Tuesday, 28 May 2013

Dia Kekasih Allah

Malu rasanya mengatakan cinta
kepada dia kekasih Allah
kerana dia insan mulia
sedangkan diriku insan biasa

ku pujuk jua hati dan jiwa
Meluahkan rasa cinta membara
Di dalam pujian ucapkan selawat
Tanda penghargaan seorang umat

Selagi upaya ku turuti ajarannya
Apa terdaya ku amalkan sunnahnya
Moga di dunia mendapat berkat
di akhirat sana beroleh syafaat

Kerana peribadinya aku terpesona
Kerana budinya aku jatuh cinta
Rindu ku padanya tiada terkata
Nantikanlah daku di taman syurga

Sesungguhnya apa yang ku dambakan
Adalah cinta Allah yang Esa
Kerana cinta kepada Rasulullah
Beerti cinta kepada Allah

Munsyid : Hijjaz



Alahai Rokok

Rokok... seriously, jujurnya, kak cik benci orang yang merokok walaupun orang itu ada hubungan darah. Bukan membenci orang yang merokok, tetapi sikapnya yang suka merokok di hadapan umum. Hilang rasa hormat diri padanya. Tapi, sebab diri ini masih ada kewarasan aqal dah tahu menghormati orang yang lebih tua, kugagahkan diri untuk bersabar. 


Pernah suatu ketika berbual dengan sahabat-sahabat yang belajar di seberang laut: 

"Untunglah hampa, tiket bas murah je jika nak dibandingkan dengan tiket kapal terbang. Kejap je nak sampai rumah" 

 "Eh, untungnya satu je naik bas ni.. tiket murah. Yang tu je. Banyak kelebihan naik kapal terbang. 3 jam je nak sampai kedah dari sarawak jika nak dibandingkan 8 hingga 10 jam naik bas dari Terengganu. YANG PALING PENTING, kat airport, tak da orang merokok merata-rata. Tak ada orang nak hembuskan asap rokoknya di muka kita sesuka hati. Lain pula keadaannya di stesen bas. Nak makan, kena cari tempat atau meja yang jauh dari orang merokok (sebab kebiasaannya orang akan merokok selepas makan). Kalau kebetulan si perokok duduk di sebelah meja kita, kena tutup hidung sentiasa. Sesak nafaslah macam tu kalau asyik pekup hidung je ! "




Pernah jugak ketika berada di semester kedua, seorang pensyarah bertanya kepada setiap dari kami tentang ciri-ciri pasangan hidup idaman.. Jawapan yang kak cik bagi sangat ringkas.

kak cik : Saya nak bakal suami saya tu macam ayah saya.

Pensyarah : Ayah awak macam mana?

Kak cik : Ayah saya tak merokok.

Pensyarah : Lagi?

Kak cik : Ayah saya tak suka melepak di warung.

Pensyarah : Ooo.. jadi awak nak suami yang suka melepak di hotel-hotel atau restoran la?

Kak cik : Eh, tak. Maksud saya tak suka suami yang suka membuang masa dengan melepak di warung sambil bersembang kosong.

Ya, rata-rata kita tengok orang yang melepak sambil sembang-sembang kosong, pasti akan terselit sebantang rokok di celah jarinya. Dan, sungguh, terasa sedikit kesal jauh di sudut hati ini, apabila bersembang tentang agama, sampai menumbuk-numbuk meja tetapi mulut sibuk melepaskan asap rokok. Orang cakap "sembang je kencang... tapi...".....

wahai si perokok, walau siapa pun anda, tolonglah menghormati kami yang tidak merokok dengan tidak melakukan 'hobi' anda itu di hadapan kami. Diam kami tidak bermaksud kami bersetuju dengan aktiviti yang anda lakukan. 

Saturday, 25 May 2013

Cantiknya Raja Permaisuri Agong

Kebetulan lepas solat isya' malam tadi, buka TV sebentar. Tonton siaran langsung Citra Warna Malaysia. Camera zoom pada sepasang pasangan diraja ini. Mata terpaku sebentar. MasyaAllah.. Cantiknya sultanah Kedah a.k.a Raja Permaisuri Agong. Nampak macam bercahaya je muka. 

Berseri-seri !!!...


Sekeping dua gambar beliau hasil rembatan dari google.


Maniskan???


Setiap kali kak cik masuk ke dewan-dewan,pejabat-pejabat atau di mana-mana sahaja urusan rasmi diadakan, mata tertumpu pada barisan bingkai gambar individu-individu penting negara. Lalu, hati terdetik, bilakah gambar Raja Permaisuri Agong akan ditukar dengan gambar yang baru ???

Friday, 24 May 2013

Happy belated Teacher's Day 2013


SELAMAT HARI GURU ! ! !

Selamat hari guru buat ayahanda dan bonda tercinta. Selamat hari guru juga buat kakak dan abang-abang kerana menjadi role model untuk adik supaya turut berjaya seperti kalian. (Setiap kali tibanya hari konvokensyen, mak mesti ajak.. supaya lebih semangat untuk belajar katanya)

Tak lupa juga, buat guru-guru yang telah mendidik diri ini bermula dari Pusat Asuhan Tunas Islam Teluk Bagan, Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, Sekolah Rendah Islam Darul Aman, Maktab Mahmud Alor Setar, pensyarah-pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail, Kuala Terengganu. 

Terima kasih untuk segalanya. Semoga cikgu, ustaz, ustazah, miss, madam, sir, teacher (atau apa jua panggilan) sekeluarga senantiasa di bawah rahmat Allah. Amin. Doakan anakanda di sini supaya turut menjadi seorang 'guru' yang hebat seperti kalian juga suatu hari nanti.

Selamat Hari Guru juga pada teman-teman yang bakal menjadi guru. Kini anda yang meneruskan legasi mulia ini. :-). Teaching is not a profession but a passion. 

من أنا بدون أنتم

**Setiap kali tibanya sambutan ''yaum mu'allimin'' di sekolah, hati seronok tak terkata. Pertama sebab tak ada kelas. Kedua, boleh mendengar cikgu-cikgu nyanyi lagu 'kami guru Malaysia'. Sungguh, lagu itu memberi getaran yang luar biasa.

"1 Aspirasi 1 Agenda"

Wednesday, 15 May 2013

Mantan MB Kedah sentiasa di hati rakyat



KEDIAMAN

Rumah dua tingkat di tepi jalan itu, sekilas pandang tiada satu pun kelihatan istimewa. Tiada bezanya dengan rumah-rumah sebaris dengannya. Bawahnya batu, menempatkan ruang dapur dan tamu. Tingkat atasnya kayu, tempat sepasang suami isteri beradu dan berkumpulnya anak menantu jua cucu. Pekarangannya agak sempit, cukup-cukup memuatkan dua buah kereta. Di pagarnya tersidai dua karpet kecil dan sebatang mop lantai.

Sekelilingnya beberapa pokok sederhana besar ditanam, menghijaukan laman. Tiada kolam renang mahupun rekaan air terjun buatan yang melambangkan kemampuan penghuninya berbelanja besar, menghias kediaman.
Sesiapa yang lalu-lalang, baik pejalan kaki mahupun pengguna jalan raya, pasti terlepas pandang dek kerana tiadanya nilai estitika ataupun kemuncak kemewahan yang mampu menarik perhatian.

FOKUSKAN LENSA

Lebih-lebih lagi pelancong atau orang luar, jika tidak diberitahu, mereka lalu begitu sahaja tanpa merakamkan atau memfokuskan lensa ke arah rumah itu.

Namun, di situlah diamnya seorang pemimpin negeri. Di satu sudut rumah, seorang lelaki tanpa kaca mata, segak membetulkan songkok sejurus mengenakan kot cerah coklat dan mengikat tali leher merahnya.

Kemudian dia duduk seketika, sambil menghirup kopi, minuman kegemarannya. Pagi itu, dia tidak sempat bersarapan, seperti kelaziman hari-hari lain juga.

Jadualnya padat dan waktu yang singkat, adakala tidak upaya menjamah hidangan pagi. Itulah rutin yang dilaluinya, sejak hampir tiga tahun memikul amanah rakyat dan agama.

Sekali hirup, beliau merenung jauh. Kini tidak sama seperti dulu. Malah dia terasa kehilangan sesuatu iaitu tidak dapat melakukan perkara yang disukainya sejak dulu. Rupanya dia merindui untuk ke pasar secara sendirian membeli ikan dan bersembang panjang dengan masyarakat di warung kopi atau di kedai makan!

MENUNGGU ARAHAN

Lamunannya terhenti tatkala, seorang pengawal peribadi muda memaklumkan semuanya telah siap siaga menunggu arahan selanjutnya.

Di luar sana, kereta peronda bersama polis pengiring bermotosikal, sudah terpacak setia. Di tepi laman rumah dua buah kereta rasmi kerajaan, dua pemandu beserta empat pegawai lelaki kemas berpakaian kemeja lengan panjang berdiri di sisi pintu, menghormati dia, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak selaku Menteri Besar Kedah mendahului pergerakan semua.

Tepat jam 8.00 pagi itu, pasukan pengiringnya bersama pemimpin negeri itu bergerak ke satu lokasi,jauh di pendalaman di mana majlis besar dihadiri ribuan rakyat yang sudah menunggu tanpa jemu.

Di sana, rakyat sudah tidak sabar menantikan amanatnya. Gurau dan seloroh Menteri Besar mereka itu, seringkali mencuit hati. Tanpa laras bahasa yang sukar, menggunakan ayat-ayat bersahaja, beliau bijak dalam mencernakan dan mencanaikan ucapannya agar mudah difahami semua.

Baik isu ekonomi, sosial, agama, politik, pendidikan mahupun undang-undang, Ustaz Azizan tahu apa yang diperkatakan. Tidak sekadar membaca teks, beliau benar-benar faham apa yang diluahkan. Sesekali beliau menggunakan metafora, analogi dan contoh-contoh sekeliling, untuk mencantas atau menjelas letak duduknya sesuatu perkara.

"Saya ini umpama ketam batu. Sekali saya sepit ekor beruk, pasti menggelupur. Jangan cabar saya kembali ke perangai lama, nanti saya bongkar habis semua ...!"

Seusai berucap laungan takbir bergema dengan iringan tepukan gemuruh, menghangat suasana malam itu sewaktu berceramah di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut dengan disaksikan puluhan wartawan dan pengamal media dalam dan luar negara.

ACAH-ACAH LAWAN

Kehadiran 10,000 hadirin semata-mata mahu mendengar petikan dan amaran Ustaz Azizan yang tak mungkin dilupakan berhubung isu Adun Lompat beberapa bulan lalu, akibat diacah-acah lawan bagi mencalarkan imej bersih dan amanah yang galas beliau selama ini.

Itu cerita dan kehebatan Ustaz Azizan bersilat dalam gelanggang ceramah. Lain pula kisahnya ketika dia menggulung hujah dan menepis segala jurus-jurus lawan yang dihalakan kepadanya ketika Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah.

"Soalan itu seolah-olah menghina bidang kuasa Sultan. Tarik balik soalan itu!" kata seorang Adun Pembangkang daripada Barisan Nasional dengan penuh emosi berang.

Tanpa membuang masa, Azizan bangun mencelah: "Perkataan 'seolah-olah' bukanlah ayat yang jelas atau mempunyai bukti. Jika di mahkamah, perkataan ini tidak terpakai sama sekali".

Hujahnya tepat, menyiku lawan. Beliau sudah lama dan sebati dengan Dewan. Undang-undang dan peraturan mesyuarat, umpama 'zikir' di bibirnya. Dia yang paling lama sebagai Adun Pembangkang dan kini beralih kuasa di tangan, beliau memegang tampuk pemerintahan.

Bukan sembarangan Ustaz Azizan ini. Berwatak sederhana dan bersahaja. Anak kelahiran kampung Sungai Limau, yang diasah sopan, akhlak dan pendirian. Bijak berilmu sehingga melanjutkan pelajaran ke University Of Kent, Canterbury, United Kingdom, pengkhususan dalam bidang perlembagaan. Tak mudah lawan atau musuh menyerangnya bertubi-tubi kerana tajinya sangat tajam.

Tidak cukup dengan itu, pengikut dan anak muridnya terlalu ramai. Masakan tidak, beliau dulu adalah seorang tenaga pengajar di Maktab Mahmud, Ketua Jabatan Syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia, dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Tidaklah berhasrat menceritakan fakta-fakta, statistik atau angka-angka kejayaan pimpinan Ustaz Azizan ini berkaitan bab peningkatan hasil balak, pengurangan kadar jenayah, percambahan projek pertanian atau apa sahaja, kerana ia sudah terang lagi bersuluh. Risalah, berita, dokumentasi, rakaman dan cd-vcd sudah bercambah dan sentiasa memenuhi ruang galeri.

BANGUNKAN INSANIAH

Memadai diceritakan antara kejayaan Ustaz Azizan bersama kerajaan Pakatan Rakyat ini ialah berjaya membangunkan Kolej Universiti Insaniah dengan penambahan bangunan baru di Kuala Ketil dan peningkatan mata pelajaran yang ditawarkan.

Sebelum ini, selama 12 tahun di bawah kerajaan lama, hanya 7 subjek ditambah sedangkan di kala pemerintahannya selama dua tahun ini, sudah 42 subjek baru diperkenalkan.

Sebenarnya beliau bukan seorang pemimpin yang suka melakonkan watak atau berlakon di hadapan lensa malah cukup keberatan untuk dikutip kisah perjuangan sepanjang hayatnya. Dia pernah menolak diwawancara Harakah secara eksklusif Harakah, walaupun beliau amat sayang akan organ parti ini dan pernah memegang jawatan Pengarah Urusan Harakah.

Katanya kepada saya, ketika melaporkan diri sebagai Ketua Wartawan Harakah Negeri Kedah awal tahun ini, beliau lebih suka bersikap merendah diri dan kurang menggemari publisiti berbentuk sensasi.

"Takpalah...Azamin. Biar saya 'low profile' dan buat kerja-kerja macam biasa. Azamin buatlah kerja dan duduklah elok-elok di sini ya," katanya bernada rendah menyinggah hati nurani.

Dan sejak itu saya memerhati dari jauh dan mengekorinya tanpa disedari. Tidak pernah saya mendekatinya dengan lebih rapat lagi bimbang-bimbang disalah erti. Sehinggalah selepas tujuh purnama saya di sini, beliau buat pertama kalinya menjemput saya ke rumah. Berbual santai, sembang-sembang hal keluarga dan menitipkan luahan hatinya tentang pergolakan politik semasa.

Dulu bermacam-macam nista dipalit kepada Ustaz Azizan. Tidak mesra, tidak pandai ceramah, ego dan bengis kata mereka yang tidak puas hati dengan Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Adun Sungai Limau ini.

Namun setelah dua kali berbual mesra dan mengikuti segala aktiviti serta program beliau selama tujuh bulan ini, nyata tusukan dan cacian itu, tidak benar dan hanya fitnah semata.

AMAT TEGAS

Ini tidaklah bermakna, dikesampingkan warna sebenar, perwatakan beliau. Ustaz Azizan sememangnya seorang yang amat tegas terutama melibatkan tugasan dalam parti mahupun kerajaan negeri. Bekas pensyarah kehormat di Universiti Mindanao ini juga tidak suka kerja "cincai-bomcai".

Baginya semua 'perfect' dan 'zero-defect'. Tidak kurang kakitangan atau petugas parti yang menerima terjahan teguran dan kritikan daripadanya. Katanya setiap tindakan memberi kesan kepada agama dan perjuangan parti yang dibawa. Yang akan menerima tempias ialah, Islam dan PAS.

Betapa seriusnya Ustaz Azizan mentadbir parti sehingga adakalanya bermesyuarat sampai malam dan sesekali beliau mengejutkan para pegawainya yang sedang lena diulit mimpi, untuk berkumpul di rumahnya lewat tengah malam bagi membincangkan isu amat genting.

Pernah sekali, walaupun pintu tertutup rapat, saya mendengar beliau berang memarahi seseorang kerana kelemahan menyelesaikan tugas yang diberi. Gamam juga saya yang kemudian beransur beredar perlahan-lahan daripada pejabat Menteri Besar itu sebelum menambah lagi murka.

Akan tetapi ironinya, puncak kemarahannya hanya di bucu empat penjuru biliknya sahaja. Selepas melintasi ruang legar atau di luar bilik itu, beliau akan bersikap sediakala malah orang yang dimarahinya, boleh berbual dan makan semeja dengannya.

CUKUP BERANG

"Paling pantang, ada orang minta projek daripadanya. Dia juga cukup berang jika sesuatu itu harganya amat mahal dan tidak munasabah. Dia begitu teliti dan cerewet tentang duit," kata seorang kakitangan kerajaan negeri tentang sikap MB Kedah itu terhadap perbelanjaan dan peruntukan kewangan.

Selain itu beliau turut mengarahkan semua Exco Kerajaan negeri, melalui potongan gaji, menyumbang dana ke Tabung Tunku Mahmud, bagi tujuan kebajikan untuk rakyat Kedah.

Ya, memang tidak disangkal, Ustaz Azizan begitu cermat bila masuk bab wang kerajaan. Sikapnya itu sudah tidak menjadi rahsia lagi bahkan sebelum beliau bergelar Menteri Besar lagi. Malah tidak pernah campur adukkan antara wang kerajaan negeri dengan wang milik parti.

Apatah lagi dalam hal ehwal lantikan kuasa atau jawatan, Ustaz Azizan, bapa 14 orang anak ini tidak pernah menggunakan kuasa yang ada untuk menawarkan pekerjaan kepada anak-anaknya di pejabat kerajaan negeri sungguhpun diketahui ada antaranya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, kata satu sumber rapat dengan MB Kedah itu.

Ketika mula-mula mengangkat sumpah sebagai pemimpin negeri Mac 2008 yang lalu, rumahnya tidak mempunyai pagar. Kosong dan lapang begitu sahaja.

Namun atas nasihat Unit Perancang Ekonomi (UPEN) demi faktor keselamatan, Ustaz Azizan bersetuju dengan cadangan mereka supaya membina pagar rumah dan pondok pengawal. Bagaimanapun, beliau tidak mahu menggunakan peruntukan kerajaan negeri sebaliknya membina menggunakan duit sendiri.

Sejak dua tahun lebih menjadi MB, beliau tidak pernah ke luar negara walaupun pernah dijemput oleh gabenor jiran senegeri iaitu Thailand. Menjelang Ramadan ini, khabarnya kali pertama beliau mahu akan ke negara Timur Tengah, setelah lama mendiamkan diri melaksanakan tanggungjawabnya di sini.

Beliau sebenarnya tidak mahu, dianggap memoncah dalam berbelanja dan dilihat membuang masa serta bersuka ria ke sini sana lebih-lebih lagi ke luar negara. Hatta dalam berbelanja untuk kegunaan sendiri pun, Ustaz Azizan cukup sederhana dan bersikap berpada-pada.

HARGA KEMEJA MB

Bagi membeli pakaian, beliau akan ke sebuah kedai cina di Simpang Empat, Kangkong dan sebuah kedai di Pulau Pinang bagi membeli baju-baju kemeja yang diminatinya dan kedua buah kedai ini, merupakan kedai pakaian kegemarannya sejak dulu lagi.

Dan lebih mengujakan, ada antara kemeja-kemeja yang dibelinya di sini, yang dipakai ketika majlis rasmi ataupun sewaktu bertugas rata-ratanya sekitar RM19.00 sahaja!

Pernah pentadbiran kerajaan negeri berhasrat melupuskan atau menjual kenderaan rasmi Menteri Besar dua buah kereta Mercedes lama plat nombor KY12 dan KN 2000, akibat terlalu teruk kerosakannya namun dihalang Ustaz Azizan yang meminta dibaiki dan akhirnya dipakai semula oleh beliau sendiri.

Tidak cukup dengan itu, jika ada urusan rasmi di Kuala Lumpur atau ke mana sahaja di negara ini,beliau tidak pernah menaiki kapal terbang sebaliknya menggunakan jalan darat semata. Ustaz Azizan 'tahan' berjam-jam dalam kenderaan untuk ke lokasi yang jauh.

Kata juruiring dan pengawal peribadinya, beliau tidak akan singgah di sepanjang perjalanannya seperti dari Alor Setar ke Kuala Lumpur sehinggalah tiba ke destinasi yang dituju. Malah masa bertolak dan pulang tidak tentu masa, adakalanya tengah malam atau menjelang subuh.

Selain mengurangkan kos, beliau berasa selesa dan bergerak ke sini sana bertemu sesiapa sahaja menggunakan kereta. Cuma sesekali dijemput Tuanku Sultan Kedah untuk menaiki pesawat peribadi Boeing 737, beliau tidak upaya menolaknya.

HUBUNGAN DENGAN ISTANA

Bercerita pula hubungannya dengan istana, ustaz Azizan sememangnya terkenal dengan sikap hormatnya kepada Sultan dan institusi raja-raja. Kerana itulah, setiap hari Rabu, di awal pagi sebelum mesyuarat exco kerajaan negeri, beliau akan mengadap Sultan Kedah, untuk melaporkan perkembangan dan perjalanan urusan kerajaan.

Bukan itu sahaja, MB Kedah ini akan mengiringi Sultan Kedah di lapangan terbang sama ada ketika baginda bertolak mahupun pulang daripada luar negara. Biarpun sekadar 5 ke 10 minit cuma bersua dan mengiringi baginda, tanda hormat yang ditunjukkan kepada Sultan amat tinggi.

Lazimnya, para pemimpin negara atau negeri akan menginap di hotel mewah khususnya di Kuala Lumpur bagi urusan-urusan rasmi. Bukan seorang perbelanjaan yang ditanggung, malah melibatkan para pegawai, setiausaha, petugas, pemandu dan pegawal peribadi

Tidak seperti Ustaz Azizan, bagi mengelakkan pembaziran, beliau menyewa sebuah rumah tiga bilik di lokasi yang dirahsiakan di ibu kota untuk didiaminya bersama para petugas. Betapa cermatnya dan bayangkan apabila perbelanjaan menginap di hotel yang boleh mencecah RM80,000 sebulan dapat dijimatkan!

Menarik cerita MB Kedah ini ketika berada di rumah sewanya itu. Saya bertanya makanan kesukaan beliau dan kata pegawainya sekiranya lapar, lewat malam Ustaz Azizan meminta pegawainya membungkus Roti Arab kuah Dal atau seperti selalunya, hanya meminta mereka memasakkan mee segera untuknya!

Jika di Kedah pula, beliau suka hidangan gulai masam ikan dan ulam-ulaman disajikan. Dan tatkala melawat kawasan kampung di sekitar Kedah bagi tujuan rasmi ataupun tidak formal, masyarakat rata-ratanya sudah tahu makanan kegemaran beliau dan menghidangkannya setiap kali beliau menziarahi penduduk di situ.

Manakala kalau di rumah, sebelum waktu tidur jam 10 malam, Ustaz Azizan suka berbaring di sofa panjang sambil membaca buku-buku atau kitab-kitab tafsir. Itu hobinya sejak dulu lagi. Kadang-kadang asyik membaca, beliau boleh terlena di situ. Minatnya pada buku sukar disangkal. Presiden PAS Dato' Seri Hadi Awang juga, ada masa meminta Azizan menyemak buku tulisannya sebelum diterbitkan.

SAMPAI KULIAH

Jika berkesempatan, beliau meneruskan kesinambungan dakwah dengan menyampaikan kuliah yang selalunya diadakan di Kompleks PAS ataupun Kediaman Rasmi MB di Seri Mentaloon setiap Jumaat. Bukan sedikit pengikut atau yang minta mendengar kuliah yang disampaikan, dan ada masa bergilir dengan Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Haron Din.

Ya, beliau tidak mahu menetap di Seri Mentaloon yang gah laksana istana itu tetapi menjadikan bangunan luas itu untuk dimanfaatkan oleh rakyat bagi apa jua program pembangunan Insan ataupun majlis-majlis rasmi, tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Sikap Ustaz Azizan terhadap rakyat, kawan dan lawan sudah menjadi buah mulut orang. Mereka amat kenal gerak gaya dan perangai Menteri Besar mereka yang cukup mesra dan suka berseloroh. Beliau jarang menghampakan orang, bahkan tetamu yang menjengah ke rumah ataupun ke pejabatnya sama ada melalui temujanji ataupun yang datang secara spontan.

Saya sendiri pernah, menyaksikan serombongan 10 artis serta 40 krew produksi sebuah drama yang menjalankan penggambaran di Kedah diraikan oleh Azizan di Seri Mentaloon dengan jamuan makan tengah hari.

Biarpun rombongan itu terlewat satu jam sedangkan MB mempunyai acara di lokasi yang lain, Ustaz Azizan masih sabar menunggu dan melayan tetamu, membuat kebanyakannya malu tersipu. Bukti, pemimpin parti Islam ini sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja.

Selain itu, Ustaz Azizan sering mempamerkan keprihatinannya terhadap masalah dan kebajikan rakyat. Buktinya, sejurus selepas mengadap Sultan Kedah, beliau dengan lengkap berpakaian baju melayu bergegas ke tempat kejadian setelah dimaklumkan terdapat 14 buah kedai hangus terbakar di Sungai Limau sewaktu cuti Tahun Baru Cina tempoh hari.

Beliau tiba, ketika api sedang naik menjulang sambil memerhatikan bomba dan sukarelawan memadamkan kebakaran malah datang sekali lagi keesokan harinya bersama Tengku Bendahara Kedah, menyampaikan sumbangan derma kilat kepada mangsa.

Begitu juga dengan kejadian ribut kuat di Kuala Ketil yang melibatkan lebih 300 penduduk mengalami kerosakan kediaman, yang mana sehari selepas kejadian, Ustaz Azizan tiba awal dengan pasukan rombongannya menyampaikan sumbangan derma.

MATI RENTUNG

Ada satu kisah ketika, alam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur kerana urusan mesyuarat, beliau mendapat khabar sebuah keluarga Cina di Jitra yang kehilangan dua orang anaknya akibat mati rentung. Kisah menyayat hati itu, dilaporkan semua media. Beliau kemudian lantas ke tempat kejadian, tanpa pulang ke rumah terlebih dahulu.

Ustaz Azizan tiba menyampaikan sendiri bantuan dan duduk bersama kedua ibu bapa kanak-kanak tersebut sambil cuba mententeramkan kesedihan mereka tatkala jenazah keduanya masih berada dalam keranda dan belum dikebumikan.

Selain itu, jika tetamu yang hadir atau membuat kunjung hormat, Ustaz Azizan akan melayan dan meraikan mereka sehabis mungkin sehinggakan beliau meneliti terlebih dahulu menu makanan yang bakal dihidangkan supaya para tetamunya mendapat sambutan yang terbaik.

Jika tiada acara lain, beliau lebih suka makan di dalam pejabatnya bersama staf mahupun para pegawai, di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan dengan warga kerja di Wisma Darul Aman itu.

Bukan sedikit yang sudah bertandang ke pejabatnya, daripada beberapa Menteri Pusat, para kedutaan, korporat atau konglomerat, guru, pelajar, bomba dan aneka ragam sehinggalah makcik pakcik dari kampung. Semua teruja dan mahu bertemu pemimpin disegani ini.

Biarpun beberapa media adakalanya cuba menconteng arang, tetapi secara purata dan majoriti, ramai yang tidak termakan racun hasutan. Semua telah menjadi saksi kepala. Tinjaun rambang yang dibuat, semuanya amat menyukai corak pentadbiran Azizan dan jika kekal begini, maka berputih matalah, mereka yang berhasrat atau mahu merujuk kembali kuasa yang sudah lama berpisah dari diri.

Walaupun media melaporkan songsang, hakikatnya pengamal media arus perdana dan alternatif di Kedah, menganggap Ustaz Azizan seorang yang mesra media. Beliau amat kenal seorang demi seorang wartawan yang membuat liputan. Ingatannya tajam. Bukan itu, sahaja, Ustaz Azizan akan menjawab semua soalan yang ditujukan dengan pancungan hujahnya yang bernas.

PERANGKAP WARTAWAN

Tetapi awas, bagi sesiapa yang tidak bersedia atau cuba 'menggoreng' fakta, akan menerima padah daripadanya yang cukup arif selok belok perangkap wartawan. Ada masa bidasan jawapan cukup pedih sehingga wartawan begitu berhati-hati mengelak serkap jarang.

"Sekarang ini Kedah tak ada air, macamana Dato' Seri? tanya seorang wartawan arus perdana yang dilihat cuba-cuba memprovokasi beliau.

"Kamu ni mandi tak pagi tadi?" tanya Ustaz Azizan pantas, kemudian dijawab 'ya' oleh wartawan itu, bagi mengelak dirinya dikatakan tidak mandi atau berbau busuk.

"Kalau begitu, macamana kamu kata tak ada air. Kamu mengaji Universti mana? Kan sekarang ni musim kemarau dan seluruh negara ada masalah kekurangan air. Ini urusan Allah SWT, jadi kita mohonlah doa, supaya hujan," katanya membuat wartawan itu terdiam seribu bahasa.

Sebenarnya setiap kali, sidang media di pejabat Menteri Besar, seminggu sekali adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh pengamal media. Bukan setakat mendapatkan berita, tetapi lebih kepada kemesraan hubungan serta bergurau senda dengan Ustaz Azizan, yang menganggap para wartawan sebagai sebahagian daripada keluarganya.

JADI PENTERJEMAH

Jika sidang media dibuat dengan para duta atau diplomat asing, Ustaz Azizan lazimnya bertindak sebagai penterjemah dalam bahasa Inggeris dan membantu media menjelaskan jawapan.

Selain asakan fitnah lawan, beliau juga sering dilambakkan dengan segunung harapan oleh penyokong parti dan rakyat negeri supaya melakukan perubahan besar-besaran agar nampak hebat dan boleh dipandang semua, tetapi tidak pernah melatah. Beliau bukan seorang yang gopoh dalam mengatur langkah.

Kata seorang ustaz menjawat exco pemuda negeri, Ustaz Azizan bukan seorang yang 'ghairah' berceramah atau suka menunjuk aksi di sana sini, baik sebelum menjadi MB ataupun kini. Beliau sering mengutamakan jentera parti, memantapkan sistem dan pentadbiran kerajaan negeri.

RAMADAN

Ada kisah menarik perhatian saya, ketika dititipkan semula pegawai khas MB tentang satu usaha kejadian sabotaj yang dilakukan pihak lawan sekitar Ramadan tahun lalu.

Waktu itu, di masjid-masjid telah teredar ribuan risalah palsu yang menyatakan bahawa Ustaz Azizan selaku MB Kedah akan memberi sumbangan wang saku untuk Hari Raya kepada rakyat Kedah.

Esok paginya lebih 300 orang memenuhi pekarangan pejabat MB bagi menuntut apa yang dijanjikan seperti yang dicanang risalah palsu itu. Ustaz Azizan yang baru tiba ke pejabat, hairan dan terpinga dengan kehadiran orang ramai itu, lantas memanggil para pegawainya menjelaskan apa yang berlaku.

Anda tahu keputusannya? Jika dilihat perwatakannya yang bengis dan tegas itu, ramai boleh mengagak tindakan selanjutnya. Namun yang berlaku adalah sebaliknya!

Ustaz Azizan berasa simpati pula dengan orang ramai yang tertipu dengan risalah itu. Lebih menghibakan beliau, ada bersusah payah datang dari jauh, hulu kampung, semata-mata berharap dan bergantung ihsan sumbangan yang dihebahkan palsu itu.

Lantas beliau mengarahkan para pegawainya mengagihkan wang sebanyak RM50.00 seorang kepada semua yang hadir dan wang yang dikeluarkan itu datangnya daripada poketnya sendiri!

TERTIKAM MATA SENDIRI

Akhirnya permainan muslihat lawan, tertikam mata sendiri. Perbuatan keji yang diharapkan dapat menusuk dan mencincang imej Azizan atau nama busuk parti bertukar pujian melangit atas sifat pemurah pemimpin itu. Rupanya, kilasan dan serangan lawan melukakannya pun belum tentu!

Begitulah kehebatan seorang Azizan yang tiada duanya, yang mampu dinukilkan semoga bisa merungkai kekeliruan dan tuduhan tak bermata terhadapnya selama ini.


Oleh AZAMIN AMIN

**************************

Sejujurnya, kak cik tak kenal sangat Ustaz Azizan. Hanya mendengar orang-orang tua bercerita. Itupun terdengar. Bukan mahu mendengar. Kak cik ingat lagi, ketika berada di tingkatan tiga, pilihan raya umum 13, waktu itu kedah menjadi milik Parti Pembangkang.. Lantas, budak sekolah yang tidak cakna politik semasa dan tidak tahu apa-apa tentang politik ini diajak oleh mak dan ayah untuk pergi ke kompleks PAS di batu 9. Kata mak untuk mendengar ucapan pertama Menteri Besar Kedah yang baru. Waktu itu, kak cik tak pernah kenal siapa ustaz Azizan. Tak terbayang bagaimana rupa beliau. Tak tergambar mana satu beliau di antara barisan pimpinan PAS. Apabila sampai di lokasi, orang ramai tak terkira. Mungkin puluhan ribu orang. Laungan takbir terdengar di mana-mana. Kita yang berada dalam lautan manusia pun menjadi gerun semacam. Malam itulah buat pertama kalinya kak cik melihat susuk tubuh sebenar beliau. 

Kak cik teringat lagi, sehari selepas keputusan pilihan raya umum 12 diumumkan, kak cik menghadiri kelas tambahan di bandar. Ketika sedang menyiapkan latihan yang diberikan oleh cikgu, kak cik terdengar perbulan dua orang rakan di kerusi belakang.

"Agak-agak hampa menteri besar kita yang baru tu pandai cakap bahasa inggeris dak?"
"Urm... tak tau la... macam dak ja pun"..

Sungguh, diri ini terasa ingin menoleh ke belakang dan mencelah "Hampa ingat, orang pakai lebai kat kepala ni pandai cakap arab ja ka? Ustaz Azizan tu mengaji kat united kingdom lagi tau!"

Dan terkini, semua rakyat Kedah seakan rindu pimpinan beliau. Apabila buka facebook, sudah menjadi satu fenomena, semua anak Kedah menge-post di wall tentang beliau. Paling tidak berita terkini tentang kesihatan beliau. 

Ya, saya bangga mempunyai Menteri Besar seperti beliau seperti mana rakyat Kelantan berbangga dengan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. :-)


Thursday, 9 May 2013

Bercinta dengan Encik Timetable

Assalamualaikum semua !!
Entre kali ini di copy dari blog kelas kak cik yang dinukilkan oleh Cik Cokelat

********

Bismillahirrahmanirrahim...

 Alhamdulillah, got chance to write here..
Hari ini nak berkongsi dengan semua pasal jadual a.k.a timetable a.k.a schedule..
Ikut la hampa nak panggil apa pun.


Mungkin bagi sesetengah individu, cukup tak suka atau benci dengan 'benda' ni..
Mungkin bila bercakap tentang timetable, dah terbayang dalam kepala ; kotak-kotak yang berwarna warni.

Ada manusia yang tak suka dengan encik timetable sebab rasa hidup dia terkongkong lagi tak bebas. Kononnya encik timetable membuatkan dia kelihatan childish and bla bla bla. Hanya budak sekolah ja pakai macam tu. Dan pelbagai alasan lagi lah kan...

Tapi sebenarnya encik timetable ni lah yang sebenarnya 'mengatur' lagi 'menguruskan' hidup kita tau. Supaya always smooth.. encik timetable yang cuba saya bawakan bukanlah macam jadual sekolah or jadual bersihkan kelas dan sebagainya yang mungkin ada sedang bayangkan.

Encik timetable yang dimaksudkan adalah yang bersifat fleksible.. tetapi fleksible yang berprinsip.

Anda boleh menampalnya di mana-mana sahaja yang anda selesa. Dan bagi yang alergik dengan jadual bertampal, boleh ja nak tampal dalam minda bestari anda itu. :-)

Kenapa khidmat encik timetable ini amat diperlukan???

kita memerlukan encik timetable kerana manusia sesungguhnya berada dalam kerugian. KERUGIAN !!

Bukankah Allah taala telah berfirman :

Manusia sentiasa dalam kerugian. Masa yang berlalu tak akan mampu diganti dan tak akan kembali. Banyak masa lapang kita, kita salurkan ke arah perkara yang tidak berfaedah.

Kadang-kadang kita menghabiskan masa satu jam borak-borak, walhal slide presentation satu habuk belum buat.

Kita sibuk itu dan ini tanpa arah tuju dan matlamat yang jelas.

Kita aulakan yang kurang penting dari yang them most important...

Kita acapkali terlepas pandangan benda yang penting.. banyak main.. kerana Inche otak kata, relax laa.. esok ada kan.. sempat lagi nak buat.. yang pasti, kadang-kadang 24 jam itu berllau tanpa ada significant nya.. sungguh kita manusia yang RUGI!!

Oleh itu, 
Ayuh para da'ie sekalian, aturlah rancangan hidupmu. Aturlah masa 24 jam seharimu dengan sebaik-baik perancangan.

Dalam kehidupan ini, masih banyak pekerjaan, tugas yang perlu dilaksanakan. masih banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan sebelum DIA menjemput pulang. Orang yang berjaya adalah orang yang mengoptimumkan, memaksimakan penggunaan 24 jam sehari dalam hidupnya.

Lihat sahaja para cendekiawan Islam.. mereka mampu menguasai pelbagai cabang ilmu dan melakukan pelbagai perkara. Masa mereka masih sama dengan kita. 24 jam sehari. Namun, lihat, apakah sumbangan mereka dalam pembinaan tamadun Islam? tak terkira banyaknya. Allahurabbi... hebatnya mereka dalam mengaturkan kehidupan..

Para mujahidin sekalian,
Dan jangan dilupa,
Ruang-runag petak kosong dalam jadualmu itu,
haruslah diisi dengan perkara-perkara yang Allah redha.
Bukankah matlamat hidupmu untuk menggapai Mardhatillah???

Maka,
para mujahidin sekalian,
'jadualkanlah' hidupmu, hartamu, ilmumu dengan perkara-perkara yang DIA redha.

Salam mujahadah buat para mujahidin sekalian...
Selamat beramal.
~ Cik Cokelat

********************
Biasalah.. bila kita sempit, baru kita menghargai waktu lapang. Contohnya seperti sekarang. Dah nak dekat exam ni.. mesti tension. Apa tidaknya. Itu tak baca lagi. Ini tak sentuh lagi. Waktu tu, baru nak menyesal. Lalu mulalah nak bermonolog dengan diri sendiri. Kalau lah dulu aku study awal-awal. Kalau la dulu aku ikut timetable betul-betul mesti tak jadi macam ni sekarang. Kalaulah..... kalaulah... mulalah nak berkalau-kalau.. =_=''

Daripada Abdullah ibn Abbas r.a. Nabi s.a.w. bersabda: “Dua nikmat yang sering dilupakan oleh manusia; nikmat kesihatan dan masa lapang.” (HR Bukhari)

Tapi, alhamdulillah... alhamdulillah... alhamdulillah... kak cik rasa semester ni hidup kak cik terurus sikit, makan minum teratur, tak tension sangat macam semester lepas. Baru sedar kepentingan buat timetable. Rancangan planning kita. Walaupun tak ikut betul-betul, tapi at least kita ada usaha nak merancang. Dah nama pun 'planning' iaitu merancang, tak semestinya jadi kan... :-)

Maka, hujung tahun lepas, kak cik meninjau-ninjau buku yang ada kotak-kotak macam yang cik cokelat cakap kat atas untuk digunakan tahun ni. Cari punya cari yang berkenan di hati.. Jumpa! Tu pun tinggal dua je... :-(... Semua orang dah beli. Terdetik kat dalam hati ni "Rupanya ramai orang dah sedar kepentingan 'merancang', aku je belum"...

Dengan timeteble ni macam-macam kita boleh buat.. antaranya... (maaflah, gambar kak cik zoomkan yang penting je. Nak tunjuk satu muka surat penuh >malu<... 

Ingat tarikh-tarikh penting... contohnya macam tarikh hari lahir... :-) Supaya tak terlupa...

Ingat peristiwa-peristiwa yang bersejarah dalam hidup.. Contohnya Perhimpunan Jelajah Janji ditepati bersama PM !! Dan first time dalam hidup merentas desa sejauh 5.5 km ! Sejarah la tu kan.. selama ni kat sekolah 2 km je. 

Dan tugasan-tugasan yang perlu disiapkan.. contohnya kena buat presentation.. Maka kena budget masa untuk buat slide dan tak lupa juga rehearsal dulu sebelum buat presentation yang sebenar .

Okay.. ni gambar timetable satu muka surat penuh !!

Jom kita merancang !.... walaupun sebaik-baik perancang adalah Allah swt. 

Review : Taare Zameen Par (Like Stars on Earth)

Hari ni, jom kita review cerita hindustan, Taare Zameen Par atau dalam bahasa orang putihnya Like Stars in Earth. Jangan risau. Cerita ni tak ada adangan 13 tahun ke atas, tak ada juga goyang-goyang punggung nampak pusat, tapi, lagu.... mestilah ada... itukan trademark untuk cerita hindustan. 

Okay. Best ke cerita ni sampai kak cik nak buat review segala bagai? Mestilah best. Kalau tak, tak da lah kak cik nak bepenat-penat menulis tentang cerita ni kan... hehe.. 

Cerita ni dah banyak kali ditayangkan di TV. Dan setiap kali menonton, sudah tentu hujung lengan baju pasti akan basah dek kerana mengesat air mata yang meleleh. Haha. Cerita ni berkisarkan tentang usaha seorang guru untuk memberi 'kehidupan' kepada salah seorang anak muridnya yang istimewa. Kebetulan, pada sesi tutorial untuk subjek Perkembangan Kanak-kanak yang lepas, kumpulan kak cik diamanahkan untuk membentangkan tentang ciri-ciri kanak-kanak berkeperluan khas serta implikasinya. Lantas, teringat cerita ni. 

So, kepada siapa-siapa yang nak jadi cikgu tu amat sesuai menonton cerita ni. Seriously, dijamin seronok dan meleleh air mata serta memberi kesan pada diri !


kak cik dah carikan video full. Boleh download ye. Tapi subtitle cari sendiri ya!!

Every child is special


Psss.... para producer di Malaysia, bila lagi nak produce cerita-cerita yang 'membina' macam ni???