Monday, 23 December 2013

Pavlova

 Hi... Jom hari ni kita belajar buat pavlova nak? Kak cik bukanlah terror sangat nak ajar orang lain. Kak cik sendiri baru first time buat. Eager sangat nak tahu rasanya. Almaklum, kat Kedah ni, nak cari mana makanan orang metropolitan ni kan? Huhu. Resepinya mudah je. Setelah meninjau dari satu blog ke satu blog yang lain, kak cik mengambil keputusan untuk ikut resepi dari blog kak Fatin Liyana

Bahan A untuk meringue.

4 biji putih telur
175 gram gula kastor
1 sudu kecil cuka masakan
1 sudu kecil tepung jagung

Bahan B untuk topping

175 gram whipped cream
Buah-buahan yang masak (contoh : strawberry, anggur, kiwi, dll)

Mula-mula panaskan oven 170 darjah celsius.

Dengan menggunakan mixer, pukul putih telur sehingga berbuih / foamy seperti di bawah.


Kemudian, masukkan sedikit demi sedikit gula kastor, tepung jagung dan cuka masakan.

*Ada juga resepi yang letak sedikit esen vanila untuk hilangkan hanyir telur. Tapi kak cik tak letak pun. ;-)

Putar, putar dan terus putar


Ingat, putar sehingga adunan jadi bertanduk. Maknanya bila kita terbalikkan bekas, adunan tak jatuh ke bawah.


Lepas tu, lapik tray dengan baking paper atau kertas minyak. Tak perlu guna acuan.


Kemudian, tuang adunan atas tray tadi. Then bentukkan ia menjadi bulatan.

Masukkan dalam oven yang telah di pre-heat awal-awal tadi. Bakar 30 hingga 40 minit.

**perlu diingatkan, bila dah masak, jangan terus bawa keluar. Biarkan meringue sejuk dalam oven. Buka sikit pintu oven supaya pengudaran baik. (actually yang ini kak cik tak tahu apa sebab musababnya. Most blogger yang share resepi pavlova ingatkan tentang perkara ni?

Selesai untuk meringue. Sekarang untuk topping pulak.

Guna mixer jugak, pukul whipped cream tadi. Pukul sampai kembang. Kalau nak letak esen vanila sikit pun boleh. Kemudian ratakan atas meringue tadi. Akhir sekali, Hiaskan dengan buah-buahan.

**Pavlova ni rasanya sangat manis. Sebab itu kita kena seimbangkan dengan buah-buahan yang masam :-)

dan hasilnya
......
.....

.....
.....

.....
.....

.....
....

.....
.....

......
......

......
.....


......
......


.....
......


......
.....

TADAAAAA

Thursday, 19 December 2013

Misteri Nusantara

Siapa kat sini pernah tengok rancangan Misteri Nusantara? Best ke? Kak cik memang dari dulu tak suka tengok cerita-cerita mistik ni. Sejujurnya kak cik memang penakut orangnya. Ditambah pula dengan kakak dan abang-abang yang suka menakut-nakutkan si bongsu ini. Kecil-kecil dulu, setiap kali masuk toilet, mesti on mesin basuh (walaupun tak da kain) atau buka paip air. Supaya ada bising. Kak cik tak suka suasana yang terlalu sunyi. Dan tak suka juga bunyi yang terlalu bingit (macam bunyi orang race motor).

Kalau tidur mesti nak pegang tangan ayah dulu. Supaya tahu kita tak keseorangan. Kalau tidur sorang-sorang di bilik kakak mesti rapatkan bahagian belakang badan di dinding. Supaya tahu tak ada ruang kosong di belakang kita yang boleh 'makhluk-makhluk' itu duduk. Kuantiti bantal mesti tidak kurang dari tiga. Lebih lagi bagus. Di kepala, kiri dan kanan. Alasannya? Macam tadi, tak nak ada ruang kosong. 

Sekarang, alhamdulillah. Hasil didikan agama yang mak ayah bagi, kak cik semakin berani. Chewah. Tak ada lah berani sangat. Cuma, tidak penakut seperti kecik dulu. Masuk toilet tak perlu on mesin basuh lagi. Tidur malam sorang-sorang dah boleh tutup lampu. Tak perlu buka lampu siang hari. Dah boleh tinggal kat rumah sorang-sorang kalau mak ayah berjalan jauh. Ok What?? Dan di hostel juga kak cik tidur seorang diri setiap hujung minggu!!.... (Tiba-tiba rasa bangga dengan pencapaian diri sendiri ^___^)

Dari kecik sampai SEKARANG kak cik memang tak suka apa-apa yang berkaitan dengan hantu. Sama ada filem,drama atau bahan bacaan. Kerana kak cik percaya, bila kita dah tau kita ni takut, buat apa nak baca atau tengok sesuatu yang menakutkan kita, bukan? Cerita-cerita hantu itu membunuh rasa berani dalam diri. Kalau tengah sembahyang pun rasa tak kusyuk sebab fikir kalau-kalau ada benda di belakang, apa cerita kan? So, dair awal-awal lagi kak cik ambil pendekatan elakkan semua ni. Hasilnya, kak cik semakin berani !  Haha.

Kalau nak diikutkan pengalaman, kak cik tak adalah pengalaman macam orang lain. Ada orang ada six senth, dia boleh nampak terus. Ada orang pernah kena tindih di malam hari. Ni banyak budak hostel yang selalu kena. Tapi kak cik ada la jugak beberapa pengalaman yang nak dikongsikan. Tapi kebanyakan kes adalah tidak berat.

Pengalaman Pertama

Pengalaman pertama ketika kak cik mengikuti kem SPM anjuran sekolah. Tempat tak perlu dinyatakan di sini. Tapi tempatnya sangat cantik, ada tasik dan taman bunga. Untuk pelajar perempuan kami ada dua dorm. Kak cik tak ingat apa namanya. Contohnya kak cik dapat dorm A. Sebelum semua orang excited nak masuk sebab nak 'cup' katil masing-masing, ada seorang kawan ni ingatkan,

"Eh, kita baca doa dulu sebelum masuk".

Dia mengimamkan bacaan doa lalu kami semua mengaminkan. jumlah kami yang ada dalam dorm tu kalau tak silap dalam 30 orang lebih kot. Aktiviti berjalan seperti biasa sehinggalah tiba waktu tidur. Semua orang bersedia untuk tidur. Kak cik mendapat katil paling hampir dengan pintu. Bilik air berada di hujung dorm. Ada seorang cikgu memantau kami sebelum menutup lampu. Sempat dia berpesan kepada kak cik.

"Azimah, kamu yang duduk dekat dengan pintu. Jaga-jaga. Kalau nampak apa-apa jerit kuat-kuat".

Reaksi kak cik waktu tu, biasa-biasa ja. Sebab cikgu tu memang suka buat lawak. So semua orang pun tidur. Kak cik buka cermin mata letak di tempat yang selamat, dan ambil torch light letak di tepi pantai. (Torch light ni memang ayah suruh bawa). **Sebelum tidur kami baca al-Mulk beramai-ramai. **Lampu dorm dimatikan dan yang hanya menyala lampu tandas.

Sedang nyenyak tidur kak cik terjaga sebab terdengar bunyi deruman air kolah. BUnyi suara orang sedang bergumbira mandi beramai-ramai. So, kak cik pun ambil torch light, suluh dari katil ke katil. Memang tak ada orang. Hanya dua tiga orang sahaja yang masih berselimut. Mungkin masih tidur.

"Alamak! Apasal depa ni bangun tak gerak (kejut) aku?"

Tanpa memakai cermin mata, tuala di capai dan terus ke bilik mandi. Sesampai sahaja di bilik mandi, aikkkk, kosong! Tak ada orang pun. Bunyi orang bersorak tadi pun serta merta senyap sunyi. Berpatah balik ke tempat tidur, katil-katil yang kosong tadi tiba-tiba ada balik tuannya. Huh!

Keesokan paginya kami berkongsi pengalaman. Dorm yang kak cik stay, hanya kak cik sahaja yang mengalami gangguan tersebut. Dorm sebelah boleh dikatakan 90% orang nampak benda tu. Syukur, hijab kak cik tak terbuka.

Sepanjang zaman sekolah hanya itu sahaja pengalaman kak cik dengan makhluk misteri itu. Orang kata, kalau kita tinggal di asrama peratus nak nampak tu lagi tinggi! Almaklum, benda-benda ni suka nak kacau orang yang tengah menuntu ilmu ni. So, the journey is begun..

Di UIA, first time kak cik tinggal di asrama. Walaupun dengar macam-macam cerita tapi alhamdulillah, kak cik tak pernah alami apa-apa gangguan. Tindih pun tak pernah walaupun dorm-mate kak cik ada yang pernah kena.

Pengalaman Kedua

Masuk sahaja IPG, keberanian kak cik sedikit teruji. Masakan tidak, dulu di UIA, bilik riuh rendah dengan penghuni seramai 16 orang. Err, mungkin lebih tepat panggil dorm kot. Hehe. Tapi di IPG, priversi kami sedikit tinggi di mana satu bilik hanya untuk dua orang sahaja. Ditakdirkan kak cik dapat roomate orang sekitar IPG je. Jadi, haruslah dia pulang ke rumah setiap hujung minggu kan? Jadi, kak cik perlu tidur seorang diri setiap hujung minggu. Kadang-kadang tidur di bilik kawan yang mana roomate mereka pulang ke kampung juga. Tak mungkinlah setiap hujung minggu nak menumpang bilik kawan. Kang mereka rasa terganggu pulak.

Nak dijadikan cerita, ada satu weekend ni, roomate kak cik tak balik sebab dia ada kursus kahwen yang dianjurkan oleh IPG. Malam jumaat, dia keluar dengan kawan-kawannya. Keluar dinner mungkin. Kak Cik agak letih pada hari tersebut. Ada pertandingan badminton pada siangnya. So, pada malamnya sudah tentu 'pancit'. Jadi kak cik tidur awal. Selepas maghrib dah baring atas katil.

Tepat pukul 12 malam, roomate balik. Dan kak cik terjaga sebab terdengar dia buka pintu. So, alang-alang dah terbangun, kak cik nak ke tandas. Malam jumaat (malam minggu), biasanya penghuni asrama tidur lewat. Ye lah, esok cuti. Time ni lah nak tengok movie! Jadi, kak cik tak takut sangatlah nak ke tandas waktu-waktu begini. Confirm semua bilik masih terang benderang. Waktu roomate kak cik sedang solat isya', kak cik membuka pintu bilik. Untuk ke tandas. Mata dipandang ke bawah untuk memakai kasut. Pandangan di angkat 10 darjah. Dan kak cik terlihat sesuatu di bilik hadapan (bilik basuh baju). 


Faham tak ilutrasi gambar yang kak cik lukis tu? Kak cik nampak rambut panjang yang mencecah lantai. Beralun seperti iklan rejoice. Sungguh, rambutnya cantik. Tidak kusut masai macam hantu kak limah. Terkesima selamah beberapa saat. Kasut ditanggalkan semula dan terus tutup pintu. Kak cik duduk di atas kerusi menenangkan diri. Jauh termenung. Siapakah tadi? Ada ke student IPG yang rambut sepanjang itu? Kak cik tunggu lagi, kalau-kalau ada bunyi mesin basuh baju. Kebiasaanya malam minggu mesin basuh memang sibuk membasuh baju pelajar-pelajar IPG ni. Dan bilik kak cik menjadi mangsa dengan bunyi mesin tersebut. Almaklum, bilik kak cik dan bilik basuh berjiran. ekeke.. tapi kak cik tak kisah. Memang kak cik suka kan bunyi mesin basuh seperti yang telah dinyatakan di atas. 

Tunggu punya tunggu, lebih kurang 10 minit, tak ada pun bunyi mesin. Pelik. Dan kak cik terus tidur, malas nak fikir sebab terlalu penat.

Rentetan daripada kisah semalam, ada beberapa peristiwa yang berlaku yang kuat mengatakan kak cik sedang diganggu.

Bangun pagi esok, sibuk bertanya orang itu, orang ini cara nak elakkan semua gangguan tersebut. Jawapan yang kak cik terima kebanyakkan adalah lebih kurang sama iaitu MEMPERHEBATKAN LAGI IBADAH. Ada juga yang berkongsi ayat-ayat tertentu. 

Tapi, jujur kak cik cakap, pada minggu tersebut, amalan harian kak cik banyak yang lopong-lopong. Ada hari yang terlupa atau tak sempat membaca ma'thurat.

***Tentang cara-cara menghindari gangguan, kak cik akan kongsikan pada post yang berikutnya ya. :-)

Pengalaman ketiga

Pengalaman ketiga ni tidaklah seseram mana. Berlaku ketika kak cik pulang ke kampung. Lebih kurang dua minggu lepas. Sebelum tidur, seperti biasa kita akan ke tandas, melakukan apa yang patut. Keluar dari tandas, kebiasaannya kak cik akan mencuci tangan. Sebab kak cik pernah dengar, benda-benda tersebut yang selalu menindih kita ketika tidur biasanya tertarik dengan bau makanan yang melekat di tangan kita dan sisa makanan yang jatuh di atas katil. Jadi, sebelum tidur wajib kak cik basuh tangan dan mengibas tempat tidur dengan selimut. Selepas basuh tangan, kak cik masuk ke bilik. Tidur.

Eh, sebelum tu baca doa tidur dulu. Selepas membaca doa, lalu mengaminkan doa dengan menyapu kedua tapak tangan ke muka. Tiba-tiba kak cik terbau sesuatu. Bukan kemenyan. Tetapi bau air mawar. Selain kemenyan, masayarakat kita juga sinonim dengan air mawar yang selalu digunakan ketika menguruskan jenazah,bukan? Baunya semakin lama semakin kuat. Harummm. Malas nak fikir bukan-bukan, kak cik paksa diri untuk tidur. Mata dipejam serapat mungkin dan fikiran cepat-cepat menghalau kelibat-kelibat yang negatif.

Bangun keesokkan, masih terfikir, mana datang bau itu? Kak cik ke tandas. Terpandang satu botol di sinki dapur. Botol sabun basuh tangan. Sabun yang dicampur dengan haruman rose!!! Haha, rasa macam nak gelak pada diri sendiri. Rupa-rupanya bau air mawar semalam tu datang daripada sabun ini yang kak cik gunakan untuk cuci tangan! 

**20 tahun kak cik hidup, hanya itu sahaja pengalaman kak cik dengan makhluk mistik tersebut . Moga ini yang terakhir.

Friday, 13 December 2013

Berwalimah

Assalamualaikum. Lama rasanya kak cik tidak menulis di sini. Bukan tak ada masa. Tapi tak ada idea. Tak tahu nak menulis tentang apa. So, memandangkan sekarang musin cuti sekolah, sudah tentu anda mendapat jemputan walimah di sana dan di sini,bukan? Alah, senang cerita kenduri kahwin.

Kak cik akui, entre kali ini lebih kepada luahan hati. Dah lama terpendam dalam hati. Dah lama rasa tak puas hati tentang yang satu ini. Apa? ADAB MENGHADIRI KENDURI KAHWIN.

Ukur Baju di Badan Sendiri

Dah nama pun kenduri, mestilah ada makan-makan kan? Dan sudah tentu ianya percuma!!! Mungkin ada yang beranggapan "Biarlah! Ikut suka akulah nak ambil banyak mana pun. Percuma!". Tapi pernah dengar tak istilah 'ukur baju di badan sendiri'?. Kalau dah tahu kita ni jenis makan sedikit atau dah kenyang, jangan lah ambil makanan 'percuma' itu macam orang kebuluran. Nanti confirmlah dibuang bahagian yang tak habis itu. Kan dah membazir. Sisa kita,siapa yang nak makan? Orang belakang kita? Kita sendiri TAK AKAN makan  bekas orang !!


Tambahan pula, rata-rata sekarang ni kebanyakan kenduri mengamalkan konsep buffet, bukan lagi hidang seperti dulu. Jadi, semakin meningkatlah 'desire' nak ambik lebih kan. Almaklumlah, percuma! Jadi, para ibu-ibu sekalian, tolonglah jangan ambil makanan untuk anak anda seperti kuantiti orang dewasa. Dah sah-sah memang tak habis. Ikan kering pun nak diletakkan dalam pinggan anak sampai 3,4,5,6,7 lapan ketul ! Budak-bukak makan ke ikan kering yang masin itu?

Tuan rumah tentu senang hati melihat tetamu yang hadir makan dengan berselera sekali dan tuan rumah juga sudah tentu cuba sedaya upaya menyediakan yang terbaik kepada tetamu mereka. Tetapi, agak-agak apa perasaan tuan rumah apabila melihat makanan yang ditempah yang mungkin kosnya (rm6.50 sekepala) dibuang begitu sahaja?

Masuk Kandang Kambing Mengembek

Eh, ada kena mengena ka kambing dengan kenduri kahwin ini? Sudah tentu ada! Hal ini susah sikit kak cik nak explain, but i'll try!

Sebenarnya point nya lebih kepada cara pemakaian. Iyalah, kadang-kadang ada kawan kita menjemput kita ke kenduri kahwinya. Di kampung pula! Sedangkan kita ini orang bandar. Dah terbiasa memakai baju seperti orang bandar. Jadi terbawa-bawa ke kampung. Pakai apa? Baju kebaya sendat dan jarang. Berkain ketat (nampak seperti susah nak mengatur langkah), dan berambut blond.

Tak terfikirkah akan ada mata-mata yang 'penat lagi lelah' mamandang anda berpakaian seperti itu? Pakailah pakaian yang sopan. Yang tidak sakit mata yang memandang. Pendek kata, yang sesuai dengan masyarakat sekeliling yang hadir pada walimah tersebut!!!


Tak perlu pakai seperti gambar di atas, cukuplah sekadar memakai tudung yang menutup dada, berbaju longgar dan tidak jarang!

DJ Radio

DJ radio. Sudah menjadi trend semasa setiap kenduri mesti ada DJ. Maaf untuk kak cik sebutkan di sini, walaupun tuan rumah itu tidaklah berada sangat, tetapi menjadi kewajipan untuk mengupah DJ supaya kenduri mereka lebih meriah (kononnya). Pernah kak cik pergi ke kenduri kahwin, sunyi sepi. Mengapa? Sebab tak ada DJ!!.. Terasa janggal bukan?

Salah ke jemput DJ? Tak salah! Yang salahnya muziknya terlalu bingit. Bukan kuat/bising lagi tapi bingit!! Kak cik tak salahkan DJ. dia hanya menjalankan tugas. Justeru tuan rumah yang perlu ambil peranan, seperti meletakkan peraturan kepada DJ. Contohnya mengehadkan volume, genre muzik yang boleh dimainkan dan sebagainya.

Bila ada kenduri kahwin sahaja, ia bukan sahaja menjadi majlis untuk meraikan pasangan raja sehari, tapi menjadi medium untuk adik beradik dan saudara mara berkumpul dan berjumpa serta bertanya khabar setelah sekian lama tidak bersua. Dari yang muda sehingga yang sudah bertongkat pasti akan cuba sedaya upaya untuk hadir. Maklumlah, ini sahaja peluang nak jumpa saudara mara yang jauh. 

Tapi, bila muziknya kuat, sudah tentu menjadi kekangan bagi mereka yang tua berbicara. Orang tua kan lazimnya kurang pendengarannya. Lain yang ditanya lain yang dijawab. Orang yang menyoal sudah tentu perlu bercakap dengan nada yang tinggi malah kadang-kadang perlu menjerit supaya yang mendegar soalan faham walaupun soalannya sekadar bertanya "sihat ka?"? 

Jadi, sudah tentu tampak tidak sopan kan bercakap dengan orang tua dengan nada yang tinggi?

Ingin kak cik kongsikan satu dialog. Ini bukan rekaan, tapi benar-benar berlaku. Jawapan yang tidak disangka-sangka dari seorang ayah.

kak cik : aik, kenapa kenduri ni sunyi ja?
ayah : inilah kenduri orang yang 'reti agama'.

**Pendapat kak cik sendiri, alangkah bagusnya jika sesuatu majlis kahwin itu dihiasi dengan ceramah agama. Kalau nak buka lagu pun, yang volume nya hanya suam-suam kuku sahaja supaya apabila bersembang tidak perlu memekik.

Kak cik rasa, biarlah hanya 3 benda ini sahaja yang disentuh. Jika nak komen, banyak lagi yang tak puas hati sebenarnya... Hehe..

***Moga ada yang terjentik hatinya. :-)






Monday, 21 October 2013

Kuncinya adalah Syukur


Jika tiada rezeki anak,
mungkin diberikan rezeki mertua yang baik.
Maka kita lebih bahagia dari mendapat anak yang liar.

Jika tiada rezeki wang ringgit,
munkin diberikan rezeki kesihatan.
maka kita lebih bahagia dari kerisauan menjaga harta dunia.

Jika tiada rezeki kereta mewah,
mungkin diberikan rezeki kenderaan yang jarang menimbulkan masalah.
Maka kita lebih bahagia dari membayar kerosakan yang mahal.

Jika tiada rezeki rumah besar.
munkin diberikan rezeki makanan yang tidak putus,
Maka kita lebih bahagia dari si gelandangan.

Jika tiada rezeki pasangan yang cantik,
mungkin diberikan rezeki pasangan yang baik dan pandai menguruskan rumah tanga.
Maka kita lebih bahagia kerana hidup berteman dan terjaga segala.

Jika tiada rezeki jodoh,
Munkin diberikan rezeki umur ibu bapa yang panjang.
Maka kita lebih bahagia dapat berbakti sepenuhnya pada orang tua.

Jika tiada rezeki hari ini,
munkin ada rezeki yang lebih baik pada esok hari.
Maka kita lebih bahagia kerana rezeki yang tidak dijangka.

Ingatlah wahai sahabatku, Allah tidak memberi apa yang kita suka, tetapi Allah memberi apa kita perlukan. Justeru, yakinlah bahawa takdir yang telah ditentukan oleh Allah adalah lebih baik dari apa yang kita inginkan. Mohonlah padaNya agar diberikan secebis kekuatan untuk memahami semua ini sebagai satu anugerah dariNya.

Suka untuk kak cik pinjam kata-kata al-fadhil ustaz Syed Norisyan bin Tuan Padang :

"Jika kita tidak dapat apa yang kita suka,
Maka berusahalah untuk suka apa yang kita dapat."

Renung-renungkanlah dan selamat beramal.

dan

jangan lupa untuk mengucapkan hamdalah



satu lagi!

Hayatilah petikan ayat al-Quran di bawah ini. ^_^


Thursday, 19 September 2013

Menunggu atau ditunggu?

Antara menjadi individu yang menunggu atau individu yang ditunggu, mana satu yang menjadi pilihan anda? Bagi sesetengah individu, baginya biarlah dia yang menunggu. Kerana dia tidak tegar orang lain berada dalam kesusahan dek keterlewatannya. Lain pula bagi orang yang memilih menjadi individu yang ditunggu. Mungkin kerana dia tidak betah melihat jam berkali-kali kerana menanti seseorang. Justeru, 'ah, biarlah dia orang yang tunggu aku!"

Waktu kecil-kecil dulu, kak cik ke sekolah dengan emak. Lantaran sekolah kami menghala ke arah yang sama, jadi mak yang akan menghatar kak cik ke sekolah setiap pagi. Dah nama pun anak dara, mestilah 'appearance' wajib dijaga. Pantang hujung tudung terkelepet sedikit atau berkedut, laju sahaja berlari ke meja seterika. Lalu,emak membunyikan hon sebagai isyarat bahawa kami telah lewat ke sekolah. 

Rentetan daripada peristiwa di atas yang berlaku entah pada kali ke berapa, ayah pernah memberikan satu analogi :

"Kita kalau nak pergi ke sekolah naik bas, mestilah kita yang kena tunggu bas tu. Sebab kita nak tumpang dia... Takkan dia nak tunggu kita pulak"

Dan ayah bukan sahaja hanya pandai berkata-kata. Sudah tentu ayah buktikan melalui tindak tanduknya. Jika kak cik ke sekolah bersama emak, maka pulangnya bersama ayah pula. Tidak pernah sekali pun, kak cik menunggu ayah ketika pulang dari sekolah. Bila loceng berbunyi sahaja, kereta ayah pasti sudah ada di pintu pagar sekolah. Kalau kak cik perlu menunggu pun, hanya beberapa kali sahaja. Itupun jika ada kesulitan yang tak dapat dielakkan. 

Ayah juga selalu cakap :

"Tidak rugi menjadi yang terawal... Tidak rugi menjadi yang pertama"

Dan, jam di rumah kami ayah awalkan sebanyak 5-10 minit, supaya anak-anaknya bersiap awal ke sekolah. Sehingga sekarang jam tangan kak cik diawalkan sebanyak 5 minit supaya mindset kita sentiasa berfikir bahawa kita sudah terlewat ke kelas. Padahal kita masih ada masa yang berbaki 5 minit. 


Berdasarkan contoh-contoh yang telah ayah tunjukkan, kak cik lebih memilih menjadi individu yang menunggu walaupun orang kata "Penantian itu satu penyiksaan".  Biarlah kita yang menunggu orang lain. Kerana kita tahu bagaimana mengawal kesabaran kita dalam penantian tersebut. Kalau orang lain yang menunggu kita, mungkin entah sudah keberapa kali dia maki kita. Iyalah, tidak boleh menyalahkan dia juga. Siapa suruh kita lewat. Dia pun ada kerja yang harus diselesaikan dengan secepat mungkin. Cuba bayangkan, dengan hanya keterlewatan kita itu, kerjanya tergendala.

Namun, kadang-kadang kak cik kesal. Terkilan apabila orang memperkotak-katikkan kesabaran kita. :-(

*Maaf, inilah adalah entre luahan perasaan.
*Senyum selalu..
*Sabar itu kan indah. :-)

*Sedikit masa lagi, mungkin kak cik akan diuji atas 'bebelan' di atas... Ya Allah, lindungilah aku. jangan hanya sekadar 'cakap je lebih'.... :-)

Wednesday, 11 September 2013

Mati itu Pasti

Hujung minggu lepas yang lalu, kak cik join satu Kursus Pengurusan Jenazah yang dianjurkan Biro Kerohanian Moral dan Disiplin BADAMD, IPG KDRI. Pertama kali melihat posternya, hati melonjak girang . Kerana dah lama kak cik mencari kursus seumpama ini. Dulu dekat sekolah pernah ikuti kursus seperti ini sekali. Tetapi, mungkin tidak pernah melakukan di lapangan yang sebenar, maka kita lupa.

Dulu mungkin join Kursus Pengurusan Jenazah sebab terpaksa. Ye lah, lepas periksa PMR, tak ada aktiviti. Jadi sekolah menganjurkan kursus ini untuk mengisi masa yang terluag itu. Tapi, kali ini dengan rela hati kak cik nak sertai. Ada beberapa sebab.

Kak cik malu, dengan title sebagai seorang bakal pendidik atau dengan lebih terperinci lagi bakal 'ustazah; tetapi nak mandikan jenazah pun tak tahu. Bukankah itu perkara wajib yang perlu dihadam oleh seorang ustazah. Golongan ini merupakan rujukan masyarakat. Kerana, pada mindset mereka, seorang ustaz-ustazah itu ibarat 'mufti'. Tahu serba serbi. Dan mereka wajib tahu. Sedangkan mereka juga ada kekurangannya.



Kedua, kak cik tak nak peritiwa 6 tahun lalu berulang lagi. Di mana kak cik kehilangan seseorang yang kak cik sayangi. Tika orang lain menguruskan jenazahnya dari mula hingga akhir, kak cik hanya kaku di penjuru bilik. Ingin membantu. Tetapi tidak tahu apa perlu dilakukan. Kalau boleh, jenazah mak, ayah, saudara mara terdekat, biarlah kak cik antara individu yang terlibat dalam menguruskan jenazah mereka, terutama sekali jenazah mak ayah. Walaupun tidak mustahil mak dan ayah yang akan menguruskan jenazah kita terlebih dahulu. Siapa tahu. Kan ajal maut tidak mengenal umur, masa dan ketika.

Kak cik terpukul dengan kata-kata juru mandi jenazah,

"Ketika jenazah kita diusung untuk dimandikan, relakah kita membenarkan jasad kita disentuh oleh tangan-tangan asing? Mana tangan anak kita? Mana tangan isteri kita? "



Walaupun kursus ini singkat, tetapi cukuplah sekadar memberi gambaran awal. Walaupun tidak berapa jelas kerana kita tidak melalui amali yang sebenar. 

Moga, Allah beri kita kesempatan untuk membelai jenazah mak dan ayah kita di saat-saat akhir. Amin.

** Hebatnya seorang juru mandi jenazah. Tampak biasa, Tidak mahsyur dalam kalangan masyarakat. Kurang diberi perhatian. Namun dialah yang dicari-cari ketika ada kematian.

Tuesday, 30 July 2013

Rindu


Rindu,
Dikau datang lagi.
Menyapa segenap sanubari.
Dikala sepi mencengkam diri,

Rindu,
Apakah yang dikau cari,
Mengapa sering menghimpit hati?

Rindu,
Tidakku tahu keperluanmu,
Bijak mencuri lakaran perasaanku,

Rindu,
Kesungguhan darimu,
Dalam meniti layar hatiku.
Membuai bagai ombak lalu,

Rindu,
Ku ingin tahu,
Adakah benar dikau pelengkap indah kenanganku,
atau,
dikau hanyalah bayangan luka gurisan kalbu?

Rindu.
kepastian tetap aku nanti,
Biarpun menanti di hujung hari.



Bisakah aku khabarkan kepadanya?

Wahai angin lalu, sudikah kau menolong aku?
Khabarkanlah rinduku kepadanya. 
Bisikkanlah rasa rindu yang teramat kasih sehingga bergetar seluruh tubuhnya.

Tahukah?

Hati ini telah menyimpan perasaan rindu yang sarat.
Ya, mungkin bumi beredar mengelilingi matahari, dan
bulan bertawaf di sekeliling bumi,
Beredarnya siang diganti dengan malam...
perubahan itu sama sekali tidak merubah rasa rindu ini.

Maniskah menanggung beban rindu?
atau terseksakah?
Untuk apakah?

Kadang-kadang aku termenung sendirian,
adakah ini yang dinamakan 'halawatul ukhuwah'?
Hati terasa sesak menanggung rindu,
Sehinggakan manik-manik jernih jatuh tanpa disedari,
pada mereka yang pernah hadir dalam hidupku,
yang pernah berjanji bersahabat sehingga ke syurgaNya,

Sesungguhnya diri ini teramat rindukan kalian!

Monday, 15 July 2013

Hikmah Berpuasa

Kajian sains dan ilmu moden berkenaan kelebihan puasa

1) "Perut ialah rumah penyakit dan puasa adalah raja segala ubat".

Para penyelidik ilmu perubatan telah membuktikan bahawa puasa dapat membuang toksik atau racun-racun dari badan dan meningkatkan sistem imunisasi tubuh dalam melawan penyakit serta meneyembuhkan penyakit yang membabitkan perut seterusnya dapat menajamkan minda kita. Dalm ilmu biologi, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenanga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Perut terlalu kenyang, akan melemahkan otak, malas berfikir dan cepat mengantuk.

2) Al-Harith seorang doktor arab mengatakan: "Yang banyak membunuh manusia adalah ekrana manusia suka memasukkan makanan pada perut sebelum makanan dalam perut dicerna".

3) Rasulullah saw bersabda : "Berpuasalah suapay kamu sihat". (Riwayat Abu Na'im).

4) Sabdanya lagi yang bermaksud "Puasa adalah pelindung (perisai dari api neraka)". (Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan an-Nasa')

Manfaat lapar untuk kesihatan hati

1) Adapaun manfaat laapr untuk kesihatan hati, para ulama telah menerangkannya : Luqman al-hakim menasihati anaknya ,

"Wahai anakku, apabila perut dipenuhi maknana, maka gelaplah fikiran, bisulah lidah dari menuturkan hikmah (kebijaksaan) dan malaslah segala anggota badan untuk beribadah".

2) Abdullah bin Mas'ud berkata, "Empat perkara yang menggelapkan hati atau melembapkan otak : perut yang terlalu kenyang, berkawan dengan orang yang suka membuat maksiat, tidak insaf terhadap dosa-dosa yang lalu dan panjang angan-angan".

3) Berkata al-Imam Ibnu Rajab rahimahullah : "Lpara itu menyebabkan lembutnya hati, kuatnya pemahaman, lembutnya jiwa, lemahnya nafsu dan kemarahan. Sedangkang kenyang menyebaban lawannya".

4) Beliau berkata : "Barangsiapa mampu menguasai perutnya maka dia akan mampu menguasai amal solehnya".

5) "Bukanlah puasa itu hanya sekadar menghentikan makan dan minum tetapi puasa itu ialah menghentikan cakap-cakap kosong dan kata-kata kotor".

(H.R. Ibnu Khuzaimah)


Tuesday, 9 July 2013

Marhaban Ya Ramadhan Kareem



Kak cik percaya, sahabat-sahabat di luar sana sudah tentu dah buat list apa ibadah-ibadah yang ingin kita persembahkan kepada Allah Ramadhan kali ini, bukan? Mesti tak sabar kan? Malah kak cik juga percaya kita sudah tentu berazam ingin buat yang terbaik malah lebih baik dari Ramadhan yang lepas. Tetapi, jom kita renung sebentar mengenai puasa Ramadhan. Nak beribadah harus ada ilmu juga. Bukan buat membuta tuli je kan. Harus tahu selok belok dalam berpuasa. Terutamanya niat, perkara yang membatalkan puasa dan sebagainya. 

Seperti dalam lirik lagu :

"aqidah dan ibadah harus sempurna
ibadah tanpa aqidah wawasan syaitan"

Sekilas Pandang Mengenai Puasa Ramadhan

Kenapa kita puasa?

"Entah, dari dulu lagi mak suruh puasa"

"Dah orang lain puasa, takkan kita tak puasa kot"

"Cikgu kata puasa tu wajib untuk orang Islam, kalau tak puasa berdosa besar"

Ya, kalau wajib mana dalilnya?


Jadi, siapa yang wajib berpuasa?

* Muslim
*Berakal
*Baligh
*Sihat dan mampu untuk berpuasa
* Menetap dan bukan bermusafir
*Suci dari haid dan nifas

Rukun puasa pula apa ya?

1) Niat

2) Menahan diri dari segala perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Jadi, apa pula perkara yang membatalkan puasa?

*Makan dan minum dengan sengaja.
*Muntah dengan sengaja.
*Keluar darah haid dan nifas.
*Mengeluarkan mani.
*Memasukkan bahan bukan makanan ke dalam perut melalui jalan biasa.
*Bersetubuh.
*Murtad.

Nak tambah pahala puasa? Jom sama-sama kita amalkan ibadah sunnah di bawah :

*Bersahur
*Melambatkan sahur
*Menyegerakan berbuka puasa.
*Berbuka dengan tamar atau air.
*Memberi makan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa.
*Berdoa ketika berpuasa dan sejurus selepas berbuka puasa.
*Solat sunat tarawih
*Menjauhkan perkara yang sia-sia
*Banyakkan bersedekah.
*Mempelajari dan mentadabbur al-Quran.
*Memperbanyakkan ibadan pada 10 malam terakhir.
*Beriktikaf di masjid pada 10 malam terakhir
*Berusaha untuk mendapatkan Lailatul Qadar

dan banyak lagi...


Tetapi, untuk kaum hawa, pasti akan lebih berduka cita jika sebelum Ramadhan lagi kita bersemangat planning perjalanan ibadah kita. Tetapi terbantut bilamana ditakdirkan Allah untuk tidak berpuasa. Usah bersedih. Bukankah kita tidak berpuasa kerana haid itu hukumnya wajib dan sudah tentu diberi ganjaran. Dan berpuasa ketika haid dan nifas itu haram hukumnya dan sudah tentu berdosa jika masih berdegil untuk melakukannya. Justeru, usah ditangisi haid itu.

dan akhir sekali, kak cik tinggalkan anda dengan lagu opick yang sentiasa evergreen ni.. :-)


Selamat menjalani ibadah puasa. :-)

Saturday, 29 June 2013

Ramadan by Maher Zain


You lift me up high
You spread my wingd
And fly me to the sky
I feel so alive
It's like my soul thrives in your light
But how I wish you'd be
Here with me all year around

Chorus :
Ramadan Ramadan
Ramadanu ya habib
(Ramadan, Ramadan, 
Ramadan O beloved)
Ramadan Ramadan
Laytaka dawman qareeb
(Ramadan, Ramadan,
How I wish you were always near)
Love is everywhere
Sp much peace fills up the air
Ramadan month of the Quran
I feel it inside of me, strengthening my Iman
But how I wish you'd be
Here with me all year around

Chorus :
I just love the way you make me feel
Everytime you come around you breath life into my soul
And I promise that
I'll try thriughout the year
To keep you sprit alive
In my heart it never dies 
Oh Ramadan!

اللهم بارك لنا في شعبان وبلّغنا رمضان

Sunday, 16 June 2013

Popia Goreng Iman


Bahan-bahan:

1 bungkus kulit popia
1/2 ketul daging ayam (bahagian dada)-dipotong dadu
1 ulas bawang besar (dipotong dadu)
2 batang daun bawang -dihiris
2 batang daun sup - dihiris
1/2 kobis (dipotong mancis)
1 batang lobak merah (dipotong mancis)
1 biji telur
3 sudu minyak masak
garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:

1. Panaskan kuali dan masukkan minyak masak.
2. Masukkan ayam yang telah dipotong dadu.
3. Setelah ayam masak, masukkan bawang besar, lobak merah, kobis, daun sup dan daun bawang.
4. Tidak dilupakan masukkan garam dan gula secukup rasa.
5. Apabila hampir kering, pecahkan telur. Gaul agak lama supaya hilang bau hanyir telur tersebut.

Setelah siap, bolehlah dibalut dengan kulit popia segera. Enak dimakan ketika panas.. :-)
Boleh dijadikan juadah untuk berbuka puasa nanti. ^_^

*Terima kasih kepada Nurul Iman di atas perkongsian resepi.. :-)

Saturday, 15 June 2013

Welcome to Campus Life


Assalamualaikum semua..Entre ini ditujukan khas untuk adik-adik yang sedang dan akan melalui minggu orientasi di kampus masing-masing. 

Adik-adik kena ingat, kampus tidak seperti sekolah. Dan anda sudah tentu sudah tentu matang dalam membuat keputusan yang terbaik untuk diri sendiri. Jadi, jangan berkelakuan seperti kanak-kanak sekolah yang tidak cukup umur lagi ya! ^_~.

Dulu, sebelum pergi ke sekolah, mungkin sarapan dah sedia terhidang di atas meja. Jika tidak sempat makan di rumah, mungkin diletakkan dalam tupperware untuk dimakan di waktu rehat nanti, tapi di universiti, semuanya harus di buat sendiri ! Makanan, pakaian, kemasan diri, semuanya di atas tanggungjawab sendiri. Malas membasuh baju, alamat pakai baju busuklah ke kuliah, malas keluar beli makanan, maka berlaparlah di dalam bilik. 

Satu perkara yang adik-adik harus ingat, di sini, kita kena pandai jaga diri. Di rumah mungkin ada ibu bapa yang menegur, itu salah, ini betul. Di sekolah pula ada guru-guru yang tak pernah jemu memberi nasihat dan bimbingan. Tetapi di universiti semuanya 'nafsi-nafsi' atau sendiri-sendiri. Apa yang kita belajar di sekolah, itulah yang menjadi bekalan diri di universiti nanti. Di rumah mak yang ingatkan kita dah solat atau belum. Di sekolah cikgu yang bimbing kita supaya menjaga akhlak. Di universiti? Nak solat? Malas solat? Nak keluar dating? Malas pergi kelas? Semuanya it's up to you lah dik!!!... Tak ada sapa kisah. Malah malas orang nak ambik kisah kerana takut di tengking dan dikatakan 'menjaga tepi kain orang'.

Sebab tu lah adik-adikku sayang, kita kena pandai pilih kawan. Kawan ketika senang usah dicari, sebab tiba-tiba dia akan datang sendiri. Tapi kawan ketika susah yang perlu kita cari, kerana ramai yang tak sudi. Bila di universiti, akan berjumpa dengan pelbagai ragam manusia kerana mereka datang dari pelbagai latar belakang. Ada yang OK, dan ada yang sebaliknya. Adik-adik dah besar panjang, pandai-pandailah pilih kawan. Tersalah pilih, kelak diri yang merana. 


Sebaris ayat yang kak cik ingat sehingga kini :

"Tidak salah menjadi terlalu baik, tapi letakkan seekor syaitan di dalam hati kamu agar timbul rasa was-was, berhati-hati dan sebagainya"(seekor je, jangan lebih)

Ya, sebagai orang yang berpendidikan, haruslah bermanfaat untuk orang lain. Rajin menolong kawan. Mana yang lambat bangun subuh tolong kejutkan. Kalau roomate sakit, tolong belikan ubat. Tetapi, awas! di awal perkenalan jangan terlalu meletakkan kepercayaan yang tinggi menggunung. Kerana tidak semua yang benar-benar ikhlas mahu berkawan dengan kita. Mungkin didampingi sentiasa sebab kita pandai. Mungkin kita diminati kerana kita cantik. Mungkin kita selalu diajak keluar bersama kerana kita anak orang berada. Justeru, seperti kata-kata di atas, letakkan 'sedikit' syak dalam diri kita. Syak di sini bermaksud kita berhati-hati dengan siapa kita berkawan. 

Sebelum melangkah ke alam universiti, kakak kak cik pernah berpesan,

''Di sana nanti hati-hati pilih kawan. Selalunya bila dah final year baru kita tahu siapa sebenarnya kawan kita. Siapa yang betul-betul kawan kita".

Macam mana nak tahu dia tu betul-betul nak kawan dengan kita ke tak?

Seperti kata-kata yang pernah diungkapkan oleh pensyarah kak cik di sini,

"Kita akan tahu warna kulit seseorang itu sama ada putih atau hitam apabila dia berada dalam keadaan letih dan lapar".

*********

Aurat... aurat... aurat... walaupun aurat wanita islam bersama wanita islam yang lain adalah antara pusat dan lutut, itu tidak bermakna adik-adik boleh pakai seluar dan bra sahaja ketika bersama roomate di dalam bilik. Tapi ingat dik, Islam datang bersama Iman dan Ihsan. Kita punya akhlak. Jadi, tidaklah salah kita berpakaian sopan. Menuntup apa yang patut. Bukankah sekarang ini banyak yang dapat kita lihat di dada-dada akbhar tentang perlakuan sumbang dan seks di luar tabi'i. Seperti yang kak cik cakap tadi, kita bakal berjumpa dengan orang yang datang dari pelbagai latar belakang. Di sana juga tidak mustahil akan terdapat mereka-mereka yang mempunyai nafsu songsang. Pandai-pandai jaga aurat ye.

Justeru, adik-adikku sayang, think wisely ketika melakukan sesuatu perkara..

Jaga Iman, Jaga Akhlak

Melangkah ke alam universiti bukan beerti yeay! Aku bebas.. percayalah, kita akan teramat rindukan kehidupan yang 'terkongkong' di alam persekolahan dahulu sehinggakan kerinduan itu kadangkala membuatkan dadamu sebak dan sesak. :-)

*Semangat masuk sem baru.
*Moga Allah permudahkan semuanya. Aminn

Wednesday, 12 June 2013

Triffle

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Hari ni jom kita belajar memasak pencuci mulut, Triffle.

Ok, strict to the point, bahan-bahannya ialah :

Sebiji kek gulung. (Tak kisah perisa apa, tapi best kalau perisa kopi / koko)
1 tin koktail buah-buahan.
3 sudu besar tepung kastard.
3 sudu besar gula.
2 1/2 cawan susu segar.
Satu kotak jeli. (It's up to you nak ambik perisa / warna apa. Cadangan produk : Nona)

Steps: 


Mula-mula potong kek lapis tu lebih kurang 3/4 inci. Susun di dalam bekas. Lebih cantik kalau bekas tu adalah lutsinar.


Susun tu jangan ada lubang-lubang. Biarkan penuh permukaan tu. Selepas itu, padatkan. Tekan dengan belakang sudu.. Supaya kek tu lebih mampat.


Kemudian, siramkan dengan air koktail tadi. Bagi rata-rata tau.. tinggalkan sedikit sahaja untuk dicampurkan dengan jeli nanti.


Lepas tu, boleh lah nak mula masak kastard dah. Tapi, kat sini kak cik masak kastard untuk 2 adunan, baru nampak banyak sikit dan lebih tebal bila dituang ke dalam acuan. Jadinya 6 sudu besar tepung kastard, 6 sudu besar gula, dan 5 cawan susu segar. Kacau je.Jangan tinggal. Sebab kastard ni mudah mendap di bawah. Nanti cepat hangus. Api dibuka perlahan. Kacau sehingga mendidih.


Seterusnya tuang ke dalam bekas tadi la. Ratakan di atas kek. Kena tuang cepat-cepat ya. Sebab kastard ni mudah beku.


Kemudian didihkan jeli. Macam mana nak masak, boleh tengok arahan di kotak. Pastikan campur sedikit air lebihan koktail tadi ya.


Sambil menunggu jeli mendidih, boleh potong buahan-buahan tin tadi. kemudian susun di atas kastard tadi.


Bila jeli dah mendidih, tuang ke dalam bekas. Penuhkan. Lepas tu, boleh la simpan dalam peti sejuk. Enak dimakan jika sejuk. 


Kenapa nama triffle? Sebab ia mempunyai tiga lapisan !

*Sedap ni kalau makan bila balik dari terawih Ramadhan nanti. :-p

Tuesday, 11 June 2013

How We Learn English



Tuesday, 28 May 2013

Dia Kekasih Allah

Malu rasanya mengatakan cinta
kepada dia kekasih Allah
kerana dia insan mulia
sedangkan diriku insan biasa

ku pujuk jua hati dan jiwa
Meluahkan rasa cinta membara
Di dalam pujian ucapkan selawat
Tanda penghargaan seorang umat

Selagi upaya ku turuti ajarannya
Apa terdaya ku amalkan sunnahnya
Moga di dunia mendapat berkat
di akhirat sana beroleh syafaat

Kerana peribadinya aku terpesona
Kerana budinya aku jatuh cinta
Rindu ku padanya tiada terkata
Nantikanlah daku di taman syurga

Sesungguhnya apa yang ku dambakan
Adalah cinta Allah yang Esa
Kerana cinta kepada Rasulullah
Beerti cinta kepada Allah

Munsyid : Hijjaz



Alahai Rokok

Rokok... seriously, jujurnya, kak cik benci orang yang merokok walaupun orang itu ada hubungan darah. Bukan membenci orang yang merokok, tetapi sikapnya yang suka merokok di hadapan umum. Hilang rasa hormat diri padanya. Tapi, sebab diri ini masih ada kewarasan aqal dah tahu menghormati orang yang lebih tua, kugagahkan diri untuk bersabar. 


Pernah suatu ketika berbual dengan sahabat-sahabat yang belajar di seberang laut: 

"Untunglah hampa, tiket bas murah je jika nak dibandingkan dengan tiket kapal terbang. Kejap je nak sampai rumah" 

 "Eh, untungnya satu je naik bas ni.. tiket murah. Yang tu je. Banyak kelebihan naik kapal terbang. 3 jam je nak sampai kedah dari sarawak jika nak dibandingkan 8 hingga 10 jam naik bas dari Terengganu. YANG PALING PENTING, kat airport, tak da orang merokok merata-rata. Tak ada orang nak hembuskan asap rokoknya di muka kita sesuka hati. Lain pula keadaannya di stesen bas. Nak makan, kena cari tempat atau meja yang jauh dari orang merokok (sebab kebiasaannya orang akan merokok selepas makan). Kalau kebetulan si perokok duduk di sebelah meja kita, kena tutup hidung sentiasa. Sesak nafaslah macam tu kalau asyik pekup hidung je ! "




Pernah jugak ketika berada di semester kedua, seorang pensyarah bertanya kepada setiap dari kami tentang ciri-ciri pasangan hidup idaman.. Jawapan yang kak cik bagi sangat ringkas.

kak cik : Saya nak bakal suami saya tu macam ayah saya.

Pensyarah : Ayah awak macam mana?

Kak cik : Ayah saya tak merokok.

Pensyarah : Lagi?

Kak cik : Ayah saya tak suka melepak di warung.

Pensyarah : Ooo.. jadi awak nak suami yang suka melepak di hotel-hotel atau restoran la?

Kak cik : Eh, tak. Maksud saya tak suka suami yang suka membuang masa dengan melepak di warung sambil bersembang kosong.

Ya, rata-rata kita tengok orang yang melepak sambil sembang-sembang kosong, pasti akan terselit sebantang rokok di celah jarinya. Dan, sungguh, terasa sedikit kesal jauh di sudut hati ini, apabila bersembang tentang agama, sampai menumbuk-numbuk meja tetapi mulut sibuk melepaskan asap rokok. Orang cakap "sembang je kencang... tapi...".....

wahai si perokok, walau siapa pun anda, tolonglah menghormati kami yang tidak merokok dengan tidak melakukan 'hobi' anda itu di hadapan kami. Diam kami tidak bermaksud kami bersetuju dengan aktiviti yang anda lakukan. 

Saturday, 25 May 2013

Cantiknya Raja Permaisuri Agong

Kebetulan lepas solat isya' malam tadi, buka TV sebentar. Tonton siaran langsung Citra Warna Malaysia. Camera zoom pada sepasang pasangan diraja ini. Mata terpaku sebentar. MasyaAllah.. Cantiknya sultanah Kedah a.k.a Raja Permaisuri Agong. Nampak macam bercahaya je muka. 

Berseri-seri !!!...


Sekeping dua gambar beliau hasil rembatan dari google.


Maniskan???


Setiap kali kak cik masuk ke dewan-dewan,pejabat-pejabat atau di mana-mana sahaja urusan rasmi diadakan, mata tertumpu pada barisan bingkai gambar individu-individu penting negara. Lalu, hati terdetik, bilakah gambar Raja Permaisuri Agong akan ditukar dengan gambar yang baru ???

Friday, 24 May 2013

Happy belated Teacher's Day 2013


SELAMAT HARI GURU ! ! !

Selamat hari guru buat ayahanda dan bonda tercinta. Selamat hari guru juga buat kakak dan abang-abang kerana menjadi role model untuk adik supaya turut berjaya seperti kalian. (Setiap kali tibanya hari konvokensyen, mak mesti ajak.. supaya lebih semangat untuk belajar katanya)

Tak lupa juga, buat guru-guru yang telah mendidik diri ini bermula dari Pusat Asuhan Tunas Islam Teluk Bagan, Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, Sekolah Rendah Islam Darul Aman, Maktab Mahmud Alor Setar, pensyarah-pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail, Kuala Terengganu. 

Terima kasih untuk segalanya. Semoga cikgu, ustaz, ustazah, miss, madam, sir, teacher (atau apa jua panggilan) sekeluarga senantiasa di bawah rahmat Allah. Amin. Doakan anakanda di sini supaya turut menjadi seorang 'guru' yang hebat seperti kalian juga suatu hari nanti.

Selamat Hari Guru juga pada teman-teman yang bakal menjadi guru. Kini anda yang meneruskan legasi mulia ini. :-). Teaching is not a profession but a passion. 

من أنا بدون أنتم

**Setiap kali tibanya sambutan ''yaum mu'allimin'' di sekolah, hati seronok tak terkata. Pertama sebab tak ada kelas. Kedua, boleh mendengar cikgu-cikgu nyanyi lagu 'kami guru Malaysia'. Sungguh, lagu itu memberi getaran yang luar biasa.

"1 Aspirasi 1 Agenda"

Wednesday, 15 May 2013

Mantan MB Kedah sentiasa di hati rakyat



KEDIAMAN

Rumah dua tingkat di tepi jalan itu, sekilas pandang tiada satu pun kelihatan istimewa. Tiada bezanya dengan rumah-rumah sebaris dengannya. Bawahnya batu, menempatkan ruang dapur dan tamu. Tingkat atasnya kayu, tempat sepasang suami isteri beradu dan berkumpulnya anak menantu jua cucu. Pekarangannya agak sempit, cukup-cukup memuatkan dua buah kereta. Di pagarnya tersidai dua karpet kecil dan sebatang mop lantai.

Sekelilingnya beberapa pokok sederhana besar ditanam, menghijaukan laman. Tiada kolam renang mahupun rekaan air terjun buatan yang melambangkan kemampuan penghuninya berbelanja besar, menghias kediaman.
Sesiapa yang lalu-lalang, baik pejalan kaki mahupun pengguna jalan raya, pasti terlepas pandang dek kerana tiadanya nilai estitika ataupun kemuncak kemewahan yang mampu menarik perhatian.

FOKUSKAN LENSA

Lebih-lebih lagi pelancong atau orang luar, jika tidak diberitahu, mereka lalu begitu sahaja tanpa merakamkan atau memfokuskan lensa ke arah rumah itu.

Namun, di situlah diamnya seorang pemimpin negeri. Di satu sudut rumah, seorang lelaki tanpa kaca mata, segak membetulkan songkok sejurus mengenakan kot cerah coklat dan mengikat tali leher merahnya.

Kemudian dia duduk seketika, sambil menghirup kopi, minuman kegemarannya. Pagi itu, dia tidak sempat bersarapan, seperti kelaziman hari-hari lain juga.

Jadualnya padat dan waktu yang singkat, adakala tidak upaya menjamah hidangan pagi. Itulah rutin yang dilaluinya, sejak hampir tiga tahun memikul amanah rakyat dan agama.

Sekali hirup, beliau merenung jauh. Kini tidak sama seperti dulu. Malah dia terasa kehilangan sesuatu iaitu tidak dapat melakukan perkara yang disukainya sejak dulu. Rupanya dia merindui untuk ke pasar secara sendirian membeli ikan dan bersembang panjang dengan masyarakat di warung kopi atau di kedai makan!

MENUNGGU ARAHAN

Lamunannya terhenti tatkala, seorang pengawal peribadi muda memaklumkan semuanya telah siap siaga menunggu arahan selanjutnya.

Di luar sana, kereta peronda bersama polis pengiring bermotosikal, sudah terpacak setia. Di tepi laman rumah dua buah kereta rasmi kerajaan, dua pemandu beserta empat pegawai lelaki kemas berpakaian kemeja lengan panjang berdiri di sisi pintu, menghormati dia, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak selaku Menteri Besar Kedah mendahului pergerakan semua.

Tepat jam 8.00 pagi itu, pasukan pengiringnya bersama pemimpin negeri itu bergerak ke satu lokasi,jauh di pendalaman di mana majlis besar dihadiri ribuan rakyat yang sudah menunggu tanpa jemu.

Di sana, rakyat sudah tidak sabar menantikan amanatnya. Gurau dan seloroh Menteri Besar mereka itu, seringkali mencuit hati. Tanpa laras bahasa yang sukar, menggunakan ayat-ayat bersahaja, beliau bijak dalam mencernakan dan mencanaikan ucapannya agar mudah difahami semua.

Baik isu ekonomi, sosial, agama, politik, pendidikan mahupun undang-undang, Ustaz Azizan tahu apa yang diperkatakan. Tidak sekadar membaca teks, beliau benar-benar faham apa yang diluahkan. Sesekali beliau menggunakan metafora, analogi dan contoh-contoh sekeliling, untuk mencantas atau menjelas letak duduknya sesuatu perkara.

"Saya ini umpama ketam batu. Sekali saya sepit ekor beruk, pasti menggelupur. Jangan cabar saya kembali ke perangai lama, nanti saya bongkar habis semua ...!"

Seusai berucap laungan takbir bergema dengan iringan tepukan gemuruh, menghangat suasana malam itu sewaktu berceramah di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut dengan disaksikan puluhan wartawan dan pengamal media dalam dan luar negara.

ACAH-ACAH LAWAN

Kehadiran 10,000 hadirin semata-mata mahu mendengar petikan dan amaran Ustaz Azizan yang tak mungkin dilupakan berhubung isu Adun Lompat beberapa bulan lalu, akibat diacah-acah lawan bagi mencalarkan imej bersih dan amanah yang galas beliau selama ini.

Itu cerita dan kehebatan Ustaz Azizan bersilat dalam gelanggang ceramah. Lain pula kisahnya ketika dia menggulung hujah dan menepis segala jurus-jurus lawan yang dihalakan kepadanya ketika Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah.

"Soalan itu seolah-olah menghina bidang kuasa Sultan. Tarik balik soalan itu!" kata seorang Adun Pembangkang daripada Barisan Nasional dengan penuh emosi berang.

Tanpa membuang masa, Azizan bangun mencelah: "Perkataan 'seolah-olah' bukanlah ayat yang jelas atau mempunyai bukti. Jika di mahkamah, perkataan ini tidak terpakai sama sekali".

Hujahnya tepat, menyiku lawan. Beliau sudah lama dan sebati dengan Dewan. Undang-undang dan peraturan mesyuarat, umpama 'zikir' di bibirnya. Dia yang paling lama sebagai Adun Pembangkang dan kini beralih kuasa di tangan, beliau memegang tampuk pemerintahan.

Bukan sembarangan Ustaz Azizan ini. Berwatak sederhana dan bersahaja. Anak kelahiran kampung Sungai Limau, yang diasah sopan, akhlak dan pendirian. Bijak berilmu sehingga melanjutkan pelajaran ke University Of Kent, Canterbury, United Kingdom, pengkhususan dalam bidang perlembagaan. Tak mudah lawan atau musuh menyerangnya bertubi-tubi kerana tajinya sangat tajam.

Tidak cukup dengan itu, pengikut dan anak muridnya terlalu ramai. Masakan tidak, beliau dulu adalah seorang tenaga pengajar di Maktab Mahmud, Ketua Jabatan Syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia, dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Tidaklah berhasrat menceritakan fakta-fakta, statistik atau angka-angka kejayaan pimpinan Ustaz Azizan ini berkaitan bab peningkatan hasil balak, pengurangan kadar jenayah, percambahan projek pertanian atau apa sahaja, kerana ia sudah terang lagi bersuluh. Risalah, berita, dokumentasi, rakaman dan cd-vcd sudah bercambah dan sentiasa memenuhi ruang galeri.

BANGUNKAN INSANIAH

Memadai diceritakan antara kejayaan Ustaz Azizan bersama kerajaan Pakatan Rakyat ini ialah berjaya membangunkan Kolej Universiti Insaniah dengan penambahan bangunan baru di Kuala Ketil dan peningkatan mata pelajaran yang ditawarkan.

Sebelum ini, selama 12 tahun di bawah kerajaan lama, hanya 7 subjek ditambah sedangkan di kala pemerintahannya selama dua tahun ini, sudah 42 subjek baru diperkenalkan.

Sebenarnya beliau bukan seorang pemimpin yang suka melakonkan watak atau berlakon di hadapan lensa malah cukup keberatan untuk dikutip kisah perjuangan sepanjang hayatnya. Dia pernah menolak diwawancara Harakah secara eksklusif Harakah, walaupun beliau amat sayang akan organ parti ini dan pernah memegang jawatan Pengarah Urusan Harakah.

Katanya kepada saya, ketika melaporkan diri sebagai Ketua Wartawan Harakah Negeri Kedah awal tahun ini, beliau lebih suka bersikap merendah diri dan kurang menggemari publisiti berbentuk sensasi.

"Takpalah...Azamin. Biar saya 'low profile' dan buat kerja-kerja macam biasa. Azamin buatlah kerja dan duduklah elok-elok di sini ya," katanya bernada rendah menyinggah hati nurani.

Dan sejak itu saya memerhati dari jauh dan mengekorinya tanpa disedari. Tidak pernah saya mendekatinya dengan lebih rapat lagi bimbang-bimbang disalah erti. Sehinggalah selepas tujuh purnama saya di sini, beliau buat pertama kalinya menjemput saya ke rumah. Berbual santai, sembang-sembang hal keluarga dan menitipkan luahan hatinya tentang pergolakan politik semasa.

Dulu bermacam-macam nista dipalit kepada Ustaz Azizan. Tidak mesra, tidak pandai ceramah, ego dan bengis kata mereka yang tidak puas hati dengan Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Adun Sungai Limau ini.

Namun setelah dua kali berbual mesra dan mengikuti segala aktiviti serta program beliau selama tujuh bulan ini, nyata tusukan dan cacian itu, tidak benar dan hanya fitnah semata.

AMAT TEGAS

Ini tidaklah bermakna, dikesampingkan warna sebenar, perwatakan beliau. Ustaz Azizan sememangnya seorang yang amat tegas terutama melibatkan tugasan dalam parti mahupun kerajaan negeri. Bekas pensyarah kehormat di Universiti Mindanao ini juga tidak suka kerja "cincai-bomcai".

Baginya semua 'perfect' dan 'zero-defect'. Tidak kurang kakitangan atau petugas parti yang menerima terjahan teguran dan kritikan daripadanya. Katanya setiap tindakan memberi kesan kepada agama dan perjuangan parti yang dibawa. Yang akan menerima tempias ialah, Islam dan PAS.

Betapa seriusnya Ustaz Azizan mentadbir parti sehingga adakalanya bermesyuarat sampai malam dan sesekali beliau mengejutkan para pegawainya yang sedang lena diulit mimpi, untuk berkumpul di rumahnya lewat tengah malam bagi membincangkan isu amat genting.

Pernah sekali, walaupun pintu tertutup rapat, saya mendengar beliau berang memarahi seseorang kerana kelemahan menyelesaikan tugas yang diberi. Gamam juga saya yang kemudian beransur beredar perlahan-lahan daripada pejabat Menteri Besar itu sebelum menambah lagi murka.

Akan tetapi ironinya, puncak kemarahannya hanya di bucu empat penjuru biliknya sahaja. Selepas melintasi ruang legar atau di luar bilik itu, beliau akan bersikap sediakala malah orang yang dimarahinya, boleh berbual dan makan semeja dengannya.

CUKUP BERANG

"Paling pantang, ada orang minta projek daripadanya. Dia juga cukup berang jika sesuatu itu harganya amat mahal dan tidak munasabah. Dia begitu teliti dan cerewet tentang duit," kata seorang kakitangan kerajaan negeri tentang sikap MB Kedah itu terhadap perbelanjaan dan peruntukan kewangan.

Selain itu beliau turut mengarahkan semua Exco Kerajaan negeri, melalui potongan gaji, menyumbang dana ke Tabung Tunku Mahmud, bagi tujuan kebajikan untuk rakyat Kedah.

Ya, memang tidak disangkal, Ustaz Azizan begitu cermat bila masuk bab wang kerajaan. Sikapnya itu sudah tidak menjadi rahsia lagi bahkan sebelum beliau bergelar Menteri Besar lagi. Malah tidak pernah campur adukkan antara wang kerajaan negeri dengan wang milik parti.

Apatah lagi dalam hal ehwal lantikan kuasa atau jawatan, Ustaz Azizan, bapa 14 orang anak ini tidak pernah menggunakan kuasa yang ada untuk menawarkan pekerjaan kepada anak-anaknya di pejabat kerajaan negeri sungguhpun diketahui ada antaranya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, kata satu sumber rapat dengan MB Kedah itu.

Ketika mula-mula mengangkat sumpah sebagai pemimpin negeri Mac 2008 yang lalu, rumahnya tidak mempunyai pagar. Kosong dan lapang begitu sahaja.

Namun atas nasihat Unit Perancang Ekonomi (UPEN) demi faktor keselamatan, Ustaz Azizan bersetuju dengan cadangan mereka supaya membina pagar rumah dan pondok pengawal. Bagaimanapun, beliau tidak mahu menggunakan peruntukan kerajaan negeri sebaliknya membina menggunakan duit sendiri.

Sejak dua tahun lebih menjadi MB, beliau tidak pernah ke luar negara walaupun pernah dijemput oleh gabenor jiran senegeri iaitu Thailand. Menjelang Ramadan ini, khabarnya kali pertama beliau mahu akan ke negara Timur Tengah, setelah lama mendiamkan diri melaksanakan tanggungjawabnya di sini.

Beliau sebenarnya tidak mahu, dianggap memoncah dalam berbelanja dan dilihat membuang masa serta bersuka ria ke sini sana lebih-lebih lagi ke luar negara. Hatta dalam berbelanja untuk kegunaan sendiri pun, Ustaz Azizan cukup sederhana dan bersikap berpada-pada.

HARGA KEMEJA MB

Bagi membeli pakaian, beliau akan ke sebuah kedai cina di Simpang Empat, Kangkong dan sebuah kedai di Pulau Pinang bagi membeli baju-baju kemeja yang diminatinya dan kedua buah kedai ini, merupakan kedai pakaian kegemarannya sejak dulu lagi.

Dan lebih mengujakan, ada antara kemeja-kemeja yang dibelinya di sini, yang dipakai ketika majlis rasmi ataupun sewaktu bertugas rata-ratanya sekitar RM19.00 sahaja!

Pernah pentadbiran kerajaan negeri berhasrat melupuskan atau menjual kenderaan rasmi Menteri Besar dua buah kereta Mercedes lama plat nombor KY12 dan KN 2000, akibat terlalu teruk kerosakannya namun dihalang Ustaz Azizan yang meminta dibaiki dan akhirnya dipakai semula oleh beliau sendiri.

Tidak cukup dengan itu, jika ada urusan rasmi di Kuala Lumpur atau ke mana sahaja di negara ini,beliau tidak pernah menaiki kapal terbang sebaliknya menggunakan jalan darat semata. Ustaz Azizan 'tahan' berjam-jam dalam kenderaan untuk ke lokasi yang jauh.

Kata juruiring dan pengawal peribadinya, beliau tidak akan singgah di sepanjang perjalanannya seperti dari Alor Setar ke Kuala Lumpur sehinggalah tiba ke destinasi yang dituju. Malah masa bertolak dan pulang tidak tentu masa, adakalanya tengah malam atau menjelang subuh.

Selain mengurangkan kos, beliau berasa selesa dan bergerak ke sini sana bertemu sesiapa sahaja menggunakan kereta. Cuma sesekali dijemput Tuanku Sultan Kedah untuk menaiki pesawat peribadi Boeing 737, beliau tidak upaya menolaknya.

HUBUNGAN DENGAN ISTANA

Bercerita pula hubungannya dengan istana, ustaz Azizan sememangnya terkenal dengan sikap hormatnya kepada Sultan dan institusi raja-raja. Kerana itulah, setiap hari Rabu, di awal pagi sebelum mesyuarat exco kerajaan negeri, beliau akan mengadap Sultan Kedah, untuk melaporkan perkembangan dan perjalanan urusan kerajaan.

Bukan itu sahaja, MB Kedah ini akan mengiringi Sultan Kedah di lapangan terbang sama ada ketika baginda bertolak mahupun pulang daripada luar negara. Biarpun sekadar 5 ke 10 minit cuma bersua dan mengiringi baginda, tanda hormat yang ditunjukkan kepada Sultan amat tinggi.

Lazimnya, para pemimpin negara atau negeri akan menginap di hotel mewah khususnya di Kuala Lumpur bagi urusan-urusan rasmi. Bukan seorang perbelanjaan yang ditanggung, malah melibatkan para pegawai, setiausaha, petugas, pemandu dan pegawal peribadi

Tidak seperti Ustaz Azizan, bagi mengelakkan pembaziran, beliau menyewa sebuah rumah tiga bilik di lokasi yang dirahsiakan di ibu kota untuk didiaminya bersama para petugas. Betapa cermatnya dan bayangkan apabila perbelanjaan menginap di hotel yang boleh mencecah RM80,000 sebulan dapat dijimatkan!

Menarik cerita MB Kedah ini ketika berada di rumah sewanya itu. Saya bertanya makanan kesukaan beliau dan kata pegawainya sekiranya lapar, lewat malam Ustaz Azizan meminta pegawainya membungkus Roti Arab kuah Dal atau seperti selalunya, hanya meminta mereka memasakkan mee segera untuknya!

Jika di Kedah pula, beliau suka hidangan gulai masam ikan dan ulam-ulaman disajikan. Dan tatkala melawat kawasan kampung di sekitar Kedah bagi tujuan rasmi ataupun tidak formal, masyarakat rata-ratanya sudah tahu makanan kegemaran beliau dan menghidangkannya setiap kali beliau menziarahi penduduk di situ.

Manakala kalau di rumah, sebelum waktu tidur jam 10 malam, Ustaz Azizan suka berbaring di sofa panjang sambil membaca buku-buku atau kitab-kitab tafsir. Itu hobinya sejak dulu lagi. Kadang-kadang asyik membaca, beliau boleh terlena di situ. Minatnya pada buku sukar disangkal. Presiden PAS Dato' Seri Hadi Awang juga, ada masa meminta Azizan menyemak buku tulisannya sebelum diterbitkan.

SAMPAI KULIAH

Jika berkesempatan, beliau meneruskan kesinambungan dakwah dengan menyampaikan kuliah yang selalunya diadakan di Kompleks PAS ataupun Kediaman Rasmi MB di Seri Mentaloon setiap Jumaat. Bukan sedikit pengikut atau yang minta mendengar kuliah yang disampaikan, dan ada masa bergilir dengan Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Haron Din.

Ya, beliau tidak mahu menetap di Seri Mentaloon yang gah laksana istana itu tetapi menjadikan bangunan luas itu untuk dimanfaatkan oleh rakyat bagi apa jua program pembangunan Insan ataupun majlis-majlis rasmi, tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Sikap Ustaz Azizan terhadap rakyat, kawan dan lawan sudah menjadi buah mulut orang. Mereka amat kenal gerak gaya dan perangai Menteri Besar mereka yang cukup mesra dan suka berseloroh. Beliau jarang menghampakan orang, bahkan tetamu yang menjengah ke rumah ataupun ke pejabatnya sama ada melalui temujanji ataupun yang datang secara spontan.

Saya sendiri pernah, menyaksikan serombongan 10 artis serta 40 krew produksi sebuah drama yang menjalankan penggambaran di Kedah diraikan oleh Azizan di Seri Mentaloon dengan jamuan makan tengah hari.

Biarpun rombongan itu terlewat satu jam sedangkan MB mempunyai acara di lokasi yang lain, Ustaz Azizan masih sabar menunggu dan melayan tetamu, membuat kebanyakannya malu tersipu. Bukti, pemimpin parti Islam ini sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja.

Selain itu, Ustaz Azizan sering mempamerkan keprihatinannya terhadap masalah dan kebajikan rakyat. Buktinya, sejurus selepas mengadap Sultan Kedah, beliau dengan lengkap berpakaian baju melayu bergegas ke tempat kejadian setelah dimaklumkan terdapat 14 buah kedai hangus terbakar di Sungai Limau sewaktu cuti Tahun Baru Cina tempoh hari.

Beliau tiba, ketika api sedang naik menjulang sambil memerhatikan bomba dan sukarelawan memadamkan kebakaran malah datang sekali lagi keesokan harinya bersama Tengku Bendahara Kedah, menyampaikan sumbangan derma kilat kepada mangsa.

Begitu juga dengan kejadian ribut kuat di Kuala Ketil yang melibatkan lebih 300 penduduk mengalami kerosakan kediaman, yang mana sehari selepas kejadian, Ustaz Azizan tiba awal dengan pasukan rombongannya menyampaikan sumbangan derma.

MATI RENTUNG

Ada satu kisah ketika, alam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur kerana urusan mesyuarat, beliau mendapat khabar sebuah keluarga Cina di Jitra yang kehilangan dua orang anaknya akibat mati rentung. Kisah menyayat hati itu, dilaporkan semua media. Beliau kemudian lantas ke tempat kejadian, tanpa pulang ke rumah terlebih dahulu.

Ustaz Azizan tiba menyampaikan sendiri bantuan dan duduk bersama kedua ibu bapa kanak-kanak tersebut sambil cuba mententeramkan kesedihan mereka tatkala jenazah keduanya masih berada dalam keranda dan belum dikebumikan.

Selain itu, jika tetamu yang hadir atau membuat kunjung hormat, Ustaz Azizan akan melayan dan meraikan mereka sehabis mungkin sehinggakan beliau meneliti terlebih dahulu menu makanan yang bakal dihidangkan supaya para tetamunya mendapat sambutan yang terbaik.

Jika tiada acara lain, beliau lebih suka makan di dalam pejabatnya bersama staf mahupun para pegawai, di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan dengan warga kerja di Wisma Darul Aman itu.

Bukan sedikit yang sudah bertandang ke pejabatnya, daripada beberapa Menteri Pusat, para kedutaan, korporat atau konglomerat, guru, pelajar, bomba dan aneka ragam sehinggalah makcik pakcik dari kampung. Semua teruja dan mahu bertemu pemimpin disegani ini.

Biarpun beberapa media adakalanya cuba menconteng arang, tetapi secara purata dan majoriti, ramai yang tidak termakan racun hasutan. Semua telah menjadi saksi kepala. Tinjaun rambang yang dibuat, semuanya amat menyukai corak pentadbiran Azizan dan jika kekal begini, maka berputih matalah, mereka yang berhasrat atau mahu merujuk kembali kuasa yang sudah lama berpisah dari diri.

Walaupun media melaporkan songsang, hakikatnya pengamal media arus perdana dan alternatif di Kedah, menganggap Ustaz Azizan seorang yang mesra media. Beliau amat kenal seorang demi seorang wartawan yang membuat liputan. Ingatannya tajam. Bukan itu, sahaja, Ustaz Azizan akan menjawab semua soalan yang ditujukan dengan pancungan hujahnya yang bernas.

PERANGKAP WARTAWAN

Tetapi awas, bagi sesiapa yang tidak bersedia atau cuba 'menggoreng' fakta, akan menerima padah daripadanya yang cukup arif selok belok perangkap wartawan. Ada masa bidasan jawapan cukup pedih sehingga wartawan begitu berhati-hati mengelak serkap jarang.

"Sekarang ini Kedah tak ada air, macamana Dato' Seri? tanya seorang wartawan arus perdana yang dilihat cuba-cuba memprovokasi beliau.

"Kamu ni mandi tak pagi tadi?" tanya Ustaz Azizan pantas, kemudian dijawab 'ya' oleh wartawan itu, bagi mengelak dirinya dikatakan tidak mandi atau berbau busuk.

"Kalau begitu, macamana kamu kata tak ada air. Kamu mengaji Universti mana? Kan sekarang ni musim kemarau dan seluruh negara ada masalah kekurangan air. Ini urusan Allah SWT, jadi kita mohonlah doa, supaya hujan," katanya membuat wartawan itu terdiam seribu bahasa.

Sebenarnya setiap kali, sidang media di pejabat Menteri Besar, seminggu sekali adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh pengamal media. Bukan setakat mendapatkan berita, tetapi lebih kepada kemesraan hubungan serta bergurau senda dengan Ustaz Azizan, yang menganggap para wartawan sebagai sebahagian daripada keluarganya.

JADI PENTERJEMAH

Jika sidang media dibuat dengan para duta atau diplomat asing, Ustaz Azizan lazimnya bertindak sebagai penterjemah dalam bahasa Inggeris dan membantu media menjelaskan jawapan.

Selain asakan fitnah lawan, beliau juga sering dilambakkan dengan segunung harapan oleh penyokong parti dan rakyat negeri supaya melakukan perubahan besar-besaran agar nampak hebat dan boleh dipandang semua, tetapi tidak pernah melatah. Beliau bukan seorang yang gopoh dalam mengatur langkah.

Kata seorang ustaz menjawat exco pemuda negeri, Ustaz Azizan bukan seorang yang 'ghairah' berceramah atau suka menunjuk aksi di sana sini, baik sebelum menjadi MB ataupun kini. Beliau sering mengutamakan jentera parti, memantapkan sistem dan pentadbiran kerajaan negeri.

RAMADAN

Ada kisah menarik perhatian saya, ketika dititipkan semula pegawai khas MB tentang satu usaha kejadian sabotaj yang dilakukan pihak lawan sekitar Ramadan tahun lalu.

Waktu itu, di masjid-masjid telah teredar ribuan risalah palsu yang menyatakan bahawa Ustaz Azizan selaku MB Kedah akan memberi sumbangan wang saku untuk Hari Raya kepada rakyat Kedah.

Esok paginya lebih 300 orang memenuhi pekarangan pejabat MB bagi menuntut apa yang dijanjikan seperti yang dicanang risalah palsu itu. Ustaz Azizan yang baru tiba ke pejabat, hairan dan terpinga dengan kehadiran orang ramai itu, lantas memanggil para pegawainya menjelaskan apa yang berlaku.

Anda tahu keputusannya? Jika dilihat perwatakannya yang bengis dan tegas itu, ramai boleh mengagak tindakan selanjutnya. Namun yang berlaku adalah sebaliknya!

Ustaz Azizan berasa simpati pula dengan orang ramai yang tertipu dengan risalah itu. Lebih menghibakan beliau, ada bersusah payah datang dari jauh, hulu kampung, semata-mata berharap dan bergantung ihsan sumbangan yang dihebahkan palsu itu.

Lantas beliau mengarahkan para pegawainya mengagihkan wang sebanyak RM50.00 seorang kepada semua yang hadir dan wang yang dikeluarkan itu datangnya daripada poketnya sendiri!

TERTIKAM MATA SENDIRI

Akhirnya permainan muslihat lawan, tertikam mata sendiri. Perbuatan keji yang diharapkan dapat menusuk dan mencincang imej Azizan atau nama busuk parti bertukar pujian melangit atas sifat pemurah pemimpin itu. Rupanya, kilasan dan serangan lawan melukakannya pun belum tentu!

Begitulah kehebatan seorang Azizan yang tiada duanya, yang mampu dinukilkan semoga bisa merungkai kekeliruan dan tuduhan tak bermata terhadapnya selama ini.


Oleh AZAMIN AMIN

**************************

Sejujurnya, kak cik tak kenal sangat Ustaz Azizan. Hanya mendengar orang-orang tua bercerita. Itupun terdengar. Bukan mahu mendengar. Kak cik ingat lagi, ketika berada di tingkatan tiga, pilihan raya umum 13, waktu itu kedah menjadi milik Parti Pembangkang.. Lantas, budak sekolah yang tidak cakna politik semasa dan tidak tahu apa-apa tentang politik ini diajak oleh mak dan ayah untuk pergi ke kompleks PAS di batu 9. Kata mak untuk mendengar ucapan pertama Menteri Besar Kedah yang baru. Waktu itu, kak cik tak pernah kenal siapa ustaz Azizan. Tak terbayang bagaimana rupa beliau. Tak tergambar mana satu beliau di antara barisan pimpinan PAS. Apabila sampai di lokasi, orang ramai tak terkira. Mungkin puluhan ribu orang. Laungan takbir terdengar di mana-mana. Kita yang berada dalam lautan manusia pun menjadi gerun semacam. Malam itulah buat pertama kalinya kak cik melihat susuk tubuh sebenar beliau. 

Kak cik teringat lagi, sehari selepas keputusan pilihan raya umum 12 diumumkan, kak cik menghadiri kelas tambahan di bandar. Ketika sedang menyiapkan latihan yang diberikan oleh cikgu, kak cik terdengar perbulan dua orang rakan di kerusi belakang.

"Agak-agak hampa menteri besar kita yang baru tu pandai cakap bahasa inggeris dak?"
"Urm... tak tau la... macam dak ja pun"..

Sungguh, diri ini terasa ingin menoleh ke belakang dan mencelah "Hampa ingat, orang pakai lebai kat kepala ni pandai cakap arab ja ka? Ustaz Azizan tu mengaji kat united kingdom lagi tau!"

Dan terkini, semua rakyat Kedah seakan rindu pimpinan beliau. Apabila buka facebook, sudah menjadi satu fenomena, semua anak Kedah menge-post di wall tentang beliau. Paling tidak berita terkini tentang kesihatan beliau. 

Ya, saya bangga mempunyai Menteri Besar seperti beliau seperti mana rakyat Kelantan berbangga dengan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. :-)