Friday, 3 August 2012

Dia yang kami rindui

Dia,
yang kami rindui,
Dia,
yang kami sayangi,
Bagi kami,
Dia merupakan ibu kedua,
Bagi kami,
Dia merupakan seorang nenek,
Bagi kami,
Dia merupakan seorang peneman,
di setiap getir dan payah.

'Dia'....yang kak cik maksudkan ialah Tok Cik. Bulan July merupakan bulan penuh emosional untuk kami adik beradik. Kerana bulan Julai lah kami kehilangan insan kedua terpenting dalam hidup kami. Tok Cik mengasuh kami empat beradik dari kecil lagi, dan jika Tok Cik masih ada lagi sehingga sekarang, mungkin beliau masih mengasuh kami lagi walaupun dah besar panjang. Mungkin kami akan bermalam dirumahnya pada setiap hujung minggu.

Kak Cik tak banyak kenangan dengan Tok Cik jika nak dibandingkan dengan kakak dan abang-abang yang lain. Tapi, apa yang kak cik ingat, zaman kanak-kanak kak cik banyak dihabiskan di rumah Tok Cik. Kak Cik masih ingat setiap pagi, ayah akan mengendong kak cik ke rumah tok cik pagi-pagi lagi sebelum ayah ke sekolah. Dan sebelah petangnya, kak cik akan berjalan kaki balik sendiri ke rumah memandangkan rumah kak cik dan tok cik hanya sebelah-menyelah, kadang-kadang tu terus jer tidur di rumah tok cik.

Antara kenangan yang kak cik ingat ketika kecil dahulu. Jiran-jiran keliling rumah yang sebaya dengan kak cik kebanyakkannya adalah lelaki. Kak cik hanya bermain anak patung di dalam rumah. Jika di luar rumah, permainan kak cik adalah askar-askar, polis-polis, dan lain-lain permainan keganasan kanak-kanak lelaki. Kak cik juga ikuti perkembangan semasa. Misalnya ketika itu musim menuai, jadi semua budak-budak di kampung mempunyai layang-layang sendiri. Kak cik juga tak ketinggalan untuk membuat layang-layang sendiri walaupun tidak terbang tinggi macam orang lain. Ada satu musim tu, boleh dikatakan semua orang mempunyai haiwan peliharaan iaitu ikan karin. Ketika bermain di waktu petang, pasti semua orang akan membawa ikan masing-masing. Dan ketika itu, otak kak cik berpusing ligat mencari idea bagaimana nak mempunyai seekor ikan tanpa membelinya. Jawapannya adalah menangkap ikan di sungai di hadapan rumah tok cik. Dulu, sungai tu sangat cantik, tidak ada pencemaran tetapi agak dalam. Bila kak terjun ke dalam sungai, maka terdengar suara teriakan tok cik memarahi kak cik. Kak cik tahu tok cik marah kerana takutkan keselamatan kak cik. Jadi kak cik akur. Keesokkannya, kak cik pergi ke Pasti (Tadika). Kebetulan pada hari tersebut, cikgu di Pasti mengumumkan keputusan peperiksaan pertengahan tahun. Alhamdulillah. Kak cik mendapat nombor satu. Bila balik rumah (balik ke rumah tok cik kerena ayah dan mak belum balik sekolah), kak cik bagitahu kepada tok cik tentang pencapaian kak cik. Tok cik tersenyum, kemudian tok cik kata : " Pi tengok atas meja kat dapuq nu, ada kapal terbang dalam botol". Kapa terbang? Uh, menarik. Kak cik pun berlari-lari ke dapur dan mencari-cari 'kapal terbang' yang dimaksudkan. Bila tengok, maka fahamlah kak cik bahawa 'kapal terbang' itu adalah seekor ikan (tak tahu nama). Tok Cik menangkapnya ketika sedang mengait buah kelapa di sungai. Di kampung, kebanyakkan pokok kelapa di tanam di sepanjang sungai, jadi apabila buah luruh, ia akan luruh ke dalam sungai. So, kita kena turun ke dalam sungai untuk mengutip buah-buah tersebut jika tidak tercapai dek galah. Itulah haiwan peliharaan pertama kak cik. Kalau tidak disilap, ikan tu mati pada minggu berikutnya. Entah mengapa. Mungkin kak cik tak pandai menjaga haiwan.

Kenangan kedua yang paling kak cik ingat sampai sekarang, ketika itu kak cik berumur 6 tahun dan menjadi wakil nasyid Pasti. Setiap tahun, pasti-pasti daerah kota setar akan berkumpul di satu kompleks. Setiap waris pelajar dijemput untuk hadir bersama. Disebabkan mak dan ayah bekerja, jadi tok cik lah yang mengambil tempat sebagai waris. Selepas membuat persembahan, mengambil hadiah dan sebagainya, maka tibalah acara kemuncak untuk kanak-kanak iaitu mengutip gula-gula. Kami dikehendaki membuat satu bulatan besar, kemudian penganjur akan menuang berbalang-balang gula-gula di tengah-tengah bulatan tersebut. Kemudian, kami akan berlari, berebut untuk ambil gula-gula tu. Siapa cepat, dia dapat banyak. Tapi malangnya, kak cik ni berlari agak lambat berbanding rakan-rakan yang lain. Bila sampai ke tempat tompokan gula-gula tersebut, dah habis. Dah nama pun budak-budak, bila tak dapat gula-gula tu, terus menangis. Tok Cik yang kasihankan kak cik ni, minta sedikit gula-gula dari sorang budak laki ni. Bila dapat gula-gula terus senyum sampai ke telinga.

Tok cik, rumahnya biasa-biasa. Rumah kampung. Yang kak cik ingat rumahnya hanya ada 3 kipas angin. Satu di dapur. Satu di bilik anak lelakinya. Satu lagi di tempat tonton televisyen. Jika tok cik nak masuk tidur, kipas di tempat tonton televisyen tu akan diangkat masuk ke dalam bilik. Kak cik ingat lagi, walaupun kipas tu dah ada dalam bilik, kadang -kadang tu tok cik bawa masuk kipas tu sekali dalam kelambu, tapi tetap juga mengada-ngada nak tok cik kipaskan guna kipas tangan tu.

Mak dan ayah sangat suka mengadakan jamuan atau kenduri. Besar mahupun kecil. Setiap kali mak nak buat jamuan makan, tok cik lah orang pertama yang datang ke rumah awal pagi untuk menghulurkan bantuan. Dari pagi hingga ke malam. Ke esokkan hari, tok cik akan datang lagi jika ada pinggan yang perlu dilap.

Kadang-kadang kak cik takut, takut terlupa suara tok cik...."Kak cik, ambik aiq ais kat tok cik segelas".... Kak cik takut terlupa senyuman tok cik. Kak cik takut terlupa wajah tok cik. Sehingga saat ini, kak cik masih ingat 'bau' tok cik setiap kali memakai baju kurung kedah kepunyaannya....walaupun 'bau' itu sudah semakin menghilang dek terlalu banyak kali membasuh.

Kerinduan pada tok cik semakin terasa setiap kali tibanya bulan Ramadhan. Bulan yang sangat ditunggu kami adik beradik. Tok cik akan membuat kuih kegemaran kami adik beradik dan menghantarnya ke rumah sebagai juada berbuka puasa. Kuih khasidah merupakan kuih permintaan tertinggi kami adik beradik. Kadang-kadang terasa sangat menyesal kerana tidak belajar dari tok cik untuk buat kuih-kuih tradisional dan masakan-masakan yang kak cik suka contohya ikan kembung masak asam.

Jika nak dihuraikan kebaikan tok cik pada kami, memang tidak terhurai. Kebaikan tok cik tidak mampu kami balas. Kerana tok cik antara insan yang terlibat secara langsung membesarkan kami dari tapak kaki kami sebesar dua jari hingga sekarang. Mak pernah berkata kepada kami adik beradik...." ampa kena ingat kat tok cik ampa tu. Kalau la ni, ampa nak cari orang mengasuh macam mana tok cik ampa mengasuh ampa dulu, memang tak jumpa dah."....

*Tok cik, semoga ruhmu sentiasa di bawah rahmat Allah SWT. 

2 comments:

  1. sedih baca crta kak cik nie...
    terus teringat kat tok kami...

    mari sedekahkan alfatihah kepada insan2 yg berjasa kpd kita..

    al-fatihah..

    moga ALLAH menempatkan mereka dlm kalangan org2 yg beriman.....

    AMin....

    ReplyDelete
  2. amin ya rabb. Jasa mereka hanya Allah yang mampu membalasnya...:-)

    ReplyDelete