Monday, 15 April 2013

Pengalaman Berasaskan Sekolah 1

Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) atau Rancangan Orentasi Sekolah (ROS), memang wajib dilaksanakan oleh guru-guru pelatih IPG, bermula dari semester 1 hingga semester 4. Jadi, 4 kali lah kami kena berPBS atau berROS. Setiap kali PBS / ROS, kami perlu berada di sekolah selama seminggu. PBS atau ROS ni tak sama dengan praktikum. PBS kami tak perlu mengajar (kecuali diminta untuk berbuat demikian) tetapi praktikum kami perlu dan mesti mengajar. PBS kami boleh pilih sekolah di kampung sendiri, tetapi praktikum kami mesti pergi ke sekolah yang telah ditetapkan oleh unit praktikum di IPG. Tujuan PBS ni adalah tak lain tak bukan untuk mendedahkan kepada para guru pelatih suasana sekolah yang sebenar ketika telah menjadi guru kelak. Apa yang dipelajari hanyalah teori, tetapi praktikalnya ketika kita betul-betul berada di tempat itu.

Mendengar cerita-cerita pengalaman dari senior, membuatkan kak cik teruja nak ke sekolah walaupun di dalam hati ni berdebar sangat-sangat. Hatta dah masuk ke pintu pagar sekolah sekali pun. 

Oh ya, disebabkan PBS kami diberi peluang untuk memilih sekolah sesuka hati, jadi, mestilah kak cik pilih sekolah yang dekat dengan rumah kan. Boleh bercuti lama sikit di kampung. Maklumlah, kak cik anak perantau yang merantau nun jauh di Timur sana. Hehe.

Sekolah yang kak cik pilih adalah SK Tebengau, Alor Setar, Kedah Darul Aman. Sekolah ni dicadangkan oleh mak sebab dekat dengan rumah dan ayah pernah menjadi pendidik di sekolah ni selama lebih kurang 21 Tahun lebih (menurut cerita-cerita guru di situ). Sekolah ni sangat menyenangkan permandangannya. Dikelilingi sawah padi dan jika naik ke tingkat empat, kita dapat melihat pantai !

Jadinya, tanggal 31 Mac 2013, tepat jam 7.15 pagi, kak cik menjejakkan kaki di SK Tebengau. Berdebar. Gemuruh. Agak takut nak ke sekolah ni kerana selain membawa nama IPG KDRI, kak cik juga membawa nama sebagai anak salah seorang bekas pendidik yang telah berbakti di sini. Dan sudah tentu mereka akan memerhati, meneliti dan mengamati tingkah laku kita. Semestinya !

Hari pertama di sekolah, di sepanjang koridor, letih menjawab salam dari murid-murid. ''Assalamualaikum ustazah!". "Assalamualaikum cikgu!".. Paling kurang "Hai kakak!". Huhu.. sungguh comel anak-anak ini.


Selepas melaporkan diri, 'punch in', dan berkenalan dengan Penolong Kanan-Penolong Kanan, kak cik dan dua orang lagi rakan berjalan-jalan melawat bangunan sekolah. Pergi ke bilik guru. Berkenalan dengan guru-guru. Sungguh, kak cik tak peramah. Tapi... alahai.. sporting cikgu-cikgu di sini. 


1.4.2013 a.k.a hari kedua berPBS. Kami menyertai perhimpunan bersama adik-adik. Selepas perhimpunan kami berpeluang masuk ke kelas tahun 1 bersama-sama guru pendidikan Islam. Kebetulan, di dalam tugasan yang perlu disiapkan, kami perlu mengkaji tentang kaedah yang digunakan guru-guru pendidikan Islam ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah. 

Selepas murid menjawab salam dan membaca doa, semua duduk. Kak cik memilih untuk berada di belakang. Dua orang lagi sahabat kak cik memilih untuk berada di kanan dan kiri kelas. Pertama kali masuk ke kelas, melihat sendiri bagaimana guru mengajar., seriously berderau darah ni. MasyaAllah. SubhanaLLah. Kuatnya suara ustazah ni. Jelas. Lantang. Satu kelas boleh dengar dengan jelas. Dan mungkin jugak kelas sebelah!. Bijak mengawal kelas. Matanya cepat menangkap apa yang dilakukan oleh murid. Seolah-olah mata bukan sahaja berada di hadapan, tetapi di kiri, kanan, depan dan belakang. Tika itu, kak cik terfikir, mampukah kak cik melontarkan suara selantang dan sejelas itu? Padahal seringkali diri ini ditegur oleh mak kerana bercakap perlahan. :-(

Hari ketiga, 2.4.2013, kami diberi berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman mengajar di dalam kelas. Jadinya, ustazah meminta kami mengajar tajuk tanda sukun untuk murid tahun 1 untuk kelas yang sama semalam. Makanya, tidak tidurlah kami semalam dek kerana menyiapkan Bahan Bantu Mengajar (BBM) dan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) di samping pening kepala memilih baju apa yang perlu di pakai ! Penampilan seorang guru di hadapan murid itu penting OK!!


 Kad huruf yang dilipat-lipat kemudian diletakkan di dalam tupperware. Konon-kononnya seperti permainan kotak beracun.

 Tanda sukun kecil dan tanda sukun besar.

 Kad imbasan perkataan-perkataan yang mengandungi tanda sukun.

Ganjaran untuk murid. Coklat. Untuk guru pelatih yang masih mentah dah tak pandai kawal kelas, ini penting untuk menarik perhatian murid ! :-p 

Memandangkan kami perlu mengajar tajuk tanda sukun, makanya kami memilih buah sukun sebagai set induksi kami. Disebabkan di rumah tidak ada printer, jadi kak cik melukis sendiri buah sukun. 

Masuk ke kelas.. Allah.. Berdebar dari hari-hari sebelum ni. Ada seorang guru pembimbing dan seorang guru j-QAF yang memerhati dari belakang. Kononnya sedang di'observe' oleh pensyarah!.. But, Alhamdulillah. Semuanya berjalan dengan lancar. Tetapi ada satu part yang kelakar dan kak cik selalu tersenyum sendirian tatkala mengimbau kembali kenangan ini. 

Ketika mengadakan aktiviti set induksi, kami menampal gambar buah sukun di papan hitam. 

"Ini buah apa murid-murid? Cuba teka?"... Bagi kak cik buah sukun merupakan buah yang agak tradisional. Tak semua orang kenal. Akan tetapi, kebanyakkan dari murid tinggal di kampung. Mereka mesti kenal pokok dan buah sukun!. Akan tetapi, jawapan yang sebaliknya pula yang diterima.

"Buah cempedak ustazah!"

Huhu, bila diamati kembali lukisan yang dilukis, ya, ada iras-iras buah cempedak . Maaflah anak-anak. ustazah tak pandai melukis. :-p

Hari keempat, 3.4.2013. Ketika berada di perhimpunan pagi, kak cik berjalan di antara barisan murid-murid. Tiba-tiba terasa ada seseorang sedang menarik baju. Menoleh ke belakang. Senyum. Kak cik membongkokkan sedikit badan...

"Ya, ada apa cheq?" 
"Ustazah nama azimah ka?"
"Ya, kenapa?'
"Saya pun nama azimah jugak"

*Cheq, kata ganti diri orang kedah yang selalu digunakan untuk bercakap dengan orang tua. Tampak lebih sopan. Akan tetapi, selalu juga digunakan oleh orang tua untuk membahasakan diri orang muda kalau tak tahu nama / tak kenal lagi... Err.. faham ke tak ni? 

Azimah junior.

Hari ni hari yang paling sibuk bagi kami. Sebab perlu menemu ramah lebih kurang 10 orang individu tentang perkembangan bahasa dan sosio-emosi kanak-kanak. Penat naik turun mencari individu yang perlu ditemu buah. :-).

Antara yang kami perlu temu bual adalah 2 orang murid tahun 3. Dan, kami dicadangkan untuk menemu buah dua orang adik yang comel ni. :-)
 Adik Akmal dan Adik Hannan.

4.4.2013 a.k.a last day at SK Tebengau. Baru nak terbit rasa sayang. Baru nak kenal dan mesra dengan cikgu-cikgu. kini perpisahan pula yang terjadi. T_T. Sebelum 'punch out' kami ronda-ronda satu sekolah lagi. tangkap gambar sana sini. Apa yang menariknya, terdapat banyak sangat kata-kata hikmah. Bila berjalan pasti mendongak ke atas, memandang kiri dan kanan untuk membaca kata-kata hikmah tersebut. Banyak juga kata-kata hikmah yang tak pernah dengar pun sebelum ni.


Selepas punch out, kami turun ke bawah menuju ke bilik guru kerana niat di hati untuk bersalaman dengan guru-guru di sana buat kali terakhir. Akan tetapi, belum sempat kaki melangkah masuk ke bilik guru, berpusu-pusu malah beratur panjang untuk bersalaman dengan kami bertiga. Mungkin kebetulan waktu pulang sekolah. Tapi, bila difikirkan kembali, kami ni dah amalkan amalan guru penyayang kan? Hehe.. Bukan senang tau nak habiskan satu barisan yang panjang. Lenguh mulut senyum.

10 murid pertama yang salam boleh lagi cakap menggunakan ayat penuh "Jalan elok-elok tau"... tapi, lama kelamaan perkataan 'elok-elok' dah jadi 'leklok'. Haha.

**

**Di kesempatan ini, kak cik dan sahabat-sahabat ingin merakamkan sejuta penghargaan buat warga SK Tebengau dari tukang kebun, taukeh kantin, mak cik yang selalu bancuh air milo dan teh ais untuk kami, cikgu-cikgu yang memberikan kerjasama untuk ditemu ramah dan bersedia berkongsi segala bagai maklumat, guru-guru penolong kanan, dan yang terakhir sekali guru besar di atas layanan tip top yang diberikan.

**Seronoknya berPBS di kedah. Rasa puas sangat dapat bercakap dalam loghat negeri sendiri tanpa perlu sembunyi-sembunyi dan cover-cover lagi. ^_^.








Sebelum mengundur diri, kak cik tinggalkan satu teka teki. Selamat menjawab!


No comments:

Post a Comment