Thursday, 29 November 2012

Khas untuk adik-adik lepasan SPM

Assalamualaikum adik-adik. Sihat? Exam SPM baru-baru ni macam mana? Boleh buat? Susah ke senang? Masuk ke apa yang telah di'spot'kan? 

Yang penting, Alhamdulillah. Selesai semua. Dah selamat. Tak usah di kenang benda yang telah berlalu. Hidup mesti diteruskan. Always look forwad! Yang utama, jangan pernah berbincang dengan kawan-kawan tentang soalan peperiksaan yang lalu. Nanti sakit hati. Kalau bincang pun, tak boleh nak buat apa. Hidup tak tenang. Baik simpan kertas soalan tu, bagi dekat junior yang nak exam tahun depan pulak. (Hehe. Membebel pula)

Tujuan kak cik tulis entre ni adalah untuk berkongsi dengan adik-adik. Kongsi tentang apa? Berkongsi tentang apa yang adik-adik boleh buat selama bercuti berbulan-bulan di rumah nanti. Bagi yang dapat Program Latihan Khidmat Negar (PLKN) , Alhamdulillah. Bagus. Masa tak dibazirkan begitu sahaja. Bagi yang dapat tawaran Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Alhamdulillah. Bagus juga. Kata ulama' : Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad". Tak rugi walaupun kita akan berhenti setengah jalan kerana mendapat tawaran dari universiti. 

Tapi, bagi yang tak dapat PLKN dan STAM, nak buat apa di rumah cuti panjang-panjang ni? Kak cik dulu tergolong dari golongan ni. PLKN tak dapat. STAM? Entah di mana silapnya. 2 kali menghantar borang dan surat permohonan. Mungkin Allah dah aturkan yang terbaik untuk Kak Cik. Think positive! 

Pertama sekali, niat Kak Cik lepas habis SPM, nak khatamkan al-Quran yang tak sempat habis pada Ramadhan yang lalu. Almaklum. Orang sibuk study. Tapi jangan tiru perangai Kak Cik. Tak sempat habiskan al-Quran pada bulan Ramadhan kerana nak baca buku untuk SPM. Itu bukan alasan yang bernas kerana ramai kawan Kak Cik yang sempat habiskan malah ada yang dapat khatam al-Quran sebanyak 2 kali. MasyaAllah. Jadi, bila dah cuti panjang-panjang ni, tak ada alasan untuk tidak khatam al-Quran sebab kita ada banyak masa lapang ! ^_^


Kedua, menjadi tradisi dalam keluarga Kak Cik, bila habis SPM, ayah akan meminta kami untuk mengambil lesen kereta dan motor. Memandangkan Kak Cik dah ada lesen motor sewaktu tingkatan 4 lagi, jadi Kak Cik ambil lesen kereta sahajalah. Hurm. Bila belajar nanti belajar betul-betul. Jangan jadi penakut macam Kak Cik. Masih tak ada keyakinan diri untuk naik kereta bersiar-siar di bandar. Low self-esteem. 
Kemudian, adik-adik juga bolehlah meningkatkan kemahiran masing-masing. Bagi perempuan, adik-adik boleh belajar memasak! Tak kisah sama ada secara formal ataupun tidak. Boleh join di pusat kemahiran yang government dah sediakan atau hanya belajar di rumah. Bagi Kak Cik, bagi yang nak dapat sijil tu eloklah belajar secara formal. 3-5 bulan dah siap. Tapi, Kak Cik belajar di rumah sahaja. Sambil-sambil tolong mak masak, kan dah belajar tu. Sambil menyelam, haruslah untuk minum air sekali!

Kat bawah ni antara makanan yang Kak Cik baru belajar. Urm.. Lepas ni kalau adik-adik minta Kak Cik buat sekali lagi, confirm tak boleh! Hehe. Dah lupa.


Kek Pelangi! ^_^


Haaa.. Yang ni special sikit. Mak cakap ini kuih orang dulu-dulu. Jarang nak jumpa zaman sekarang. Namanya cucur badak pisang. As we know, cucur badak ni kulitnya diperbuat daripada ubi keledek. Tapi cucur badak pisang ni lain sikit sebab kulitnya diperbuat daripada pisang. Mudahnya, kulit cucur kodok intinya cucur badak. Kan sedap tu. Manis di luar pedas di dalam. :-)


Nasi himpit. Yang ni first time Kak Cik tengok dalam hidup Kak Cik. Bukan Kak Cik tak pernah makan nasi himpit kuah kacang sebelum ni malah itulah menu wajib kalau beraya di rumah orang lain. Yang peliknya, nasi himpit ni dibalut dengan daun pisang. Yang Kak Cik tahu, nasi himpit ni hanya perlu diletak di dalam plastik jernih. Jauh mak kursus buat nasi himpit ni. Di Kuala Lumpur. Belajar dari nenek saudara yang juga hobinya memasak. Selain dapat menyelamatkan alam sekitar dari tercemar, ianya juga cantik kerana nasi itu akan menjadi sedikit kehijauan. (P/s : bila bentuknya macam ni, tak dipanggil nasi himpit lagi, tetapi Lontong!)

**Beras perlu direndam selama 3 jam. Setelah dimasukkan ke dalam kelonsong yang diperbuat dari daun pisang, ia perlu direbus selama 8 jam. Hehe. Terkejut kan? Haa, itulah rahsia orang tua-tua. Mereka ni memasak dengan penuh kesabaran. 


Ni pula ialah roti jala dan pisang emas. Hasil inovasi mak. 


Ini pula lepat liat. Kak cik belajar dari nenek saudara juga. Ini bukan lepat liat biasa. Lepat liat biasa hanya menggunakan tepung, dan jika ada inti, intinya adalah nyiur. Tapi lepat liat ni dari pisang dan intinya dari daun pandan. Maknanya lepat liat ni ada rasa pandan lah!


Oh, ni part yang paling Kak Cik suka iaitu buat coklat homemade! Yang ni pun jauh Kak Cik dan mak berkursus. Jauh nun di Kuala Lumpur.  :-)

Ish. Ish. Dah lari tajuk ni. Dah macam entre masakan pula. Hehe. Okay. Berbalik pada tajuk utama. Selain meningkatkan skill memasak, adik-adik juga boleh belajar menjahit. Menjahit ni, serius Kak Cik cakap tak rugi kita belajar. Tak semestinya nak buka butik pengantin baru nak belajar menjahit. Belajar menjahit boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja. Memandangkan sekarang ni upah tukang jahit agak tinggi dan kadang-kadang lebih tinggi dari harga kain itu sendiri. Jadi apa salahnya kita menjahit sendiri baju kita. Bak kata mak Kak Cik : "Lepas untuk baju sendiri pun jadilah". 

Seperti memasak, menjahit pun boleh dipelajari secara formal dan tidak formal. Untuk menjahit Kak Cik ke kelas supaya lebih faham. Tapi tidaklah sampai ada sijil. Kelas kampung je.


Baju terakhir yang Kak Cik belajar. Siapa nak try boleh la klik gambar ni untuk dapat gambar yang lebih besar. Hanya ikut pola yang ada di situ. In Shaa Allah. Akan jadi baju juga akhirnya. Hehe.


Kebetulan Kakak Kak Cik akan berkahwin tidak lama lagi (pada ketika itu), jadi mak ajak Kak Cik buat 'big project' ni untuk diberikan kepada tetamu. Iaitu sulaman reben! 5 beg di atas ni adalah first trial. Beraneka corak. Lepas tu, hanya buat satu pattern sahaja. Sangat untung. 1 meter kain boleh menghasilkan 10 kantung beg.

Menyulam reben ni sangat seronok. Cepat je siap. Tidak seperti menyulam benang. Hasilnya lambat. 


Yang ni pula ialah jahitan jenis patchwork. Huh! Yang ni seriously sangat memerlukan kesabaran. Sarung bantal yang sekecil itupun Kak Cik mengambil masa selama 3 tahun untuk menyiapkannya. Bukan mudah untuk menjahit segi enam sama satu persatu, kemudian menyambung antara satu sama lain.

* Tak boleh bayangkan bagaiman ibu saudara Kak Cik berjaya siapkan 2 helai selimut dalam masa 1 bulan!

Bak kata mak Kak Cik : Di mana ada kemahuan di situ ada jalan!

Selain itu, adik-adik yang minat membuat kraftangan tu, bolehlah buat skrap book seperti di bawah ni.  


Last but no least ialah berjalan, berjalan dan berjalan. Untungnya Kak Cik habis SPM ketika mak dan ayah dah bersara. Jadi boleh ikut mereka berjalan. Bukan melancong, tapi ziarah saudara-mara yang tinggal jauh mahupun dekat. :-) 


Yang jauh kita dekatkan. Yang dekat kita rapatkan. Yang rapat kita satukan. Ehem!

Dan yang terakhir sekali ialah menjadi suri rumah di rumah! Kak Cik teringat kata-kata seorang sahabat Kak Cik. 

"Orang perempuan bukannya lama nak duduk dengan mak dan ayah. Lepas habis mengaji, kerja 2-3 tahun dah kawin. Lepas tu masa banyak habis untuk suami dan anak-anak. Untuk mak dan ayah dah kurang. Jadi, inilah masanya untuk bersama mak dan ayah"

Haaa, tengok, kan jadual kita lebih padat dari orang pergi PLKN dan STAM. Sincerely, Kak Cik tak ada masa nak keluar dengan kawan-kawan sepanjang cuti walaupun sekali. Busy mengalahkan menteri!. Haha.

**Err..cadangan-cadangan di diatas mungkin sesuai untuk adik-adik perempuan. Untuk adik-adik lelaki, maaf lah. :-p

Tuesday, 13 November 2012

CFS IIUM siri 1

* Kak Cik menggunakan kata ganti diri 'aku' agar penulisan di bawah lebih dramatik. Hehe.
* Ya Allah, berilah aku ilham untuk menukilkan sesuatu 'Taman Ilmu dan Budi'.

******
Aku menyelak helaian demi helaian. Diari tahun 2011. Sekitar bulan Mei hingga Julai. Cuba mencari kenangan-kenangan terindah yang mungkin tercatat di situ. Kenangan ketika bergelar mahasiswi Bachelor of Arabic (BAR) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Rupanya tidak banyak kenangan yang aku tulis di situ. Hanya peristiwa penting. Selebihnya hanyalah menyatakan perasaan rindu pada mak, ayah, kampung, sekolah dan sebagainya.

Aku memejamkan mata perlahan. Cuba mengingati saat-saat indah di sana. Saat-saat diri ini sedang bertatih belajar berdikari. Saat-saat diri ini tahu untuk menghargai. Saat-saat diri ini merangkak untuk mengenal dunia luar. Ya, sedikit demi sedikit memori itu hadir dikepalaku.

CFS IIUM Petaling Jaya



Tanggal 29 Mei 2011. Mak, ayah, dan bang niep menghantarku ke CFS IIUM kampus Petaling Jaya untuk mendaftar. Perasaan ketika itu bercampur baur. Seronok dan teruja kerana mengingatkan kata-kata salah seorang seniorku beberapa hari sebelum aku datang ke sini.

"Jangan takut la. Kat sini ramai budak Maahad. Dah jadi macam perkampungan kita. Tak percaya tengok la nanti. Kalau ada masalah, ramai kakak-kakak dan abang-abang dari Maktab Mahmud Alor Setar. Cakap ja. InsyaAllah depa tolong."

Ya, kata-katanya benar. Di sini aku berjumpa dengan ramai orang yang aku kira aku kenal wajah mereka walaupun aku tidak tahu -namanya. Seakanakan terdapat satu tanda atau cop di dahi mereka mengatakan 'saya budak Maktab Mahmud'. Ketika sesi pendaftaran pula, aku berjumpa dengan kawan-kawan sama batch dengan aku di sekolah termasuklah sahabat baikku, si Aina 'Pink'.

Takut dan gementar kerana susah hati memikirkan hari-hari yang akan datang. Macam mana aku nak hidup di sini. Tengok kesesakan jalan raya sahaja sudah cukup membuatkan aku pening kepala. Kalau aku buat salah siapa nak tegur? Kalau aku terlajak tidur, siapa nak kejutkan solat Subuh? Aku sedia maklum, kehidupan di universiti tidak sama di sekolah. Di sekolah, ada guru yang menegur. Ada kawan yang mengingatkan. Di universiti lain pula ceritanya. Kebanyakan orang di sini mengamalkan sikap tidak ambil peduli atau nafsi-nafsi. Hal kau, kau punya hal. Hal aku, biar aku yang selesaikan, kau jangan masuk campur. Oh, aku rindu sahabat-sahabat di sekolah.

Minggu orientasi diadakan di CFS IIUM Petaling Jaya walaupun selepas ini kami yang berada dalam jurusan ARTS akan berpindah ke kampus Nilai, Negeri Sembilan. Jadi proses pendaftaran juga diadakan di sini. Orangnya ramai. Pelajar yang ingin mendaftar pun ramai juga. Itu belum dicampur dengan mak ayah yang menghantar. Datuk dan nenek yang ingin turut serta. Suasananya seakan-akan hari konvokensyen abang-abang dan kakak yang pernah aku ikut sebelum ini.

Kami dikehendaki untuk beratur mengambil angka giliran. Untuk mengambil angka giliran sahaja sudah terbit rasa kagum dalam hati. 'MasyaAllah, hebatnya UIA'. Hanya perlu menekan butang hijau, sehelai kertas sebesar tapak tangan akan keluar. Maka terteralah 4 angka. Itulah angka gilirannya. Kemudian, kami dikehendaki masuk ke dalam dewan mengikut angka giliran tadi. Di situlah sesi pendaftaran bermula.

Mengisi borang, menyusun dokumen-dokumen yang dikehendaki mengikut turutan dan sebagainya. Selesai sesi pendaftaran, kami perlu beratur lagi untuk mengambil barang-barang yang disediakan oleh pihak universiti, kuci asrama dan sebagainya. Ketika aku sedang terpinga-pinga mencari tempat untuk mengambil kuci asrama, ada seorang lelaki menegurku dari belakang, committee yang bertugas mungkin.

"Assalamualaikum sister"
"Waalaikumussalam"

(Brother dan sister merupakan panggilan untuk pelajar lelaki dan perempuan di sini)

"Have you got the mahallah's key?"

(Mahallah > asrama)

"Err. Not yet. Errr. Kat mana ye nak ambik kunci mahallah?"
"Di sana!"
"Ok. Terima kasih"
"Eh, sister!"
"Ya, kenapa?"
"Kalau dorang bagi mahallah Siti Khadijah, sister jangan ambil tau."
"Kenapa?"
"Sebab mahallah tu berhantu."
"Lepas tu, kalau dapat mahallah Siti Khadijah jugak?"
"Err. Cakap je,' ada mahallah lain tak'?"
"Ok. Thank you"

Aku berlalu meninggalkan brother tersebut. Berhantu? Ah, semua tempat ada hantu lah, bro. Dan seperti yang telah diberitahu brother tadi, aku dapat mahallah Siti Khadijah. Agak takut. Semoga Allah melindungiku dari perkara yang buruk.

Setelah selesai sesi pendaftaran, aku keluar dari dewan dan terus berjumpa dengan mak dan ayah. Kami makan tengah hari bersama sebelum menuju ke mahallah yang bakal aku diami selama seminggu di sini.

Mahallah Siti Khadijah. Cantik kan?

Mahallah Siti Khadijah merupakan mahallah paling banyak bilangan tingkatnya malah aku rasa bangunan paling tinggi di sini dan satu-satunya mahallah yang mempunyai lift! Berwarna kuning dan coklat. Cantik. Tersergam megah dan tampak agak mewah. Di keychain kunci bilikku tertera nombor 714. Bermakna bilikku terletak di tingkat 7, hanya 2 tingkat lagi untuk naik ke aras paling atas. Satu bilik dihuni sramai 4 orang. Akulah orang pertama yang masuk ke dalam bilik itu. Makanya, aku bebas memilih katil, meja study, rak buku dan almari. Setelah meletak barang-barang, aku turun semula ke bawah untuk menghantar mak, ayah dan bang niep pulang.

Sedih dan sayu.Tapi aku berusaha menahan diri agar tidak menangis di depan mereka. Dasar anak bongsu yang tak pernah tinggal jauh dari orang tua. Walau aku berusaha untuk menahan air mata dari jatuh, tapi apakan daya. Air mata tetap bertakung di kelopak mata. Hanya menunggu masa untuk penuh seterusnya melimpah keluar.

Naik semula ke bilik. Lift sesak dengan pelajar dan waris. Beratur panjang sehingga ke pintu masuk. Aku memilih untuk menggunakan tangga. Untuk naik ke tingkat 7, bukan mudah. Tinggi. Tapi aku rasa lebih cepat sampai bila menggunakan tangga.


Masuk ke dalam bilik, ketiga-tiga katil yang tadinya kosong kini berpenghuni. Kami berkenalan. Kami berlainan negeri dan latar belakang. Seorang dari Perak. Seorang lagi dari Melaka. Dan seorang lagi dari Pahang. Seronok berada dalam satu bilik dengan mereka. Kmai berkongsi cerita dan minat. Malah, ada satu malam, kami menyanyi lagu negeri dan sekolah masing-masing. Seronok bukan?


Minggu orientasi di UIA tidak sama dengan tempat lain. Jika di institut lain, mereka perlu berlari pusing padang, tidur lewat malam dan bangun awal pagi. Kami di sini tenang. Hanya perlu siapkan telinga untuk mendengar segala taklimat yang semestinya di dalam bahasa Inggeris.

Di sini, kami juga perlu menduduki 3 jenis peperiksaan. EPT (English Placement Test) , APT (Arabic Placement Test) dan TEnT (Tilawah Entrance Test). Ujian tersebut adalah untuk menentukan level dan kelas yang bakal kita hadiri nanti. Ketiga-tiga ujian tersebut wajib diambil oleh setiap orang dan wajib menghadiri kelas tersebut sebelum ke kelas core course. Senang atau susah? Hmmm.. sudah tentu ada yang senang dan ada yang susah.

Tetang makanan, sudah tentu tidak ada masalah. Tentang kafeteria. Ada banyak pilihan di sini. Setiap mahallah dibekalkan satu kafeteria. Ada bilik TV, bilik membasuh, dan lain-lain kemudahan. Jika ada waktu senggang, aku dan rakan-rakan akan pusing-pusing UIA dengan menggunakan peta yang telah diberikan oleh committee yang bertugas ketika pendaftaran semalam. Tentang 'hantu' yang diberitahu oleh seorang brother hari tu? Jujurnya, sepanjang berada di CFS IIUM PJ, tidak pernah terlintas di fikiran tentang hantu walaupun aku terkenal dikalangan adik beradikku sebagai seorang yang penakut. Malah, tidak terdengar langsung cerita-cerita seram dari sesiapa. Dan, aku juga pernah pergi ke bilik air seawal jam 4 pagi dan tiada sesiapa di sana!. Tiada apa-apa yang tidak diingini berlaku. Alhamdulillah. Syukur.

Selama seminggu di sana, kami diberitahu tentang peraturan di UIA, lagu, dan lain-lain (maaf, tak ingat). Selepas seminggu berorientasi di sini, kami warga ARTS dipindahkan ke kampus Nilai.

ARTS = (Bachelor of arabics (BAR) , Bachelor of English (BEN), Islamic Reveal Knowledge (IRK) , dan Human Sciences (HS))


Lautan manusia ^_^ Cantik tak background di belakang tu?


Selamat tinggal Petaling Jaya. Panjang umur, ada jodoh kita berjumpa lagi.

******

* Nantikan sambungan siri ke 2 di kampus Nilai pula !


Sunday, 11 November 2012

Selamat tinggal PPISMP

Alhamdulillah. Hari ni kak cik dan sahabat-sahabat yang lain selamat menjawab soalan peperiksaan yang terakhir. Syukur. Usaha? Done!..Doa? Done!.. Hanya tinggal bertawakkal kepada Allah. InsyaAllah. Semoga Allah memberi yang terbaik. Amin.

PPISMP (Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan)

Semester 1

Semester 1 adalah semester yang penuh dengan drama air mata. Huh? Kenapa? Kak Cik ingat, ketika mak dan ayah hantar Kak Cik ke sini, bila kelibat proton Waja ayah hilang dari pandagan mata, itu adalah 'scene' pertama air mata. Masuk ke dalam bilik, adalah babak seterusnya yang memerlukan air mata. Sejujurnya, sehingga sekarang Kak Cik tidak tahu dan masih belum menemui jawapan kenapa sungguh banyak air mata pada ketika itu. Mungkin terpaksa berpisah dengan mak dan ayah. Mungkin Kak Cik tak kenal sesiapa di sini. Jadi, perasaan 'gabra' dan takut itu pasti ada dalam diri. Mungkin juga berdebar-debar menunggu hari esok. Hurm... mungkin itulah jawapan-jawapannya.

Kenangan semester 1 yang paling Kak Cik ingat sehingga ke hari ini ialah ketika hari pertama Kak Cik masuk ke kelas iaitu tanggal 28 Julai 2011. Kebetulan, pagi tersebut Kak Cik dipertemukan dengan PKU (penolong ketua unit) bagi unit yang Kak Cik berada sekarang, beliaulah yang menemani Kak Cik berjumpa dengan tutor yang sangat peramah orangnya, berjumpa dengan Ketua Jabatan JAPIM (Jabatan Pendidikan Islam dan Moral) untuk mendapatkan tanda tangan dan sebagainya. Pada hari tersebut, kebanyakkan pensyarah yang Kak Cik jumpa malah Kak Cik kira hampir kesemuanya pasti bertanyakan soalan ini :

"Kenapa masuk IPG? Kenapa tak stay di UIA je?"
"Sebab saya nak jadi cikgu"

Ya, saya nak jadi cikgu. Tapi, tolong jangan sebut tentang UIA. Ia akan memaksa air mata ini keluar kembali. Saya sayang UIA, tetapi demi menuju cita-cita saya harus berada di sini. (InsyaAllah, suatu hari nanti Kak Cik ingin menukilkan sesuatu tentang UIA).

Semester 2

Semester 2. Hati ini mulai tenang. Sudah dapat melupakan UIA. Errr. Maksudnya hati ini mula terbit rasa redha. Bila kita minta Allah beri yang terbaik, maka kita harus terima kerana pemberiaan Allah sentiasa adalah yang terbaik untuk kita kerana :

"Manusia merancang dengan cita-cita,
Tetapi Allah merancang dengan cintaNya"

Pada semester ini Kak Cik sudai ramai kenalan. Makin faham sistem-sistem di IPG yang sedikit berbeza berbanding di Universiti. Mungkin Kak Cik tak banyak pengalaman di Universiti, tapi satu yang dapat Kak CIk simpulkan di sini tentang IPG. Di sini kami diajar untuk berdikari dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besarnya. Walaupun berat dan susah, Kak Cik sentiasa ingat kata-kata ayah :

"Kita mengaji, tak ada yang semakin senang. Semakin tinggi kita mengaji semakin susah."

Yup! Betulkan statement tu. Ketika berada di tahun 1 dulu. Operasi campur, tolak, darab dan bahagi dirasakan teramat susah. Bila naik kepada tingkatan 1, masih menggunakan operasi yang sama, cuma prosedurnya sedikit berubah dan sudah tentu menjadikan ia lebih susah dan payah berbanding di tahun 1 dulu.

Antara kenangan di semester ini yang masih tersimpan kemas dalam ingatan ialah bila mana IPG Kak Cik diuji dengan ketiadaan elektrik kerana ada sedikit kebakaran kecil pada suis utama. Bukan sehari dua, tetapi berminggu-minggu. Ketika ini dialog antara sahabat-sahabat ialah :

"Tak pe. Kita praktis mengajar di pedalaman nih. Tak de elektrik."

Hidup bagai 'mati kutu' bila semua gadjet-gadjet tidak dapat digunakan lantaran tidak ada elektrik. Akan tetapi bersyukur dengan ujian ini kerana pada ketika itulah dua buah buku Kak Cik berjaya habiskan. Membaca - hanya itu hiburan yang Kak Cik dan kawan-kawan ada pada ketika itu. Dua buah buku tampak mudah pada mata orang lain tetapi susah pada Kak Cik. Siapa tak kenal, si Azimah yang tidak suka membaca. Jika orang lain berjaya habiskan novel 'ayat-ayat cinta' hanya dengan satu malam, tetapi Kak Cik mengambil masa untuk menghabiskannya selama 6 bulan. 

"Membaca adalah hiburan yang paling murah"

Dan sekarang, Kak Cik sedang berusaha untuk memupuk aktiviti ini agar sebati dalam diri kerana :

"Untuk menjadi seorang guru, kita perlu banyak membawa. Kerana membaca jambatan ilmu''

Semester 3

Semester 3 ialah semester terakhir untuk PPISMP yang Kak Cik kira semester paling best. Semester ini, hubungan kami antara ahli-ahli unit semakin akrab. Kami makin mengenali antara satu sama lain. Kami makin tahu apa itu ukhwah islamiah. Ya, kadang-kadang terdetik di dalam hati, inikah yang dinamakan ''Ukhwah ila Jannah?". Sungguh sahabat, aku amat menghargai kehadiranmu. 

Pada semester ini juga, buat pertama kalinya Kak Cik 'fell in love at the first sight'. Dengan siapa? Sudah tentu dengan si dia. Ya, siapa? Si dia ialah pensyarah Kak Cik. Dan semestinya perempuan. Nak kata 'first sight', tidaklah first sight. Sebab Kak CIk dah banyak kali tengok beliau sebelum ini. Mungkin ketika pertama kali mengenali peribadi beliau. Sungguh, hati ini teruja, kagum, dan lain-lain lagi. Semoga Allah sentiasa merahmatimu. :-)

*Itulah serba sedikit pahit manis sepanjang bergelar guru pelatih PPISMP. Semoga pada tahun hadapan membawa 1001 semangat baru. Selepas ini tidak lagi bergelar guru pelatih PPISMP, tetapi guru pelatih PISMP (dibuang P yang ke 2).
*Itu pun kalau lulus lah exam kali ni. hehe.

CUTI SEKOLAH TIBA LAGI

Cuti? Siapa tak suka cuti kan? Masa untuk merehatkan minda, tenaga, tubuh badan dan sewaktu dengannya.  Tak perlu runsing dengan tugasan yang tidak siap lagi. Tapi, pada hari pertama cuti ni, Kak Cik dah terasa boringnya bila mana tidak ada kerja yang hendak dibuat.

Kalau dulu bangun pagi, siap-siap untuk pergi ke kelas. Tapi kini bangun pagi, termenung di tepi tingkap.
Kalau dulu tidur lewat kerana menyiapkan tugasan. Tapi kini tidur lewat kerana berFacebooking.

Haish... semoga kita semua sama-sama manfaatkan masa lapang yang Allah beri ini.

Dan sekarang, tibalah masa untuk merangka aktiviti cuti sekolah . Setelah berbincang dengan kakak, berikut adalah beberapa dari 'plan' yang telah kami rangka untuk cuti ni.

1) Belajar menjahit dengan kakak.
2) Belajar bawa kereta sehingga mahir.
3) Menyiapkan kerja-kerja kraf yang tergendala beberapa tahun yang dulu.
4) Baca buku-buku yang telah dibeli dengan baucher bulan April yang lalu.
5) Ziarah sanak saudara yang tak sempat bertanya khabar pada dua hari raya yang lalu.
6) Menyiapkan jahitan felt yang telah kak cik janji dengan rakan-rakan.
7) Kenduri, kenduri dan kenduri.