Wednesday, 4 November 2015

Pengalaman Praktikum

Fuhh...Fuhh... lap sikit sarang labah-labah dalam blog ni. Hampir setengah tahun ya kak cik tidak menulis... Ampun... Masa amat tidak mengizinkan. Tahun ni kak cik sangat sibuk. Tahun ni dah start praktikum. Alhamdulillah dah berjaya melalui 2 Fasa Praktikum di 2 buah sekolah yang berbeza dan 2 suasana yang berbeza. Banyak sangat kenangan, pengalaman yang kak cik  rasa tidak mungkin akan dapat dalam kelas. Kena lalui, baru tahu dan rasa.

Tadi..

Kak cik buka laptop.
Banyak sangat folder bersepah di desktop.
Maka, nak kemas sikit.
Baru nampak tersusun.
Terjumpa folder 'sekolah praktikum'.
Buka.
Allah....
Air mata ini menitis.
Tanpa henti.
Hingga saat ini.
Kenapa kamu menangis wahai diri?
Apa yang kamu tangisi?
Rindu?
Pada siapa?
Anak murid?
Bukan?
Lalu apa?

Cinta pertamaku ~ SK Gong Nangka, Marang, Terengganu.

Masih segar di ingatan, Sehari sebelum berpraktikum. Duduk berteleku di atas sejadah. Mengenangkan nasib bakal anak murid. Apa nasib mereka mendapat guru seperti aku? Yang masih belum punya rasa 'ikhlas' dalam hati untuk mendidik mereka. Apa dosa mereka mendapat guru seperti aku? Yang masih cacat di sana sini. Apa salah mereka mendapat guru seperti aku? Yang belum bersedia untuk berjumpa dengan mereka esok hari?

Rasa bersalah yang amat sangat. Allah... Campakkanlah rasa ikhlas itu dalam hati ini. Supaya aku dapat memberikan sepenuh jiwaku pada mereka. Supaya hari-hariku di sana terasa bahagia. Supaya aku tidak berkira-kira dengan apa yang bakal aku curahkan kelak.

Ingin berpatah balik dalam bidang ni? Aku bukan bodoh. Sudah jauh aku berjalan. Mana mungkin mahu berpatah balik ke garisan permulaan. Masa, tenaga, wang telah banyak dihabiskan. Mahu tak mahu perjalanan harus diteruskan hingga ke garisan penamat.

Itu apa yang kak cik rasa masa pertama kali berpraktikum. Selama sebulan. Tidak banyak yang kak cik coretkan di dalam diari untuk tatapan masa hadapan. Sebab masa sebulan dirasakan terlalu pantas untuk menikmati hari-hari di sekolah kerana tuntutan untuk menyiapkan banyak perkara lain. 

Cuma... Terima kasih ya Allah, kerana telah lahirkan jiwa pendidik dalam diriku. Baru kak cik sedar, rupanya kak cik seorang yang sukakan sekolah. Setiap hari rasa tak sabar nak ke sekolah. Walaupun banyak kerja lain. Tapi seronok bila di sekolah. Dapat jumpa anak murid. Dapat jumpa rakan-rakan guru. Jumpa mak cik kantin. Bersembang dengan kakak-kakak tukang sapu. 

Susahkan bila dah terbit rasa sayang? Peritnya untuk berpisah hanya Allah yang tahu.


Cinta keduaku~ SK Bukit Bayas, Kuala Terengganu.

Selesai sebulan berpraktikum di Marang. Kemudian praktikum fasa 2 di daerah Kuala Terengganu. Selama 2 bulan. Okay, untuk sekolah ini, kak cik pasang target. Nak menikmati setiap detik keberadaan kak cik di sana. Nak catat semuanya di dalam diari. Moga di hari tua nanti boleh tersenyum sendiri saat membacanya. Setiap saat, kak cik selalu berbisik pada diri 'duhai masa, bergerak perlahan, please!'. Sebab rasa masa bergerak terlalu cepat. Tup tup dah cukup 8 minggu. Allah... cepatnya masa berlalu.

Sekolah kedua ni, terlalu istimewa. Jadi, sebelum kak cik melangkah masuk ke sekolah itu, kak cik dah pesan pada diri ini. "Wahai diri, hang singgah sini sat saja. 8 minggu saja. Jaga hati. Jangan sampai sayang. Nanti hang yang merana dengan sakit rindu".

Tapi hati kita bukan milik kita. Allah yang pegang. Kalau Allah nak kita sayang ke sekolah ini, maka perasaan sayanglah yang ada di dada.

Bila tengok satu persatu gambar, in fact, tak rindu pun pada anak murid. Bila fikir dalam-dalam, mungkin kak cik lebih rindukan suasana praktikum itu sendiri. 

Bangun awal pagi,
berebut toilet,
berebut cermin dengan housemates,
kadangkala sampa bertolak-tolak,
Paling kalut bila ada pensyarah yang call lepas subuh atau hantar mesej "saya akan ke sekolah ustazah hari ini, tolong adjust kelas".
Semua kelam kelibut.
Semua benda yang dibuat pada hari itu rasa serba tak kena.
Waktu itu tak ada yang lebih menenangkan melainkan call mak ayah mohon doa dipermudahkan urusan.

Sampai di sekolah, cepat-cepat letak beg di bilik guru. Kalau malam semalam rajin buat BBM (bahan bantu mengajar) maka akan ada 2-3 buah beg yang nak kena kelek kiri dan kanan atau mungkin kena turun 2-3 round atau paling mudah minta tolong anak murid tolong bawakkan.

Lepas letak beg, cepat-cepat pergi tulis kedatangan. Selalunya kak cik skip bahagian ni sebab selalunya practicum mate yang ambil alih. Hehe. Kemudian, lari-lari anak ayam ke pintu pagar. Jadi guru penyayang kejap. Part ni paling best. Sebab boleh tahu, 
"Eh, awak adik beradik ke?"
"Eh, awak abang dia ke?"
Maka, banyaklah pulak ber'eh' depan pintu pagar sekolah.

Dalam 7.30 berlari (baca berjalan laju) ke pejabat. Ambik buku kedatangan murid. Untuk apa? Untuk ambik kedatanganlah kan.

Kalau free masa pertama tu, berlari kejap ke surau. Kalau kelas lambat lagi, sambung baca al-Quran dan ma'thurat. Part ni paling kak cik rindukan. Bila praktikum ni rasa kebergantungan pada Allah tu sangat tinggi. Sebab nak Allah tolong mudahkan urusan. Supaya apa yang terhasil adalah yang terbaik. Di maktab? Tak ada maknanya rajin nak buat amalan sunat ni. Nak solat dhuha pun puas pujuk diri. Nak solat ke nak makan di cafe?

Waktu rehat, wajib pergi ke kantin. Sibuk macam mana pun, waktu rehat khas untuk makan dan berehat-rehat. Kenapa wajib ke kantin? Sebab masa tu lah kita nak jumpa cikgu-cikgu yang kita jarang jumpa di bilik guru. Ada cikgu yang banyak masa dihabiskan ni makmal, bilik linus, perpustakaan sekolah, prasekolah dan sebagainya. Jadi kebanyakannya mereka ini berkumpul di kantin pada waktu rehat.

Bila masa semeja dengan mereka, seronok mendengar cerita mereka. Tentang pengalaman, tentang anak murid, tentang skop kerja malah kadangkala diselitkan juga tip rumahtangga. Hiks.

Balik sekolah paling best. Sambil bersantai tengok TV, ada yang buat RPH (rancangan pengajaran harian) untuk pengajaran esok. Ada yang tengah memotong BBM. Ada yang tengah makan tengah hari yang sepatutnya waktu itu makan malam. Tapi, dalam semua sibuk melakukan kerja masing-masing, kami saling bertukar cerita lucu, gembira, sedih, geram yang berlaku di sekolah. Sungguh, anak-anak syurga yang banyak ragam ini betul-betul menceriakan kehidupan kak cik sepanjang praktikum. Mula-mula rasa takut juga, bagaimana seorang aku yang tak pernah ada adik, nak layan budak-budak? Rahsia? Anggap mereka seperti anak kita. Hehe.

Sambung cerita semula. Menjelang malam, semua orang kyusuk di meja masing-masing. Ada yang garu kepala. Ada yang sedang mengunyah kerepek. Ada yang sedang mengetuk meja dengan hujung jari telunjuk. Ada yang menonton video di youtube. Ada yang menari. Matlamat hanya satu. Cari idea untuk mengajar esok. Ingat senang nak merangka pengajaran yang ada unsur IT, nilai, gabungjalin, KBAT dan banyak lagi?. 

Sepanjang praktikum ni, ada satu benda yang kak cik sangat kagum dengan cikgu-cikgu sekolah. Ada banyak sebenarnya. Tapi yang nak dihighlight di sini hanya satu. Lain masa kak cik highlight benda lain pulak. Yang kak cik kagumnya adalah mengenai keikhlasan mereka dalam mendidik. Kak cik menjadi guru pelatih dalam keadaan diri ini masih bujang, tak ada komitmen lain. Hanya perlu fikir tentang RPH, BBM, balik rumah kalau nak tidur pun, silakan, tak ada yang melarang.Tak ada tugas-tugas khas di sekolah. Yang mungkin sedikit stress pun bagaimana nak memenangi hati pensyarah dan ambik hati murid. Tapi bagaimana guru-guru disekolah (termasuk mak ayah kita) yang disekolah sibuk dengan hal sekolah, balik rumah fikir hal di rumah pula, malah ada cikgu yang sedang sambung belajar! Kagum bagaimana mereka membahagi-bahagikan masa. Kita yang tak perlu fiki apa-apa ni pun rasa macam 24 jam yang Allah bagi itu tidak cukup. Cuma satu.. Ikhlas. Kalau mereka tidak ikhlas, sudah tentu mereka telah berhenti dalam bidang ini, bukan?

Moga aku juga dapat mencontohi mereka. SABAR dan IKHLAS.

"Andai aku tahu betapa peritnya perpisahan, takkan aku berharap pada sebuah pertemuan".

Rahman ya Rahman



رحمن يا رحمن
Wahai (Allah) Yang Maha Pemurah
ساعدني يا رحمن
Tolonglah aku Wahai Yang Maha Pemurah
اشرح صدري قرآن
Lapangkanlah dadaku dengan Al Quran
أملأ قلبي قرآن
Penuhi hatiku dengan Al Quran
واسقي حياتي قرآن
Sirami hidupku dengan Al Quran

رحمن يا رحمن
Wahai (Allah) Yang Maha Pemurah
ساعدني يا رحمن
Tolonglah aku Wahai Yang Maha Pemurah
اشرح صدري قرآن
Lapangkanlah dadaku dengan Al Quran
أملأ قلبي قرآن
Penuhi hatiku dengan Al Quran
واسقي حياتي قرآن
Sirami hidupku dengan Al Quran

لله لله يهفو أملي لله
Kepada Allah, kepada Allah, harapanku kepada Allah
ولحفظِ كتابِ الله
Dan untuk menghafal kitab Allah
من أولِ باسمِ الله
Dari awal bismillah
للختم وللرضوان
Hingga khatam, untuk keridhaan Allah

يا نور يا نور
Wahai cahaya (Quran), Wahai cahaya (Quran),
يا مــُـحكم يا تنزيل
Wahai muhkam, wahai tanzil
لمحمد عن جبريل
Kepada Nabi Muhammad melalui Jibri
من رب العرش دليل
Dari Pencipta Arsy sebagai dalil
للعالم والأنسان
Untuk alam dan insan

تكبير تكبير
Takbir takbir
للحافظِ وهو صغير
Untuk orang yang menghafal Quran ketika kecil
وضـّاء العين قرير
Menjadi cahaya mata yang bersinar yang menggembirakan
يحملُ فجراً ليــُـنير
Membawa kebahagiaan untuk menerangi alam
بتلاوته الأكوان
Dengan tilawah Qurannya

الله الله اللهم اجمعنا
Wahai Allah kumpulkanlah kami
بكتابك و انفعنا
Bersama kitabMu dan manfaatkanlah kami (dengan kitabMu)
واجعله لنا حصنا
Jadikan ia sebagai pelindung kami
وهدى أبدا وأمان
Senantiasa menjadi petunjuk

رحمن يا رحمن
Wahai (Allah) Yang Maha Pemurah
ساعدني يا رحمن
Tolonglah aku Wahai Yang Maha Pemurah
اشرح صدري قرآن
Lapangkanlah dadaku dengan Al Quran
أملأ قلبي قرآن
Penuhi hatiku dengan Al Quran
واسقي حياتي قرآن
Sirami hidupku dengan Al Quran