Thursday, 31 January 2013

Mengapa Allah menguji kita?

Apabila diuji dengan kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan... terdetiklah rasa , "Apakah Tuhan sayangkan aku?Kenapa aku diuji sebegini berat sekali?"

Kenali Tuhan yang mengujimu !

Tanpa kita sedari kita sudah mempersoalkan kuasa Tuhan, padahal kita hanyalah hambaNya. Hamba tidak berhak menyoal, sebaliknya akan disoal. Namun, itulah kelemahan manusia. Kita sering alpa dan terlupa.

Paling malang, manusia kerap terlupa dirinya hamba. Terutama ketika diuji. Sebab itu Allah mengajar kita kalimah 'istirja' setiap kali diuji. 

ان لله و إن اليه راجعون

"Kami milik Allah, kepadaNya kami akan dikembalikan"

Ya, inilah kalimah yang mengingatkan bahawa kita milik Tuhan, Tuhan layak menguji kita dan kita layak diuji. Jangan sesekali menolah apalagi 'mengamuk' apabila diuji. Kita hanya hamba...

Namun, untuk meringankan kepedihan ujian yang menimpa, hendak kita mengenal Allah yang memberi ujian itu, Kenallah sifat ilmu, kasih-sayang dan belas ihsan Allah yang Maha Hebat. Sebagai hamba ilmu kita terbatas, ilmu Allah yang Maha Luas. Kasih sayang kita cuma seraut, kasih sayang Allah selaut. Orang yang mengenal Allah, akan mencintaiNya. Bila sudah cinta, kuranglah derita diuji. Bukankah cinta itu buta?


Orang yang mengenal kasih sayang Allah punya keyakinan bahawa keputusan (takdir) Allah itu yang memberikan yang terbaik. Allah Maha Pengasih dan Penyayang, tidak memberi sesuatu yang buruk untuk hambaNya. Justeru, hamba yang baik tidak akan berburuk sangka terhadap Allah dengan merasakan apa yang ditakdirkanNya (ujian) itu ialah sesuatu yang tidak baik.

Yakinlah bahwa semua ketentuan Allah itu adalah baik. Ujian itu pasti ada kemuslihatan yang tersembunyi untuk setiap kita. Pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik, cuma kita tidak tahu atau belum mengetahuinya. Bila berlaku nanti, barulah kita tersedar, Ya Allah, mujur Kau takdirkan begitu. Kata arifbillah (orang yang mengenal Allah):

"Sekiranya kita merasakan kasih sayang Allah itu terpisah apabila Dia menguji kita, itu petanda tumpulnya akal, butanya mata hati"

Di antara hikmah ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan tujuannya untuk menjadi hamba Allah. Yang mana selama ini, jalan itu disekat oleh hawa nafsu. Sebab ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan nafsu dan syahwat manusia. Nafsu yang buas dan liar untuk melakukan maksiat itu tidak suka pada sakit, rugi, miskin dan lain-lain. Lalu apabila diuji, nafsu itulah yang terdesak, tidak sennag dan ingin segera terlepas daripada ujian itu.

Jadi, apabila nafsu terdesak, hati dan akal akan terbuka. Inilah jalan kebaikan, kerana ajakan untuk melakukan kejahatan akan turut tertahan, kerana nafsu itu sangat mengajak pada kejahatan. Ujian itu sesungguhnya akan melemahkan nafsu, menghilangkan kekuatannya serta batalkan kudratnya. Bila nafsu lemah, manusia tidak akan jatuh ke lembah disa - mengejar keseronokan dunia sehingga melupakan batasan syariat.

Ujian juga menimbulkan rasa taat kepada Allah. Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal. kerana Qada dan QadarNya mesti berlaku. Manusia akan lebih dekat dengan agama, kepentingan akhirat dan cinta kepada Allah. Hikmah ini walaupun sebesar zarah tetapi apabila emelkat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Inilah kebaikan di sebalik kepahitan ujian. Justeru Allah berfirman : 

".... Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu"
(Surah al-Baqarah : 216)

Ujian itu menghapuskan dosa dan kesalahan terhadap Allah seperti bahan pencuci membersihkan kain yang kotor. Nabi Isa pernah berkata, "Belum dikatakan seseorang itu kenal Allah, sebelum ia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya"

Bila kita benci dengan ujian, ertinya kita belum kenal Allah dan (kerana) ridak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dan membersihkan dosa-dosa kita. Ya, seolah-olah orang yang benci diuji itu tidak suka dibersihkan daripada dosa-dosa atau apakah dia merasa tidak berdosa? Sebaliknya apabila kita gembira (menerima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga daripada Allah. Kita bukan sahaja berikhtiar (berusaha) untuk menghilangnya tetapi juga berusaha untuk mendapatkan hikmahnya.

Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang dikehendaki Allah pada seseorang itu kebaikan, makan Allah akan cuba dengan ujianNya"

Jadi apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tiada hikmahnya. Orang-orang soleh bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah. Tapi bagi anti diuji, tidak akan dapat melihat hikmah kerana akal dan hatinya melihat sesuatu hanya selari dengan nafsunya sahaja.


Ingatan para hamba kepada Allah akan bertambah dengan ujianNya. Itu petanda Allah pilih dia untuk diuji. Dan bila diuji, bertambah pulalah ingatan hamba kepada Allah. Oleh itu, tiada jalan keluar melainkan tiga langkah ini apabila diuji L

1) Kuatkan Iman, pupuk kesabaran, mantapkan keyakinan menghadapi ujian itu dengan segera mendekatkan diri kepada Allah. 

2) Cuba serapkan rasa di dalam hati Kehendak (pilihan) Allah mengandungi hikmah yang baik jika diterima penuh keinsafan dan kesabaran.

3) Berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) hikmah. Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. 

Ya, Allah timpakan ujian yang besar, untuk 'membesarkan' kita. Ingat itu. Justeru, ahli yang bijaksana sering berkata... Pemimpin yang besar itu dikenali melalui ujian yang dihadapinya. Semakin besar tahap kepimpinannya, maka semakin besarlah ujian yang Tuhan sediakan untuk 'membesarkan' lagi pengaruh kepimpinannya.

Dan setiap kita adalah pemimpin. Sekurang-kurangnya pemimpin buat diri sendiri. Jadi, kita pasti diuji ! Justeru apabila diuji jangan katakan 

"Apakah aku tersisih?"

sebaliknya, katakan.

"Aku sudah terpilih!"

SUMBER : Ustaz Pahrol 


"Apabila kira redha atas sesuatu yang mengecewakan kita, maka percayalah Allah akan menggantikan kekecewaan itu dengan sesuatu yang tak dijangka"

Suka untuk kak cik kongsikan satu kata-kata tutor kak cik ketika kelas tutorial Ahad lepas :

"Anehnya orang beriman, apabila diuji dia bersabar, apabila diberi kesenangan dia bersyukur"

Duhai hati, bersabarlah dan terus melangkah!.... :-)

Wednesday, 16 January 2013

4 tahun lagi...Bersediakah Aku?

Hari ini Kak Cik ada kelas dengan pensyarah dari Jabatan Ilmu Pendidikan. Subjek Perkembangan Kanak-kanak. Kelas hari ini kami belajar tentang asal usul kejadian manusia dan perkembangan fizikal kanak-kanak sejak dari alam rahim lagi. Subhanallah. Maha suci Allah. Hebatnya Allah. Satu kelas terdiam saat puan sedang menayangkan slide-slide perkembangan janin dari usianya satu hari hingga menjadi bayi. Sungguh, kami terkesima. Takjub.

Seperti biasa, puan akan mengadakan selingan nasihat, mahupun kata-kata semangat agar ruh sebagai seorang bakal guru meresap dalam jiwa kami semua. 

"Kamu patut bersyukur kerana dipilih untuk dihormati"

Allah, sungguh mendalam maksud kata-katanya. Dipilih untuk dihormati. Bersyukur kerana dipilih oleh Allah untuk berada di dalam bidang ini seterusnya akan dipandang mulia oleh masyarakat sekeliling. Kak Cik terfikir jika disekolah dahulu, setiap kali tiba musim peperiksaan atau musim cuti persekolahan hampir tiba, setiap murid akan berpusu-pusu masuk ke dalam bilik guru untuk bersalam dengan para guru. Ya, bagi Kak Cik mereka layak dibuat demikian sebagai tanda hormat dan terima kasih daripada seorang anak murid kepada guru-gurunya lantaran telah menabur bakti. Namun, adakah diri ini juga layak untuk dilakukan sedemikian kelak? Layakkah diri ini dikucup tangan? Layakkah diri ini diminta restu? Allah, masih jauh lagi perjalananku.


Kak Cik teringat kata-kata mak sewaktu sedang mengisi borang ke IPG.

"Jadi cikgu ni tak rugi. Kita dapat dua-dua. Akhirat kita dapat. Dunia pun kita dapat. Bukankah menyebarkan ilmu bermanfaat tu dapat membantu kita di kubur nanti? Bila jadi cikgu ni, kita dah berada di landasan yang betul untuk menyebarkan ilmu apatah lagi adik akan jadi ustazah. Kalau kerja lain belum tentu lagi kia berkesempatan sebarkan ilmu".

Kata-kata yang sama diucapkan oleh pensyarah Jabatan Ilmu Pendidikan tadi. Bersyukur kerana dipilih untuk berada di jalan yang betul untuk menyebarkan ilmu yang bermanfaat.

Jika dipanjangkan umur, diberi nikmat kesihatan, insyaAllah, 4 tahun dari sekarang, Kak Cik dan sahabat-sahabat yang lain bakal bergelar seorang guru. Namun sudah bersediakah aku?

Sunday, 6 January 2013

Pilihlah untuk menjadi air

"Azimah, kalau dia jadi api, hampa jangan jadi api jugak. Jadilah air. Kerana air boleh memadamkan api. Air juga menyejukkan"

"Tapi, kalau terlalu kerap memilih untuk menjadi air, lama-lama boleh mencetuskan tsunami!"

Kak cik sedar, dalam berkawan dan bersahabat, kita perlu banyak bersabar. Setelah sekian lama menyulam ukhwah, mungkin inilah masanya Allah SWT ingin menguji sejauh mana kesetiaan seseorang sahabat itu. 

Demi menjaga ukhwah yang terjalin agar tidak putus, kadang-kadang kita perlu menjadi pihak yang mengalah. Biarlah kita yang makan hati. Biarlah kita yang terluka hati. Biarlah kita yang pilu hati. Kerana itu perasaan kita. Dan kita tahu untuk menanganinya. itu juga merupakan satu pengorbanan kerana bukan semua orang sanggup untuk mengalah. Dengan harapan, Allah melihat pengorbanan kita seterusnya membuka hati sahabat tersebut.


Allah...Allah...Allah... Pahitnya mujahadah.


Marah? Sedih? Mengadulah pada Allah. Dia sentiasa ada untuk mendengar segala luahan hatimu. Luahkan. Usah dipendam. Kelak akan merana diri.


Di sini juga, suka untuk kak cik kongsi kata-kata dari seorang ustazah kak cik di IPG, "Duka yang berpanjangan tidaklah menjanjikan apa-apa kebaikan kecuali lebih menyakitkan" .

Benar, rasa sakit itu usah disimpan. Rasionalkan fikiran. Ada hikmah disebalik apa yang terjadi. 

Semoga kita semua tergolong di dalam golongan yang mendapat naungan di hari di mana tidak terdapat sebarang naungan. Antara golongan tersebut ialah dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana mereka bertemu dan berpisah untuk mendapat keredhaanNya.


Wednesday, 2 January 2013

Untitle


Pagi kelihatan pucat hari ini,
Gerimis mulai menjelmakan diri,
Menandakan musim tengkujuh tiba lagi,
Mentari pula memilih menyembunyikan diri,
Di balik awan dinihari,

Aku termenung bersendiri,
Di sebalik jendela berjeriji,
Tekun menggoreskan mata pena ini,
Untuk melakarkan kata hati,
Yang tidak pernah berhenti,
Oh, perasaan apakah ini?

Aku sedar,
Itu semua mainan hati,
Jika diikutkan pasti merana diri,
Dan... Hidup ini mesti disyukuri,
Di atas nikmat yang telah diberi,
Oleh Ilahi Rabbul 'Izzati,

Ya Tuhan,
Ku tahu Kau Maha Mengasihi,
Kasihilah dan bantulah diri ini,
Untuk sentiasa tangguh di jalanMu.

Amin ya Rabb

Azimah Binti Abdul Ghani
2 Januari 2012
IPG KDRI, Kuala Terengganu.

Tuesday, 1 January 2013

Hadiah tahun baru !

Sempena tahun baru ini, kak cik ada satu hadiah untuk kalian. Tapi bukanlah material yang mahal harganya. Tapi, insyaAllah tinggi nilainya. Apa ya? Urm... kalau kak cik beri tahu jangan gelak ye. Hadiah yang kak cik maksudkan ialah kak cik ingin berkongsi tentang TEKNIK PENGURUSAN EMOSI

Hari ini kak cik menghadiri satu taklimat tentang Pengurusan Emosi dan Kauseling yang disampaikan oleh pengarah kaunseling di IPG. Ketika di dalam dewan lagi, kak cik tak sabar-sabar nak berkongsi tentang STRESS MANAGEMENT ni dengan korang semua. 

Pengurusan emosi? Dengar macam mudah. Tapi susah nak pratikkannya. Kenapa kita perlu urus emosi kita? Errr.. Maaf. Kak cik tak dapat beri jawapan yang tepat. Tapi kak cik boleh bagi contoh. Misalnya kita tidak mendapat apa yang kita inginkan. Rentetan daripada itu kita akan berasa kecewa dan seterusnya membawa kepada sifat kemurungan. Justeru, kalau kita tak pandai mengawal dan mengurus emosi yang kurang baik itu, ia akan menyusahkan diri sendiri dan orang lain juga!. Sebab itulah sangat penting untuk kita mengurus emosi diri sendiri. Kerana,seperti kata pegawai kaunseling tersebut :

"Sebagai seorang manusia yang normal, lazimnya jika emosi kita stabil, semua kerja yang dilakukan juga turut sempurna"
1) Menangguhkan kehendak

Sekiranya kita inginkan sesuatu tetapi tidak berlaku seperti yang kita harapkan, mungkin kehendak itu akan dikurniakan oleh Allah SWT suatu hari nanti. Jadi bersabarlah. Contohnya, pelajar zaman sekarang, ramai yang gatal nak berkahwin. Tetapi kita masih ada tanggungjawab yang perlu diutamakan iaitu belajar. Jadi, tangguhkan dulu kehendak tersebut. 

2) Redha

Individu yang menghadapi konflik akan menjadi lebih bertaqwa dengan mencari ketenangan daripada aspek keagamaan. Fitrah manusi, selalu mencari Tuhannya bila berada di dalam kesusahan. Hatta agama lain sekali pun, bila terasa diri dihimpit, mereka tetap mencari satu kuasa yang dapat melindungi mereka. Bagi kita orang islam, lazimnya, bila berada dalam kesusahan, kita mencari Allah (walaupun ketika senang selalu lupa Allah). Malah, jika ketika itu ketika melakukan solat, mungkin itu solat kita yang paling kusyuk. Itu belajar redha di atas apa yang telah berlaku, sentiasa percaya bahawa setiap daripada itu pasti ada hikmahnya.

3) Rasionalkan pemikiran

Setiap yang berlaku pastinya itulah yang terbaik untuk kita mengikut percaturan dari yang Maha Mengetahui.  Dalam bahasa mudahkan, sentiasa husnu zhon atau bersangka baik kepada Allah. 


4)Sublimasi

Sublimasi bermaksud kita menggantikan kegagalan dengan alternatif lain. Contohnya, ada orang sedih kerana permohonannya ke IPT tidak berjaya. Akan tetapi, dia berjaya untuk meneruskan pengajian di IPG. Jadi, kenapa sedih-sedih? Allah telah beri pilihan kedua. Pilihkan IPG. Mungkin itu yang terbaik!

5)Meluahkan emosi kendiri dalam bentuk tulisan.

Teknik ini yang paling kak cik suka dan paling kak cik setuju. Suka juga untuk kak cik ulang semula petikan saudara Hafizul Faiz dalam bukunya yang pertama (Travelog Budak Mentah) :

"Bagi saya, tempat luahan terbaik ialah mereka yang tidak berlisan dan bersuara. Tiada emosi macam manusia. Tidak seperti manusia. Iaitu menulis. Dan menulis ialah mekanisme untuk luahkan terus kepada Allah SWT. Kita tahu, Allah SWT boleh membaca tulisan kita, hati kita dan segala-galanya."

Kadang-kadang kita tak mampu nak berkongsi masalah dengan kita. Atau mungkin tak ada orang yang sudi menjadi pendengar setia. Jadi, meluahkan di atas kertas adalah penyelesaian. Kalau takut orang jumpa dan baca, bakarlah kertas tersebut !

6) Terapi

Terapi juga boleh mengendurkan kembali perasaan yang tegang. Contohnya untuk orang Islam, terapi yang paling mujarab ialah al-Quran. Bacalah ia, jika tidak mampu, dengarlah alunan kalamuLLah. 

7) Bersyukur

Dalam ketujuh-tujuh point, point ini paling penting. Kerana dengan syukur akan hadir perasaan redha, akan hadir perasaan bersangka baik kepada tuhan. Jika dinilai semula, kesemua point ini saling berkaitan antara satu sama lain.

Justeru kawan-kawan. Belajarlah untuk menguruskan emosi sendiri supaya segala kerja terlaksana dengan sempurna... Err..sungguh, kak cik tak pandai nak hurai panjang lebar. Terasa seperti entre ni tergantung pula... Moga bermanfaat ya.

*Selamat tahun baru. Moga tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya.
*Jangan lupa buat azam baru, dan renew azam tahun lepas yang belum terlaksan.
*Jaga akhlak, jaga iman, jaga hati.