Thursday, 19 September 2013

Menunggu atau ditunggu?

Antara menjadi individu yang menunggu atau individu yang ditunggu, mana satu yang menjadi pilihan anda? Bagi sesetengah individu, baginya biarlah dia yang menunggu. Kerana dia tidak tegar orang lain berada dalam kesusahan dek keterlewatannya. Lain pula bagi orang yang memilih menjadi individu yang ditunggu. Mungkin kerana dia tidak betah melihat jam berkali-kali kerana menanti seseorang. Justeru, 'ah, biarlah dia orang yang tunggu aku!"

Waktu kecil-kecil dulu, kak cik ke sekolah dengan emak. Lantaran sekolah kami menghala ke arah yang sama, jadi mak yang akan menghatar kak cik ke sekolah setiap pagi. Dah nama pun anak dara, mestilah 'appearance' wajib dijaga. Pantang hujung tudung terkelepet sedikit atau berkedut, laju sahaja berlari ke meja seterika. Lalu,emak membunyikan hon sebagai isyarat bahawa kami telah lewat ke sekolah. 

Rentetan daripada peristiwa di atas yang berlaku entah pada kali ke berapa, ayah pernah memberikan satu analogi :

"Kita kalau nak pergi ke sekolah naik bas, mestilah kita yang kena tunggu bas tu. Sebab kita nak tumpang dia... Takkan dia nak tunggu kita pulak"

Dan ayah bukan sahaja hanya pandai berkata-kata. Sudah tentu ayah buktikan melalui tindak tanduknya. Jika kak cik ke sekolah bersama emak, maka pulangnya bersama ayah pula. Tidak pernah sekali pun, kak cik menunggu ayah ketika pulang dari sekolah. Bila loceng berbunyi sahaja, kereta ayah pasti sudah ada di pintu pagar sekolah. Kalau kak cik perlu menunggu pun, hanya beberapa kali sahaja. Itupun jika ada kesulitan yang tak dapat dielakkan. 

Ayah juga selalu cakap :

"Tidak rugi menjadi yang terawal... Tidak rugi menjadi yang pertama"

Dan, jam di rumah kami ayah awalkan sebanyak 5-10 minit, supaya anak-anaknya bersiap awal ke sekolah. Sehingga sekarang jam tangan kak cik diawalkan sebanyak 5 minit supaya mindset kita sentiasa berfikir bahawa kita sudah terlewat ke kelas. Padahal kita masih ada masa yang berbaki 5 minit. 


Berdasarkan contoh-contoh yang telah ayah tunjukkan, kak cik lebih memilih menjadi individu yang menunggu walaupun orang kata "Penantian itu satu penyiksaan".  Biarlah kita yang menunggu orang lain. Kerana kita tahu bagaimana mengawal kesabaran kita dalam penantian tersebut. Kalau orang lain yang menunggu kita, mungkin entah sudah keberapa kali dia maki kita. Iyalah, tidak boleh menyalahkan dia juga. Siapa suruh kita lewat. Dia pun ada kerja yang harus diselesaikan dengan secepat mungkin. Cuba bayangkan, dengan hanya keterlewatan kita itu, kerjanya tergendala.

Namun, kadang-kadang kak cik kesal. Terkilan apabila orang memperkotak-katikkan kesabaran kita. :-(

*Maaf, inilah adalah entre luahan perasaan.
*Senyum selalu..
*Sabar itu kan indah. :-)

*Sedikit masa lagi, mungkin kak cik akan diuji atas 'bebelan' di atas... Ya Allah, lindungilah aku. jangan hanya sekadar 'cakap je lebih'.... :-)

Wednesday, 11 September 2013

Mati itu Pasti

Hujung minggu lepas yang lalu, kak cik join satu Kursus Pengurusan Jenazah yang dianjurkan Biro Kerohanian Moral dan Disiplin BADAMD, IPG KDRI. Pertama kali melihat posternya, hati melonjak girang . Kerana dah lama kak cik mencari kursus seumpama ini. Dulu dekat sekolah pernah ikuti kursus seperti ini sekali. Tetapi, mungkin tidak pernah melakukan di lapangan yang sebenar, maka kita lupa.

Dulu mungkin join Kursus Pengurusan Jenazah sebab terpaksa. Ye lah, lepas periksa PMR, tak ada aktiviti. Jadi sekolah menganjurkan kursus ini untuk mengisi masa yang terluag itu. Tapi, kali ini dengan rela hati kak cik nak sertai. Ada beberapa sebab.

Kak cik malu, dengan title sebagai seorang bakal pendidik atau dengan lebih terperinci lagi bakal 'ustazah; tetapi nak mandikan jenazah pun tak tahu. Bukankah itu perkara wajib yang perlu dihadam oleh seorang ustazah. Golongan ini merupakan rujukan masyarakat. Kerana, pada mindset mereka, seorang ustaz-ustazah itu ibarat 'mufti'. Tahu serba serbi. Dan mereka wajib tahu. Sedangkan mereka juga ada kekurangannya.



Kedua, kak cik tak nak peritiwa 6 tahun lalu berulang lagi. Di mana kak cik kehilangan seseorang yang kak cik sayangi. Tika orang lain menguruskan jenazahnya dari mula hingga akhir, kak cik hanya kaku di penjuru bilik. Ingin membantu. Tetapi tidak tahu apa perlu dilakukan. Kalau boleh, jenazah mak, ayah, saudara mara terdekat, biarlah kak cik antara individu yang terlibat dalam menguruskan jenazah mereka, terutama sekali jenazah mak ayah. Walaupun tidak mustahil mak dan ayah yang akan menguruskan jenazah kita terlebih dahulu. Siapa tahu. Kan ajal maut tidak mengenal umur, masa dan ketika.

Kak cik terpukul dengan kata-kata juru mandi jenazah,

"Ketika jenazah kita diusung untuk dimandikan, relakah kita membenarkan jasad kita disentuh oleh tangan-tangan asing? Mana tangan anak kita? Mana tangan isteri kita? "



Walaupun kursus ini singkat, tetapi cukuplah sekadar memberi gambaran awal. Walaupun tidak berapa jelas kerana kita tidak melalui amali yang sebenar. 

Moga, Allah beri kita kesempatan untuk membelai jenazah mak dan ayah kita di saat-saat akhir. Amin.

** Hebatnya seorang juru mandi jenazah. Tampak biasa, Tidak mahsyur dalam kalangan masyarakat. Kurang diberi perhatian. Namun dialah yang dicari-cari ketika ada kematian.