmu Allah yang maha luas. Semoga kalian sentiasa berada di bawah rahmat Allah. may Allah bless you and your family.

Tak lupa juga, selamat hari guru kepada bakal-bakal guru. Semoga menjadi guru yang dapat memberi inspirasi kepada anak muridnya. Semoga menjadi guru yang membawa anak muridnya ke syurga. Semoga menjadi guru yang bersabar dengan karenah dan ragam anak murid yang pelbagai.

"Kami bangga menjadi guru
Kerjaya di hormati
Tidak jemu menimba ilmu
Bakti setulus hati yang murni"

No comments:

Post a Comment