Tuesday, 1 January 2013

Hadiah tahun baru !

Sempena tahun baru ini, kak cik ada satu hadiah untuk kalian. Tapi bukanlah material yang mahal harganya. Tapi, insyaAllah tinggi nilainya. Apa ya? Urm... kalau kak cik beri tahu jangan gelak ye. Hadiah yang kak cik maksudkan ialah kak cik ingin berkongsi tentang TEKNIK PENGURUSAN EMOSI

Hari ini kak cik menghadiri satu taklimat tentang Pengurusan Emosi dan Kauseling yang disampaikan oleh pengarah kaunseling di IPG. Ketika di dalam dewan lagi, kak cik tak sabar-sabar nak berkongsi tentang STRESS MANAGEMENT ni dengan korang semua. 

Pengurusan emosi? Dengar macam mudah. Tapi susah nak pratikkannya. Kenapa kita perlu urus emosi kita? Errr.. Maaf. Kak cik tak dapat beri jawapan yang tepat. Tapi kak cik boleh bagi contoh. Misalnya kita tidak mendapat apa yang kita inginkan. Rentetan daripada itu kita akan berasa kecewa dan seterusnya membawa kepada sifat kemurungan. Justeru, kalau kita tak pandai mengawal dan mengurus emosi yang kurang baik itu, ia akan menyusahkan diri sendiri dan orang lain juga!. Sebab itulah sangat penting untuk kita mengurus emosi diri sendiri. Kerana,seperti kata pegawai kaunseling tersebut :

"Sebagai seorang manusia yang normal, lazimnya jika emosi kita stabil, semua kerja yang dilakukan juga turut sempurna"
1) Menangguhkan kehendak

Sekiranya kita inginkan sesuatu tetapi tidak berlaku seperti yang kita harapkan, mungkin kehendak itu akan dikurniakan oleh Allah SWT suatu hari nanti. Jadi bersabarlah. Contohnya, pelajar zaman sekarang, ramai yang gatal nak berkahwin. Tetapi kita masih ada tanggungjawab yang perlu diutamakan iaitu belajar. Jadi, tangguhkan dulu kehendak tersebut. 

2) Redha

Individu yang menghadapi konflik akan menjadi lebih bertaqwa dengan mencari ketenangan daripada aspek keagamaan. Fitrah manusi, selalu mencari Tuhannya bila berada di dalam kesusahan. Hatta agama lain sekali pun, bila terasa diri dihimpit, mereka tetap mencari satu kuasa yang dapat melindungi mereka. Bagi kita orang islam, lazimnya, bila berada dalam kesusahan, kita mencari Allah (walaupun ketika senang selalu lupa Allah). Malah, jika ketika itu ketika melakukan solat, mungkin itu solat kita yang paling kusyuk. Itu belajar redha di atas apa yang telah berlaku, sentiasa percaya bahawa setiap daripada itu pasti ada hikmahnya.

3) Rasionalkan pemikiran

Setiap yang berlaku pastinya itulah yang terbaik untuk kita mengikut percaturan dari yang Maha Mengetahui.  Dalam bahasa mudahkan, sentiasa husnu zhon atau bersangka baik kepada Allah. 


4)Sublimasi

Sublimasi bermaksud kita menggantikan kegagalan dengan alternatif lain. Contohnya, ada orang sedih kerana permohonannya ke IPT tidak berjaya. Akan tetapi, dia berjaya untuk meneruskan pengajian di IPG. Jadi, kenapa sedih-sedih? Allah telah beri pilihan kedua. Pilihkan IPG. Mungkin itu yang terbaik!

5)Meluahkan emosi kendiri dalam bentuk tulisan.

Teknik ini yang paling kak cik suka dan paling kak cik setuju. Suka juga untuk kak cik ulang semula petikan saudara Hafizul Faiz dalam bukunya yang pertama (Travelog Budak Mentah) :

"Bagi saya, tempat luahan terbaik ialah mereka yang tidak berlisan dan bersuara. Tiada emosi macam manusia. Tidak seperti manusia. Iaitu menulis. Dan menulis ialah mekanisme untuk luahkan terus kepada Allah SWT. Kita tahu, Allah SWT boleh membaca tulisan kita, hati kita dan segala-galanya."

Kadang-kadang kita tak mampu nak berkongsi masalah dengan kita. Atau mungkin tak ada orang yang sudi menjadi pendengar setia. Jadi, meluahkan di atas kertas adalah penyelesaian. Kalau takut orang jumpa dan baca, bakarlah kertas tersebut !

6) Terapi

Terapi juga boleh mengendurkan kembali perasaan yang tegang. Contohnya untuk orang Islam, terapi yang paling mujarab ialah al-Quran. Bacalah ia, jika tidak mampu, dengarlah alunan kalamuLLah. 

7) Bersyukur

Dalam ketujuh-tujuh point, point ini paling penting. Kerana dengan syukur akan hadir perasaan redha, akan hadir perasaan bersangka baik kepada tuhan. Jika dinilai semula, kesemua point ini saling berkaitan antara satu sama lain.

Justeru kawan-kawan. Belajarlah untuk menguruskan emosi sendiri supaya segala kerja terlaksana dengan sempurna... Err..sungguh, kak cik tak pandai nak hurai panjang lebar. Terasa seperti entre ni tergantung pula... Moga bermanfaat ya.

*Selamat tahun baru. Moga tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya.
*Jangan lupa buat azam baru, dan renew azam tahun lepas yang belum terlaksan.
*Jaga akhlak, jaga iman, jaga hati.

No comments:

Post a Comment