Wednesday, 16 January 2013

4 tahun lagi...Bersediakah Aku?

Hari ini Kak Cik ada kelas dengan pensyarah dari Jabatan Ilmu Pendidikan. Subjek Perkembangan Kanak-kanak. Kelas hari ini kami belajar tentang asal usul kejadian manusia dan perkembangan fizikal kanak-kanak sejak dari alam rahim lagi. Subhanallah. Maha suci Allah. Hebatnya Allah. Satu kelas terdiam saat puan sedang menayangkan slide-slide perkembangan janin dari usianya satu hari hingga menjadi bayi. Sungguh, kami terkesima. Takjub.

Seperti biasa, puan akan mengadakan selingan nasihat, mahupun kata-kata semangat agar ruh sebagai seorang bakal guru meresap dalam jiwa kami semua. 

"Kamu patut bersyukur kerana dipilih untuk dihormati"

Allah, sungguh mendalam maksud kata-katanya. Dipilih untuk dihormati. Bersyukur kerana dipilih oleh Allah untuk berada di dalam bidang ini seterusnya akan dipandang mulia oleh masyarakat sekeliling. Kak Cik terfikir jika disekolah dahulu, setiap kali tiba musim peperiksaan atau musim cuti persekolahan hampir tiba, setiap murid akan berpusu-pusu masuk ke dalam bilik guru untuk bersalam dengan para guru. Ya, bagi Kak Cik mereka layak dibuat demikian sebagai tanda hormat dan terima kasih daripada seorang anak murid kepada guru-gurunya lantaran telah menabur bakti. Namun, adakah diri ini juga layak untuk dilakukan sedemikian kelak? Layakkah diri ini dikucup tangan? Layakkah diri ini diminta restu? Allah, masih jauh lagi perjalananku.


Kak Cik teringat kata-kata mak sewaktu sedang mengisi borang ke IPG.

"Jadi cikgu ni tak rugi. Kita dapat dua-dua. Akhirat kita dapat. Dunia pun kita dapat. Bukankah menyebarkan ilmu bermanfaat tu dapat membantu kita di kubur nanti? Bila jadi cikgu ni, kita dah berada di landasan yang betul untuk menyebarkan ilmu apatah lagi adik akan jadi ustazah. Kalau kerja lain belum tentu lagi kia berkesempatan sebarkan ilmu".

Kata-kata yang sama diucapkan oleh pensyarah Jabatan Ilmu Pendidikan tadi. Bersyukur kerana dipilih untuk berada di jalan yang betul untuk menyebarkan ilmu yang bermanfaat.

Jika dipanjangkan umur, diberi nikmat kesihatan, insyaAllah, 4 tahun dari sekarang, Kak Cik dan sahabat-sahabat yang lain bakal bergelar seorang guru. Namun sudah bersediakah aku?

No comments:

Post a Comment